lightning-solid
Berita :
Tolak Normalisasi Arak Dalam Majlis Kerajaan
Tolak Normalisasi Arak Dalam Majlis Kerajaan
Rohayati Ripin
10 Oct 25
62

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober –– Kerajaan negeri tegas menolak normalisasi arak dalam majlis rasmi kerajaan kerana ia membawa mudarat besar kepada masyarakat berbanding keuntungan ekonomi atau pelancongan semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebagai sebuah parti Islam, PAS sentiasa meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan walaupun berdepan persepsi bahawa penolakan terhadap arak boleh menjejaskan kehadiran pelancong asing.

"PAS sebagai sebuah parti Islam meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan. Walaupun kita sedar bahawa penentangan terhadap penyalahgunaan arak dalam majlis-majlis kerajaan mungkin dilihat mempunyai kesan negatif seperti tidak menggalakkan kehadiran pelancong asing, namun hakikatnya arak telah menjadi kebiasaan di negara bukan Islam, bukan di negara kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Pemantapan PEMADAM negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadun Islam, semalam.

Menurutnya, Malaysia sebagai negara Islam perlu menonjolkan identiti dan keunikan sendiri melalui keindahan alam, budaya serta nilai agama, bukannya mengikut budaya luar yang merosakkan.

“Kita perlu memahami bahawa Malaysia merupakan sebuah negara pelancongan. Pelancong yang datang ke sini mempunyai pelbagai tujuan, dan Malaysia memiliki kelebihan tersendiri dari sudut keindahan semula jadi, warisan budaya serta nilai agama.

“Sebagai contoh, tokoh pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik pernah menyatakan bahawa daripada banyak negara, beliau memilih Malaysia sebagai negara utama, khususnya di dunia Islam, kerana keunikan yang dimiliki oleh Malaysia,” ujar beliau.

Dr Muhammad Khalil melahirkan rasa kesal apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dilihat seolah-olah merelakan budaya arak, hanya memberikan amaran tanpa mengambil sebarang tindakan tegas terhadap isu berkenaan.

“Sepatutnya kita mempromosikan negara kita melalui aspek-aspek yang telah disebutkan tadi, bukannya menormalisasikan budaya luar yang jelas membawa mudarat besar. 

“Dalam konteks ini, arak yang memabukkan menjadi punca utama kerana apabila seseorang itu minum arak sehingga mabuk, mereka cenderung melakukan perkara yang membahayakan masyarakat seperti pembunuhan, mencederakan orang lain, serta merosakkan harta benda awam,” tegas beliau lagi.


Tag :

Artikel Berkaitan