KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), syarikat pelaburan strategik milik Kerajaan Negeri Terengganu, menjalin kerjasama dengan Greenverse Holding Sdn Bhd (Greenverse) bagi menubuhkan TI Greenverse Sdn Bhd, entiti baharu yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa terjadual mampan serta pembangunan teknologi hijau di negeri itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TI, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuh agenda kemampanan dan inovasi di Terengganu.
“Melalui penubuhan TI Greenverse Sdn Bhd, Terengganu Inc dan Greenverse menggabungkan kekuatan pelaburan strategik serta kepakaran teknikal bagi menetapkan penanda aras baharu dalam pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan efisien.
"Langkah itu juga seiring dengan usaha memperkukuh ekonomi hijau dan kesejahteraan komuniti ke arah masa depan Terengganu yang lebih bersih serta mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perjanjian usahasama dan pemegang saham itu dimeterai di ibu negara hari ini melibatkan tiga pihak utama iaitu Terengganu Inc, Greenverse dan TI Greenverse Sdn Bhd.
Bagi pihak Terengganu Inc, perjanjian ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, disaksikan oleh Naib Presiden Bahagian Strategi & Perancangan Korporat Kumpulan, Khairul Nizam Khalid Mirza.
Pihak Greenverse pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Heng Sia Kwang, bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Winfred Wong Hai Ching sebagai saksi.
Usahasama tersebut berpusat di Kemudahan Pemulihan Sisa Terjadual Luar Tapak Bersepadu yang terletak di Taman Bio-Polimer Kerteh, Terengganu.
Kemudahan berkenaan direka bentuk bagi menyediakan penyelesaian pengurusan sisa terjadual yang kos efektif dan bebas risiko, selain menggunakan teknologi pemulihan dan kitar semula termaju untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Ia juga akan menyokong ekonomi kitaran dengan menukar sisa kepada produk kitar semula bernilai tinggi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Inisiatif itu selaras dengan agenda kelestarian Kerajaan Negeri Terengganu dan matlamat nasional di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030).
Melalui kerjasama ini, Terengganu dijangka terus muncul sebagai antara peneraju utama dalam bidang teknologi hijau dan pembangunan industri mampan di Malaysia.