lightning-solid
Berita :
Ahmad Amzad Seru Keseimbangan Wilayah Dalam Belanjawan MADANI 2026
Ahmad Amzad Seru Keseimbangan Wilayah Dalam Belanjawan MADANI 2026
Izzat Muslim
10 Oct 25
55

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim menzahirkan penghargaan terhadap pembentangan Belanjawan MADANI 2026 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, dengan menyifatkannya sebagai usaha menyeluruh bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menstabilkan kedudukan fiskal negara.

Dalam kenyataan medianya, beliau menegaskan bahawa secara prinsipnya, pihak pembangkang menyokong segala langkah yang membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, memperkukuh ekonomi tempatan dan meningkatkan ketelusan pengurusan kewangan negara.

Namun begitu, beliau turut menarik perhatian terhadap keperluan memastikan pembangunan wilayah lebih seimbang, khususnya bagi negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang, yang menurutnya masih memerlukan perhatian lebih dalam agihan pembangunan nasional.

Antara perkara yang ditekankan ialah keperluan menstruktur semula tadbir urus Lembaga Pelabuhan Kemaman agar menjadi entiti berdikari dan berfokus, selaras dengan potensinya sebagai pelabuhan laut dalam strategik berasaskan industri tenaga, minyak dan gas.

 Ahmad Amzad turut menyarankan agar projek-projek utama di Pantai Timur seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Ibai, sektor perikanan, pertanian dan tenaga hijau dilaksanakan secara tuntas, bukan sekadar diumumkan.

Dalam aspek kesihatan, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah baik kapasiti rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu serta hospital daerah lain, selepas menerima aduan kes kekangan peralatan dan pakar yang menjejaskan rawatan bayi serta pesakit kritikal.

Selain itu, beliau turut menekankan keadilan fiskal antara negeri, dengan mencadangkan agar ECERDC diperkasa dan autonomi pelaksanaan projek strategik diberikan kepada negeri pengeluar sumber seperti Terengganu bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara setara.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa pembangkang mengambil pendekatan kritis tetapi membina, dengan tujuan memperkukuh dasar dan memastikan pembangunan negara tidak tertumpu hanya kepada wilayah tengah, sebaliknya lebih menyeluruh dan inklusif.

“Sudah tiba masanya Pelabuhan Kemaman, Kuala Terengganu, Dungun, Kerteh dan seluruh Terengganu diangkat sebagai teras pertumbuhan ekonomi maritim, tenaga dan inovasi Pantai Timur. Belanjawan yang baik mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata, termasuk dalam aspek kesihatan dan keselamatan nyawa rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agar Terengganu dan Pantai Timur tidak lagi menjadi wilayah pinggiran, tetapi pemacu utama masa depan Malaysia.


Artikel Berkaitan