DUNGUN, 4 Oktober - Negeri Terengganu mampu menjadi negeri yang kaya dengan inovasi sekiranya diuruskan dengan baik.
Pengarah Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Ts. Dr. Roslan Umar menyatakan harapan itu ketika menyentuh isu penurunan minat pelajar bagi memasuki aliran sains.
"Saya berpandangan, Terengganu memiliki modal insan yang besar dan saya lihat sebagai antara negeri yang boleh kembangkan inovasi.
"Cuma, kerajaan negeri perlu lebih proaktif buka ruang dan peluang kerana anak-anak Terengganu bijak dan berkebolehan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengendalikan Bicara STEM bertajuk Astronomi, Falak dan Alam Semesta dalam Sciences Journey Carnival STI Madani anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, semalam.
Selain bertindak sebagai panel dalam program tersebut, Dr. Roslan juga merupakan salah seorang daripada 100 saintis tempatan yang dilantik bagi Program STI 100 on Power of Three yang diketengahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pemerkasaan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Tambahnya, penganjuran karnival yang boleh dianggap 'pusat sains bergerak' itu merupakan langkah bijak bagi pembudayaan ilmu sains di kalangan masyarakat luar bandar.
"Saya rasa PSKT telah berjaya menarik banyak institusi turun padang ke karnival ini dan ia menjadi titik permulaan.

"Inilah peluang yang cukup baik dan perlu disokong. Program begini perlu dilakukan secara berkala dan mencapai daerah-daerah," katanya.