HULU TERENGGANU, 10 Oktober– Masalah pencerobohan gajah liar yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun di kawasan sekitar Tasik Kenyir dijangka dapat dikurangkan dengan pemasangan pagar elektrik sementara sepanjang empat kilometer dari Kampung Basung ke Pintu Gerbang Pengkalan Gawi.
Pagar bernilai RM400,000 itu menggunakan tenaga solar sepenuhnya dan kini dalam proses pemasangan dijangka siap sepenuhnya serta mula beroperasi pada 15 Oktober ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, K.S. Loo, berkata projek itu dilaksanakan oleh Pasukan Basung Rangers dengan kerjasama Perhilitan Negeri Terengganu, JPKK Kampung Basung dan JPKK Kampung Pasir Dula.
Menurut beliau, usaha ini merupakan langkah segera bagi menangani konflik manusia-hidupan liar, khususnya melibatkan gajah, yang sering merosakkan tanaman dan menimbulkan keresahan penduduk sejak sekian lama.
“Penduduk di sini telah berdepan gangguan gajah liar sejak berdekad-dekad, dengan kerugian hasil pertanian yang tidak sedikit.
"Pagar elektrik sementara ini diharap dapat memberikan kelegaan segera, sementara usaha jangka panjang lain diteruskan,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pemasangan pagi tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Sementara itu, Zawawi menyatakan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama menjayakan projek berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan penduduk kampung perlu diutamakan tanpa mengabaikan kelestarian hidupan liar.
“Isu gajah liar ini telah berlarutan puluhan tahun. Ramai penduduk hilang sumber rezeki akibat tanaman yang musnah.
"Harapan saya agar pagar ini benar-benar berkesan untuk mengurangkan ancaman pencerobohan dan membawa kelegaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Zawawi juga berharap kerajaan negeri dan pusat menambah peruntukan bagi membina pagar elektrik kekal di kawasan panas (hotspot) lain di Hulu Terengganu.
“Ini bukan sekadar soal keselamatan, tetapi juga soal masa depan ekonomi penduduk luar bandar,” tambahnya.

Katanya lagi, pemasangan pagar elektrik sementara ini dilihat sebagai contoh kerjasama erat antara agensi kerajaan, pasukan sukarelawan dan masyarakat kampung dalam menyelesaikan isu konflik hidupan liar yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.