Artikel "Semasa" Terkini
Israel Sebenarnya Sudah Kalah, Gencatan Senjata Helah Tutup Malu - Abdul Hadi
MARANG - Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Israel sebenarnya telah mengalami kekalahan dalam pertempuran menentang Palestin di Gaza dan desakan untuk gencatan senjata hanyalah helah bagi menutup rasa malu.
Beliau berkata, di sebalik keangkuhan Israel yang mendakwa memiliki tentera yang tidak boleh dikalahkan, realitinya mereka gagal menewaskan kebangkitan pejuang Hamas yang berjuang dengan pertolongan ALLAH SWT.
Menurutnya, secara politik, Hamas telah mencapai kemenangan manakala Israel berada di pihak yang tewas, sehingga terpaksa meminta bantuan kuasa besar untuk mengadakan rundingan.
"Dia (Israel) nak mengundur, malu. Dia tak undur, dia perang. Tembak, tembak, tembak... akhirnya panggil Amerika tolong dia (untuk berunding).
"Dia kalah sebenarnya. Jadi politiknya, Israel kalah. Hamas menang," katanya ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Pandangan Abdul Hadi itu hadir ketika pusingan terbaru rundingan gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kemajuan signifikan.
Pada Khamis, Hamas mengesahkan persetujuan terhadap fasa pertama pelan damai yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump, yang merangkumi pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza, dan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Kabinet Israel turut dilaporkan telah meluluskan rangka kerja bagi perjanjian tersebut, walaupun beberapa butiran lanjut mengenai pengunduran sepenuhnya dan status Gaza pada masa hadapan masih belum diperincikan.
Mengulas lanjut mengenai strategi pertempuran, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kekuatan tentera Zionis dengan kelengkapan canggih ternyata tidak mampu menandingi strategi pejuang Palestin.
Jelasnya, serangan bom yang meruntuhkan bangunan di Gaza tidak melemahkan Hamas, sebaliknya menjadikan runtuhan itu sebagai kubu pertahanan yang lebih kukuh.
"Hamas duduk dalam tanah (terowong). Bila bangunan runtuh, mereka (lagi) kukuh dalam tanah itu. Nak masuk dengan kereta kebal tak boleh... Hamas keluar ikut celah batu, tembak seorang-seorang (tentera Israel)," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan ini masih belum berakhir dan menyeru umat Islam untuk terus mendoakan kemenangan buat saudara di Palestin.
10 Oct 25
106
Ahmad Amzad Seru Keseimbangan Wilayah Dalam Belanjawan MADANI 2026
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim menzahirkan penghargaan terhadap pembentangan Belanjawan MADANI 2026 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, dengan menyifatkannya sebagai usaha menyeluruh bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menstabilkan kedudukan fiskal negara.
Dalam kenyataan medianya, beliau menegaskan bahawa secara prinsipnya, pihak pembangkang menyokong segala langkah yang membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, memperkukuh ekonomi tempatan dan meningkatkan ketelusan pengurusan kewangan negara.
Namun begitu, beliau turut menarik perhatian terhadap keperluan memastikan pembangunan wilayah lebih seimbang, khususnya bagi negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang, yang menurutnya masih memerlukan perhatian lebih dalam agihan pembangunan nasional.
Antara perkara yang ditekankan ialah keperluan menstruktur semula tadbir urus Lembaga Pelabuhan Kemaman agar menjadi entiti berdikari dan berfokus, selaras dengan potensinya sebagai pelabuhan laut dalam strategik berasaskan industri tenaga, minyak dan gas.
Ahmad Amzad turut menyarankan agar projek-projek utama di Pantai Timur seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Ibai, sektor perikanan, pertanian dan tenaga hijau dilaksanakan secara tuntas, bukan sekadar diumumkan.
Dalam aspek kesihatan, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah baik kapasiti rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu serta hospital daerah lain, selepas menerima aduan kes kekangan peralatan dan pakar yang menjejaskan rawatan bayi serta pesakit kritikal.
Selain itu, beliau turut menekankan keadilan fiskal antara negeri, dengan mencadangkan agar ECERDC diperkasa dan autonomi pelaksanaan projek strategik diberikan kepada negeri pengeluar sumber seperti Terengganu bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara setara.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa pembangkang mengambil pendekatan kritis tetapi membina, dengan tujuan memperkukuh dasar dan memastikan pembangunan negara tidak tertumpu hanya kepada wilayah tengah, sebaliknya lebih menyeluruh dan inklusif.
“Sudah tiba masanya Pelabuhan Kemaman, Kuala Terengganu, Dungun, Kerteh dan seluruh Terengganu diangkat sebagai teras pertumbuhan ekonomi maritim, tenaga dan inovasi Pantai Timur. Belanjawan yang baik mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata, termasuk dalam aspek kesihatan dan keselamatan nyawa rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agar Terengganu dan Pantai Timur tidak lagi menjadi wilayah pinggiran, tetapi pemacu utama masa depan Malaysia.
10 Oct 25
57
YBC Sumbang Kayu Ganti Laluan Reput di Jeti Belakang Pasar Besar Chukai
KEMAMAN, 10 Oktober– Keprihatinan terhadap keselamatan nelayan tempatan mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat meninjau kawasan jeti di belakang Pasar Besar Chukai yang dilaporkan mengalami kerosakan serius.
Hasil tinjauan mendapati sebahagian besar kayu yang menjadi laluan utama para nelayan di kawasan berkenaan telah reput dan tidak lagi selamat digunakan.
Prihatin dengan keadaan itu, Hanafiah tampil menyampaikan sumbangan kayu baharu bagi menggantikan laluan yang rosak.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan para nelayan dapat menjalankan aktiviti harian dengan lebih selamat dan selesa.
“Ambe(saya) tengok banyak kayu di jeti ni sudah lama dan reput, memang tak selamat untuk digunakan. Jadi, kita bantu sediakan kayu baharu bagi menggantikan yang lama.
"Harapan saya, usaha kecil ini dapat memberi keselesaan dan menjamin keselamatan nelayan di kawasan ini, insya-Allah,” katanya kepada pemberita
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk setempat yang peka menyalurkan maklumat berhubung keadaan infrastruktur di kawasan mereka dan menyeru agar semangat gotong-royong diteruskan demi manfaat bersama.
10 Oct 25
60
Terengganu Inc, Greenverse Jalin Kerjasama Pacu Teknologi Hijau
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), syarikat pelaburan strategik milik Kerajaan Negeri Terengganu, menjalin kerjasama dengan Greenverse Holding Sdn Bhd (Greenverse) bagi menubuhkan TI Greenverse Sdn Bhd, entiti baharu yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa terjadual mampan serta pembangunan teknologi hijau di negeri itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TI, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuh agenda kemampanan dan inovasi di Terengganu.
“Melalui penubuhan TI Greenverse Sdn Bhd, Terengganu Inc dan Greenverse menggabungkan kekuatan pelaburan strategik serta kepakaran teknikal bagi menetapkan penanda aras baharu dalam pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan efisien.
"Langkah itu juga seiring dengan usaha memperkukuh ekonomi hijau dan kesejahteraan komuniti ke arah masa depan Terengganu yang lebih bersih serta mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perjanjian usahasama dan pemegang saham itu dimeterai di ibu negara hari ini melibatkan tiga pihak utama iaitu Terengganu Inc, Greenverse dan TI Greenverse Sdn Bhd.
Bagi pihak Terengganu Inc, perjanjian ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, disaksikan oleh Naib Presiden Bahagian Strategi & Perancangan Korporat Kumpulan, Khairul Nizam Khalid Mirza.
Pihak Greenverse pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Heng Sia Kwang, bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Winfred Wong Hai Ching sebagai saksi.
Usahasama tersebut berpusat di Kemudahan Pemulihan Sisa Terjadual Luar Tapak Bersepadu yang terletak di Taman Bio-Polimer Kerteh, Terengganu.
Kemudahan berkenaan direka bentuk bagi menyediakan penyelesaian pengurusan sisa terjadual yang kos efektif dan bebas risiko, selain menggunakan teknologi pemulihan dan kitar semula termaju untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Ia juga akan menyokong ekonomi kitaran dengan menukar sisa kepada produk kitar semula bernilai tinggi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Inisiatif itu selaras dengan agenda kelestarian Kerajaan Negeri Terengganu dan matlamat nasional di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030).
Melalui kerjasama ini, Terengganu dijangka terus muncul sebagai antara peneraju utama dalam bidang teknologi hijau dan pembangunan industri mampan di Malaysia.
10 Oct 25
125
Tolak Normalisasi Arak Dalam Majlis Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober –– Kerajaan negeri tegas menolak normalisasi arak dalam majlis rasmi kerajaan kerana ia membawa mudarat besar kepada masyarakat berbanding keuntungan ekonomi atau pelancongan semata-mata.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebagai sebuah parti Islam, PAS sentiasa meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan walaupun berdepan persepsi bahawa penolakan terhadap arak boleh menjejaskan kehadiran pelancong asing.
"PAS sebagai sebuah parti Islam meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan. Walaupun kita sedar bahawa penentangan terhadap penyalahgunaan arak dalam majlis-majlis kerajaan mungkin dilihat mempunyai kesan negatif seperti tidak menggalakkan kehadiran pelancong asing, namun hakikatnya arak telah menjadi kebiasaan di negara bukan Islam, bukan di negara kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Pemantapan PEMADAM negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadun Islam, semalam.
Menurutnya, Malaysia sebagai negara Islam perlu menonjolkan identiti dan keunikan sendiri melalui keindahan alam, budaya serta nilai agama, bukannya mengikut budaya luar yang merosakkan.
“Kita perlu memahami bahawa Malaysia merupakan sebuah negara pelancongan. Pelancong yang datang ke sini mempunyai pelbagai tujuan, dan Malaysia memiliki kelebihan tersendiri dari sudut keindahan semula jadi, warisan budaya serta nilai agama.
“Sebagai contoh, tokoh pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik pernah menyatakan bahawa daripada banyak negara, beliau memilih Malaysia sebagai negara utama, khususnya di dunia Islam, kerana keunikan yang dimiliki oleh Malaysia,” ujar beliau.
Dr Muhammad Khalil melahirkan rasa kesal apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dilihat seolah-olah merelakan budaya arak, hanya memberikan amaran tanpa mengambil sebarang tindakan tegas terhadap isu berkenaan.
“Sepatutnya kita mempromosikan negara kita melalui aspek-aspek yang telah disebutkan tadi, bukannya menormalisasikan budaya luar yang jelas membawa mudarat besar.
“Dalam konteks ini, arak yang memabukkan menjadi punca utama kerana apabila seseorang itu minum arak sehingga mabuk, mereka cenderung melakukan perkara yang membahayakan masyarakat seperti pembunuhan, mencederakan orang lain, serta merosakkan harta benda awam,” tegas beliau lagi.
10 Oct 25
64
Puluhan Tahun Derita, Pagar Elektrik Jadi Harapan Penduduk Basung
HULU TERENGGANU, 10 Oktober– Masalah pencerobohan gajah liar yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun di kawasan sekitar Tasik Kenyir dijangka dapat dikurangkan dengan pemasangan pagar elektrik sementara sepanjang empat kilometer dari Kampung Basung ke Pintu Gerbang Pengkalan Gawi.
Pagar bernilai RM400,000 itu menggunakan tenaga solar sepenuhnya dan kini dalam proses pemasangan dijangka siap sepenuhnya serta mula beroperasi pada 15 Oktober ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, K.S. Loo, berkata projek itu dilaksanakan oleh Pasukan Basung Rangers dengan kerjasama Perhilitan Negeri Terengganu, JPKK Kampung Basung dan JPKK Kampung Pasir Dula.
Menurut beliau, usaha ini merupakan langkah segera bagi menangani konflik manusia-hidupan liar, khususnya melibatkan gajah, yang sering merosakkan tanaman dan menimbulkan keresahan penduduk sejak sekian lama.
“Penduduk di sini telah berdepan gangguan gajah liar sejak berdekad-dekad, dengan kerugian hasil pertanian yang tidak sedikit.
"Pagar elektrik sementara ini diharap dapat memberikan kelegaan segera, sementara usaha jangka panjang lain diteruskan,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pemasangan pagi tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Sementara itu, Zawawi menyatakan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama menjayakan projek berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan penduduk kampung perlu diutamakan tanpa mengabaikan kelestarian hidupan liar.
“Isu gajah liar ini telah berlarutan puluhan tahun. Ramai penduduk hilang sumber rezeki akibat tanaman yang musnah.
"Harapan saya agar pagar ini benar-benar berkesan untuk mengurangkan ancaman pencerobohan dan membawa kelegaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Zawawi juga berharap kerajaan negeri dan pusat menambah peruntukan bagi membina pagar elektrik kekal di kawasan panas (hotspot) lain di Hulu Terengganu.
“Ini bukan sekadar soal keselamatan, tetapi juga soal masa depan ekonomi penduduk luar bandar,” tambahnya.
Katanya lagi, pemasangan pagar elektrik sementara ini dilihat sebagai contoh kerjasama erat antara agensi kerajaan, pasukan sukarelawan dan masyarakat kampung dalam menyelesaikan isu konflik hidupan liar yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
10 Oct 25
121
Hidangan Arak Langgar Pekeliling, Jawapan Menteri Tidak Memuaskan
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Jawapan yang diberikan oleh Menteri berhubung isu pentadbiran dan pengurusan Kementeriannya berkait isu hidangan alkohol disifatkan sebagai sangat tidak memuaskan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Wan Hassan, yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), menyuarakan kebimbangan serius terhadap aspek tata kelola dan integriti di kementerian tersebut, khususnya apabila terdapat program atau keputusan yang telah disahkan secara rasmi tidak dipatuhi atau seolah-olah dilanggar.
Beliau menegaskan bahawa apabila sesuatu perkara telah menjadi rasmi, terutamanya selepas mendapat kelulusan menteri, maka semua peraturan, pekeliling dan tatakelola yang berkaitan mestilah dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.
“Apakah maknanya apabila kita tidak mematuhi program-program yang sudah menjadi rasmi dengan sebab kelulusan menteri pelancongan?.
“Ia seolah-olah membawa satu makna bahawa boleh dilanggar tata kelola, integriti, soal pekeliling dan lain-lain,” tegasnya.
Menurut beliau, tindakan melanggar garis panduan atau tatakelola sedia ada memberikan mesej yang tidak baik terhadap aspek pentadbiran dan pengurusan, bukan sahaja di peringkat kementerian, tetapi juga kepada pengurusan kerajaan dan negara secara keseluruhan.
Teguran keras itu dibuat bagi mendesak kerajaan memastikan semua kementerian mematuhi piawaian tertinggi dalam tadbir urus dan integriti, bagi mengelakkan sebarang salah laku atau ketidakpatuhan prosedur rasmi yang boleh menjejaskan kepercayaan awam.
Terdahulu, Wan Hassan meminta agar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya memberikan penjelasan serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung penganjuran majlis makan malam rasmi Global Travel Meet 2025 yang melibatkan pelanggaran pekeliling perkhidmatan.
Dalam soalan beliau di Dewan Rakyat, Wan Hassan merujuk kepada kenyataan Menteri yang dilaporkan oleh The Star bertarikh 5 Oktober 2025, yang menyebut bahawa cadangan supaya penganjuran Gala Dinner Global Travel Meet 2025 diambil alih oleh pihak swasta telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan dipersetujui oleh Menteri demi menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Beliau menegaskan, walaupun penganjuran diambil alih pihak swasta, kelulusan oleh Menteri menjadikan acara tersebut masih dikategorikan sebagai majlis rasmi, dan oleh itu ia tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan 3 Palang 2003 serta garis panduan kementerian yang berkuat kuasa.
09 Oct 25
128
Penyalahgunaan Dadah Perlu Ditangani Secara Menyeluruh
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Isu penyalahgunaan dadah di Terengganu perlu ditangani secara menyeluruh dan bersepadu dengan melibatkan semua pihak, bukan hanya bergantung kepada entiti tertentu semata-mata.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata kerjasama padu antara kerajaan, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat amat penting dalam membanteras gejala tersebut secara berkesan.
Beliau menegaskan, masalah dadah merupakan ancaman global yang memerlukan strategi menyeluruh serta tindakan berterusan.
“Sebagaimana kita maklum, Terengganu merupakan antara negeri tertinggi dari segi penyalahgunaan dadah dan bahan memabukkan.
“Hal ini amat menyedihkan, namun pada masa yang sama kita perlu berfikir secara profesional dan positif kerana penyalahgunaan dadah bukan lagi isu setempat atau nasional semata-mata, bahkan ia merupakan masalah di peringkat antarabangsa.
“Selagi adanya syaitan dan iblis, kita tidak mungkin dapat menghapuskan sepenuhnya maksiat serta kemungkaran berkaitan dadah, tetapi kita wajib berusaha untuk mengurangkannya,” jelasnya.
Dr. Muhammad Khalil yang juga Pengerusi PEMADAM Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemantapan PEMADAM Negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadun Islam, hari ini.
Beliau turut memberi contoh situasi di beberapa negara Amerika Selatan seperti Colombia, yang terpaksa mengerahkan tentera bagi memerangi kartel dadah, menggambarkan betapa serius dan berbahayanya ancaman tersebut terhadap kestabilan sesebuah negara.
Mengulas langkah kerajaan negeri, Dr. Muhammad Khalil berkata Terengganu telah melaksanakan pelbagai pendekatan menyeluruh sejak penggal lalu, termasuk menubuhkan Pusat Pemulihan Darul Barakah dan mempergiat program kesedaran masyarakat di semua peringkat.
Menurutnya, melalui tema 'Indahnya Hidup Bersyariat', kerajaan negeri memberi penekanan khusus terhadap usaha membanteras penyalahgunaan dadah, seiring dengan pendekatan Islam yang menekankan kesejahteraan rohani dan sosial.
“Saya yakin PEMADAM Negeri Terengganu mampu menjadi contoh terbaik kepada negeri lain melalui pendekatan yang tersusun dan berpandukan syariat Allah SWT,” ujarnya.
09 Oct 25
55
Isu Dadah Masalah Global, Bukan Hanya Tertumpu Kepada SG4
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober –Isu penyalahgunaan dadah adalah masalah global yang tidak sepatutnya dipersalahkan kepada negeri atau institusi tertentu, sebaliknya memerlukan penyelesaian secara bersama.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Khalil Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas persepsi yang timbul apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution sering mengaitkan isu dadah dengan negeri-negeri dalam kelompok SG4, sedangkan data rasmi menunjukkan kadar penyalahgunaan dadah di negeri lain lebih tinggi berbanding Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.
“Bagi saya kita tidak menafikan data tersebut, tetapi penyelesaiannya mesti dilihat secara matang dan bersama.
"Jangan menuding jari kepada negeri atau institusi tertentu. Dadah ini masalah sejagat,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM berkata demikian dalam sidang media selepas Bengkel Pemantapan PEMADAM negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadun Islam, hari ini.
Menurutnya, kerajaan Terengganu telah menyedari hakikat tersebut sejak sebelum mengambil alih pentadbiran pada 2018, lalu memasukkan cadangan penubuhan pusat pemulihan Darul Barakah dalam manifesto pilihan raya.
Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai Pusat Pemulihan Darul Barakah menerima jumlah permohonan yang sangat tinggi daripada individu yang ingin mendapatkan latihan dan pemulihan, namun terpaksa menolak sebahagiannya berikutan kekangan kewangan.
“Setakat ini peserta ahli Barakah seramai 85 orang, kita menerima permohonan terlalu tinggi sehingga ada yang terpaksa ditolak kerana isu kewangan yang tidak dapat kita beri,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, pelatih yang berjaya menamatkan program di pusat tersebut akan terus disusuli oleh agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta institusi bukan kerajaan bagi memastikan mereka tidak terpinggir selepas keluar.
Menurutnya, usaha di Darul Barakah memberi tumpuan kepada latihan kemahiran agar peserta mampu berdikari, khususnya dalam bidang pertanian, perikanan dan keusahawanan.
“Apa yang kita lakukan di Barakah ini adalah melatih mereka supaya boleh bergerak sendiri.
"Dengan kemahiran yang diperoleh, mereka mampu menggerakkan kehidupan selepas keluar,” katanya.
09 Oct 25
31
Dungun Tekad Bangkit Cabar SUTERA Akan Datang
DUNGUN, 13 Oktober — Majlis Hi Tea bersama Kontinjen Daerah Dungun menjadi wadah penghargaan kepada para atlet, jurulatih dan pengurus pasukan yang telah berjuang mengharumkan nama daerah dalam Sukan Terengganu (SUTERA) 2025, selain turut meraikan komitmen dan semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan sepanjang temasya berlangsung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, yang juga Ketua Kontinjen Daerah Dungun, berkata majlis yang diadakan bukan sekadar ruang untuk meraikan, tetapi juga medan untuk memperbaharui semangat perjuangan dan memperkukuh tekad kontinjen Dungun dalam menghadapi cabaran akan datang.
“Bila ada pertandingan, akan ada yang menang dan akan ada yang kalah. Namun, yang menang tidak akan selalu menang dan yang kalah tidak akan selamanya kalah. Saya yakin, akan tiba masanya Dungun akan bangkit sebagai juara.
"Kemenangan tidak datang hanya dengan kata-kata, tetapi melalui kerja keras, perancangan tersusun dan semangat berpasukan yang tidak pernah luntur.
“Untuk mengambil trofi kejuaraan, ia tidak cukup dengan bicara. Usaha itu mesti digerakkan mulai sekarang.
"Kita bina kekuatan dari hari ini supaya Dungun akan tampil lebih bersedia dan lebih gagah di SUTERA akan datang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua atlet, jurulatih dan pengurus pasukan atas kesungguhan mereka sepanjang temasya berlangsung.
Majlis Hi Tea tersebut diakhiri dengan sesi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam Sukan Terengganu SUTERA 2025, sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan dan dedikasi mereka.
09 Oct 25
12