lightning-solid
Berita :
Hidangan Arak Langgar Pekeliling, Jawapan Menteri Tidak Memuaskan
Hidangan Arak Langgar Pekeliling, Jawapan Menteri Tidak Memuaskan
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
09 Oct 25
126

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Jawapan yang diberikan oleh Menteri berhubung isu pentadbiran dan pengurusan Kementeriannya berkait isu hidangan alkohol disifatkan sebagai sangat tidak memuaskan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Wan Hassan, yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), menyuarakan kebimbangan serius terhadap aspek tata kelola dan integriti di kementerian tersebut, khususnya apabila terdapat program atau keputusan yang telah disahkan secara rasmi tidak dipatuhi atau seolah-olah dilanggar.

Beliau menegaskan bahawa apabila sesuatu perkara telah menjadi rasmi, terutamanya selepas mendapat kelulusan menteri, maka semua peraturan, pekeliling dan tatakelola yang berkaitan mestilah dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

“Apakah maknanya apabila kita tidak mematuhi program-program yang sudah menjadi rasmi dengan sebab kelulusan menteri pelancongan?. 

“Ia seolah-olah membawa satu makna bahawa boleh dilanggar tata kelola, integriti, soal pekeliling dan lain-lain,” tegasnya.

Menurut beliau, tindakan melanggar garis panduan atau tatakelola sedia ada memberikan mesej yang tidak baik terhadap aspek pentadbiran dan pengurusan, bukan sahaja di peringkat kementerian, tetapi juga kepada pengurusan kerajaan dan negara secara keseluruhan.

Teguran keras itu dibuat bagi mendesak kerajaan memastikan semua kementerian mematuhi piawaian tertinggi dalam tadbir urus dan integriti, bagi mengelakkan sebarang salah laku atau ketidakpatuhan prosedur rasmi yang boleh menjejaskan kepercayaan awam.

Terdahulu, Wan Hassan meminta agar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya memberikan penjelasan serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung penganjuran majlis makan malam rasmi Global Travel Meet 2025 yang melibatkan pelanggaran pekeliling perkhidmatan.

Dalam soalan beliau di Dewan Rakyat, Wan Hassan merujuk kepada kenyataan Menteri yang dilaporkan oleh The Star bertarikh 5 Oktober 2025, yang menyebut bahawa cadangan supaya penganjuran Gala Dinner Global Travel Meet 2025 diambil alih oleh pihak swasta telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan dipersetujui oleh Menteri demi menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Beliau menegaskan, walaupun penganjuran diambil alih pihak swasta, kelulusan oleh Menteri menjadikan acara tersebut masih dikategorikan sebagai majlis rasmi, dan oleh itu ia tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan 3 Palang 2003 serta garis panduan kementerian yang berkuat kuasa.


Tag :

Artikel Berkaitan