DUNGUN, 4 Oktober - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) mengambil langkah proaktif membawa 'sains' menerobos kawasan luar bandar menerusi Science Journey Carnival STI Madani yang diadakan di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.
Terkenal sebagai pusat transformasi yang berkaitan sains kreativiti tempatan yang bertempat di bandar, akses itu kini dapat dirasai pelajar-pelajar di desa.
Menurut salah seorang guru Sekolah Kebangsaan Ayer Putih, Mustafa Mohd Rafi, 26, peluang itu perlu dimanfaatkan pelajar dengan mencuba semua aktiviti kerana bukan mudah untuk memperolehi suasana sebegitu.
​​​​mencuba aktivti yang disediakan.
"Kita hendak bawa mereka ke PSKT pun jauh dan perlukan bajet yang banyak, jadi peluang agak terhad.
"Di sini, anak-anak murid di luar bandar akan lebih terdedah dan boleh datang terokai sendiri.
"Walaupun zaman ini zaman teknologi, masih ada sedikit jurang antara bandar dan luar bandar, tetapi dengan program sebegini membolehkan mereka belajar.
"Paling saya suka, tidak sangka ia meriah begini dengan kawasan agak kecil," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Perkara itu turut diakui Penolong Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH, Muhammad Adhwa Hazziq Arsad yang menyatakan bahawa program itu sebagai medium pendedahan kepada anak-anak luar bandar untuk lebih dekat dengan sains.
"Ini satu langkah permulaan ke arah kita membudayakan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).
"Kalau diteruskan, ia dapat mempersiapkan anak-anak muda di luar bandar khususnya agar tidak ketinggalan dalam membudayakan sains dalam kehidupan," jelasnya.

Keterujaan merasai kemeriahan karnival berkenaan turut dikongsi Nur Zulaikha Zulkifli, 31, ibu kepda lima orang anak yang hadir di sini.
Katanya, beliau tidak menyangka karnival itu sungguh meriah dengan pelbagai aktiviti.
"Tidak sangka PSKT buat begini, saya dapat makluman anak cakap ada sukaneka sahaja, yalah dari luar nampak kecil sahaja.
"Program ini bagus dan molek, anak-anak boleh kenal tentang sains lagi, macam begini anak boleh rasa sendiri, buat kajian sains depan mata dia, dia boleh rasa pengalaman itu," tambahnya.
Berlangsung selama dua hari bermula hari ini, Sciences Journey Carnival menawarkan aktiviti antaranya pertunjukan silap mata, projek Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pameran agensi, cerapan langit dan banyak lagi.
Karnival diadakan bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang yang akan berakhir esok.