lightning-solid
Berita :
Penyalahgunaan Dadah Perlu Ditangani Secara Menyeluruh
Penyalahgunaan Dadah Perlu Ditangani Secara Menyeluruh
Rohayati Ripin
09 Oct 25
53

KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Isu penyalahgunaan dadah di Terengganu perlu ditangani secara menyeluruh dan bersepadu dengan melibatkan semua pihak, bukan hanya bergantung kepada entiti tertentu semata-mata. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata kerjasama padu antara kerajaan, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat amat penting dalam membanteras gejala tersebut secara berkesan.

Beliau menegaskan, masalah dadah merupakan ancaman global yang memerlukan strategi menyeluruh serta tindakan berterusan.

“Sebagaimana kita maklum, Terengganu merupakan antara negeri tertinggi dari segi penyalahgunaan dadah dan bahan memabukkan.

“Hal ini amat menyedihkan, namun pada masa yang sama kita perlu berfikir secara profesional dan positif kerana penyalahgunaan dadah bukan lagi isu setempat atau nasional semata-mata, bahkan ia merupakan masalah di peringkat antarabangsa.

“Selagi adanya syaitan dan iblis, kita tidak mungkin dapat menghapuskan sepenuhnya maksiat serta kemungkaran berkaitan dadah, tetapi kita wajib berusaha untuk mengurangkannya,” jelasnya.

Dr. Muhammad Khalil yang juga Pengerusi PEMADAM Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemantapan PEMADAM Negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadun Islam, hari ini.

Beliau turut memberi contoh situasi di beberapa negara Amerika Selatan seperti Colombia, yang terpaksa mengerahkan tentera bagi memerangi kartel dadah, menggambarkan betapa serius dan berbahayanya ancaman tersebut terhadap kestabilan sesebuah negara.

Mengulas langkah kerajaan negeri, Dr. Muhammad Khalil berkata Terengganu telah melaksanakan pelbagai pendekatan menyeluruh sejak penggal lalu, termasuk menubuhkan Pusat Pemulihan Darul Barakah dan mempergiat program kesedaran masyarakat di semua peringkat.

Menurutnya, melalui tema 'Indahnya Hidup Bersyariat', kerajaan negeri memberi penekanan khusus terhadap usaha membanteras penyalahgunaan dadah, seiring dengan pendekatan Islam yang menekankan kesejahteraan rohani dan sosial.

“Saya yakin PEMADAM Negeri Terengganu mampu menjadi contoh terbaik kepada negeri lain melalui pendekatan yang tersusun dan berpandukan syariat Allah SWT,” ujarnya.

 


Tag :

Artikel Berkaitan