lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Misi Kemanusiaan Palestin Diteruskan Melalui Percubaan Darat
Misi Kemanusiaan Palestin Diteruskan Melalui Percubaan Darat
KUALA NERUS, 9 Oktober - Global Sumud Flotilla yang disekat melalui jalan laut tidak akan mematahkan semangat sukarelawan untuk meneruskan misi melalui jalan darat. Wira Sumud Flotilla dari Terengganu, Ustaz Muhammad Abdullah berkata, Sumud Nusantara telah mengadakan perbincangan dan menyatakan usaha untuk menyampaikan bantuan kemanusian kepada Palestin melalui bumi Rafah.  "Alhamdulillah , hari ini kita dapat keputusan bahawa telah ada perjanjian damai yang menampakkan peluang cerah untuk  masuk ke bumi Gaza melalui darat. "Berdoalah bersama, agar kita dipermudahkan urusan untuk masuk ke darat dan semua 23 peserta yang telah mengikuti misi melalui laut akan turut terlibat untuk masuk melalui darat. "Itulah tujuan kita (melalui misi Sumud Nusantara) sebelum ini untuk memastikan dunia akan terus bercakap mengenai isu Palestin dan sekarang ini seluruh dunia mula bercakap sehinggakan tidak pernah dalam sejarah dari 199 buah negara, 157 atau 2/3 negara mengundi untuk Palestin Merdeka," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika tiba di Terengganu dan telah disambut oleh ribuan rakyat Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini. Seorang lagi peserta Sumud Nusantara, Mohd Asmawi Mukhtar pula berpandangan, pelbagai misi perlu terus dilaksanakan sehingga Palestin itu dibebaskan sepenuhnya dan sehingga kekejaman Israel dapat dihentikan. "Apa yang kita perlu lakukan adalah secara kerjasama, bukan saya sahaja, bukan Ustaz Muhammad sahaja tetapi tetapi semua orang perlu memperjuangkannya," katanya. Tambah Asmawi, apa yang dilalui sepanjang terlibat dengan misi adalah beliau dapat melihat betapa zalim dan jahatnya Zionis Israel.  "Sepanjang perjalanan (terlibat dengan misi) benar-benar menguji dari sudut mental, dan menjadi penguat adalah Ustaz Muhammad yang selalu membacakan doa agar diberikan keselamatan dan bantuan dapat disampaikan, namun dihalang," ujar beliau.  
09 Oct 25
118
30 Tahun Berteduh, Rumah Kak Ton Musnah Dalam Sekelip Mata
30 Tahun Berteduh, Rumah Kak Ton Musnah Dalam Sekelip Mata
KEMAMAN, 8 Oktober - Rumah kediaman milik Riyatun Abdullah, 53 tahun, atau lebih dikenali sebagai Kak Ton, musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 4.30 petang semalam di Teluk Kalong. Kak Ton yang telah menetap di rumah berkenaan selama hampir 30 tahun difahamkan tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku. “Saya tinggal bersama dua orang anak, dan kesemuanya selamat daripada insiden tersebut.  "Waktu kejadian, saya berada di Kampung Padang Kubu kerana ada beberapa urusan kerja,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata beberapa bantuan segera telah disalurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Katanya, ia bagi meringankan beban keluarga mangsa sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak berwajib. "Kejadian ini amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila kediaman yang didiami selama tiga dekad musnah sepenuhnya dalam sekelip mata. "Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa, namun difahamkan api merebak dengan cepat menyebabkan keseluruhan rumah gagal diselamatkan," ujarnya. Beliau menyeru agar semua pihak agar terus mendoakan kekuatan dan ketabahan buat Kak Ton sekeluarga dalam menghadapi ujian berat ini.  "Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan mereka dan menggantikan kehilangan ini dengan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.  
09 Oct 25
3135
Rosol Gesa Kerajaan Kaji Semula Mekanisme Harga Automatik Bahan Api
Rosol Gesa Kerajaan Kaji Semula Mekanisme Harga Automatik Bahan Api
KUALA LUMPUR, 9 Oktober– Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid hari ini menggesa kerajaan supaya segera mengkaji semula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan dalam penetapan harga runcit bahan api negara, yang menurutnya tidak disemak lebih 40 tahun. Beliau berkata, semakan semula mekanisme tersebut perlu dilakukan bagi memastikan sistem penetapan harga dan pemberian subsidi bahan api, khususnya petrol RON95, dilaksanakan dengan lebih adil dan telus kepada rakyat. “Sampai bila rakyat akan menikmati harga RM1.99 (seliter) sedangkan harga pasaran mungkin RM2.61. Kerajaan ambil 61 sen, beri kepada rakyat 6 sen, kemudian ambil balik 61 sen. Itulah keadaannya,” katanya ketika membahaskan isu pelaksanaan subsidi bersasar di Dewan Rakyat hari ini. Rosol turut mendakwa, selagi formula APM tidak disemak, rakyat akan terus menanggung beban manakala kerajaan pula berpotensi memperoleh keuntungan lebih besar apabila harga minyak mentah dunia menurun. Selain itu, beliau turut membangkitkan rungutan daripada pengusaha stesen minyak yang didakwa terpaksa menanggung caj tambahan berikutan pelaksanaan sistem subsidi bersasar baharu. Menurutnya, pengusaha stesen minyak kini dikenakan caj sewa peralatan subsidi sebanyak RM80 sebulan, yang disifatkannya sebagai membebankan. “Alat di stesen minyak dikatakan disewa atau dikenakan caj RM80 sebulan. Apakah penyelesaian daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)?” soalnya. Rosol berkata, penyasaran subsidi perlu mengambil kira kesan kepada semua pihak dalam rantaian bekalan bahan api, termasuk pengusaha stesen dan pengguna akhir, bagi memastikan pelaksanaannya lebih seimbang dan berkesan.  
09 Oct 25
94
Mantan Ketua Editor UPDI Meninggal Dunia
Mantan Ketua Editor UPDI Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Mantan Ketua Editor Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Aida Abdul Rahman, 46, meninggal dunia di kediaman keluarganya yang bertempat di Kampung Kubang Parit, pagi ini. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.03 pagi, setelah hampir setahun bertarung dengan penyakit kanser usus. Allahyarhamah Aida meninggalkan tiga orang anak masing berumur 14 tahun, 10 dan enam tahun. Memulakan kerjaya sebagai wartawan di Harian Metro, Allahyarhamah Aida mula bertugas di Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) pada tahun 2004, yang kemudian dijenamakan sebagai UPDI pda tahun 2018. Aida kini menjawat jawatan Penolong Pegawai Penyelidik Penerbitan dan Multimedia di Wisma Darul Iman, sebelum bercuti sejak awal tahun ini setelah didiagnos menghidap kanser pada tahap empat. Semoga Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.  
09 Oct 25
377
31 Buah Rumah Rosak Dilanda Ribut di Cukai Dibaiki
31 Buah Rumah Rosak Dilanda Ribut di Cukai Dibaiki
KEMAMAN, 9 Oktober - Kira-kira 31 buah rumah dilaporkan rosak akibat ribut dan angin kencang yang melanda daerah ini, semalam mula dibaik pulih.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat berkata kejadian itu menyebabkan kerosakan harta benda, terutama bumbung rumah yang tercabut. "Setakat ini kami menerima laporan melibatkan beberapa kampung di DUN Cukai ini. "Hari ini, melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing- masing, kami akan memulakan proses baik pulih. "Insya-Allah, kami akan membantu seluruh keluarga yang terlibat bagi memastikan ianya dapat meringankan bebanan yang sedang mereka hadapi ketika musibah seperti ini berlaku," ujarnya kepada pemberita. Terdahulu, dilaporkan 31 buah rumah yang mengalami kerosakan ini melibatkan Kampung Pengkalan Pandan, Jalan Dato', Kampung Gong Pauh, Kampung Gong Limau, Kampung Jaya, Kampung Jabur Kubur, Lot 144, Kampung Geliga Baru, Kampung Geliga, Kampung Kubang Kurus, Kg Paya Berenjut, Kampung Bakau Tinggi , Kampung Besut 2 dan Taman Perumahan Gong Pauh. 
09 Oct 25
50
"Tugas Kita Belum Selesai, Teruskan Bercerita Tentang Palestin"
"Tugas Kita Belum Selesai, Teruskan Bercerita Tentang Palestin"
KUALA LUMPUR – “Tugas kita belum selesai. Balik ke rumah masing-masing, ceritakan perjuangan ini, jangan diam, ” seru Ustaz Muhammad Abdullah, wira Misi Kemanusiaan Sumud Flotilla, yang menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil sekejap tadi.  Berucap di hadapan kira-kira 10,000 hadirin, pendakwah berusia 32 tahun itu menyuntik gelombang inspirasi apabila menegaskan bahawa kekurangan fizikal bukan alasan untuk tidak bersuara. “Saya sering terfikir, saya ini tubuh kecil, apa yang boleh saya buat? Rupa-rupanya, kecil tidak menjadi halangan untuk kita menggegarkan dunia,” katanya.  Ucapan beliau disambut dengan laungan takbir dan tepukan gemuruh, membuktikan bahawa keberanian dan keyakinan mampu menembusi batas fizikal. Suasana menjadi semakin gamat apabila beliau secara berseloroh menyindir Zionis. “Israel pun takut (dengan budak kecil),” jelasnya.  Beliau turut berkongsi kisah peribadinya yang dibesarkan oleh ibu tunggal selepas kematian bapa ketika usia enam tahun.  Ucapan beliau turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama barisan kepimpinan negara dan tokoh masyarakat.  Mengakhiri ucapan, Ustaz Muhammad mengingatkan bahawa perjuangan tidak berakhir di Axiata Arena. “Bangkitkan semangat kepada anak-anak dan keluarga kalian tentang erti sebenar kemanusiaan,” tambah beliau. 
08 Oct 25
141
Tanah Peneroka ‘Dirampas’ 2010, Kini Bakal Kembali Ke Pangkuan Rakyat
Tanah Peneroka ‘Dirampas’ 2010, Kini Bakal Kembali Ke Pangkuan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Isu tanah peneroka di Cakuh 9, Jerangau yang berlarutan lebih empat dekad kini kembali menunjukkan sinar penyelesaian apabila Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bersetuju membuka semula pelan penyerahan tanah kepada Kerajaan Negeri untuk diberi hak milik kepada peneroka asal yang telah meneroka tanah tersebut sejak tahun 1985. Menurut rekod, seramai 80 peneroka telah mengusahakan tanah seluas lima ekar setiap lot bagi tanaman sawit secara sah mengikut Peraturan Tanah Terengganu, namun pada tahun 2010, tanah berkenaan telah diberi milik kepada KETENGAH oleh kerajaan ketika itu, sekali gus menafikan hak peneroka asal yang telah berpuluh tahun membangunkan kawasan tersebut dari hutan tebal menjadi ladang sawit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, menjelaskan bahawa kesilapan itu bukan berpunca daripada rakyat, sebaliknya daripada keputusan kerajaan terdahulu yang menyerahkan tanah rakyat kepada agensi. “Isu sebenar ialah bukan rakyat yang menceroboh tanah KETENGAH, tetapi hakikatnya KETENGAH yang tersilap mengambil tanah yang telah diterokai rakyat sejak berpuluh tahun lalu. “Sepatutnya para peneroka ini diberikan hak milik bagi tanah yang mereka telah terokai. Apatah lagi keluasan setiap lot adalah lima ekar mematuhi peraturan bagi kebun sawit. Dari segi moral, adalah silap apabila tanah ini diberi milik kepada KETENGAH. Ia satu bentuk kezaliman terhadap peneroka asal,” katanya menerusi laman sosialnya, kelmarin. Dr. Azman mendedahkan, ketika beliau berada dalam Lembaga Pengarah KETENGAH (BOD), satu keputusan telah dibuat untuk menyerahkan kembali tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri supaya diagihkan semula kepada peneroka asal. Ujar beliau, sebagai gantinya Kerajaan Negeri akan memberi tanah lain kepada KETENGAH dengan keluasan yang sama. “Namun, pelan penyelesaian tersebut tergendala susulan pertukaran kepimpinan politik dan perubahan jawatan Pengerusi KETENGAH, menyebabkan keputusan itu dibatalkan. “Situasi menjadi tegang apabila pada Disember 2024, notis pengurusan baharu KETENGAH ditampal di ladang sawit Cakuh 9, mencetuskan konflik terbuka dengan peneroka. Tambah beliau, kini, selepas perubahan kepimpinan sekali lagi, KETENGAH bersetuju untuk menghidupkan semula pelan penyelesaian tersebut dengan kerjasama penuh Kerajaan Negeri bagi menamatkan kemelut yang telah berlarutan selama lebih 40 tahun. “Semasa saya dalam BOD KETENGAH dulu, pelan penyelesaian telah dibuka untuk dilaksanakan kembali. Kerajaan Negeri sedia membuka ruang sepenuhnya supaya ia dapat diselesaikan segera demi manfaat rakyat. “Dulu kami telah bekerja separuh jalan, tinggal sedikit sahaja lagi untuk disempurnakan. Terima kasih KETENGAH kerana kembali ke landasan yang betul. “Isu ini bukan salah pengurusan tetapi berpunca daripada mantan Pengerusi yang terlalu ghairah berpolitik tanpa mengira kepentingan rakyat. Alhamdulillah, beliau telah tiada lagi dalam posisi tersebut dan rakyat perlu pastikan orang sebegini tidak kembali,” tegas Dr. Azman.
08 Oct 25
17161
Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
HULU TERENGGANU, 8 Oktober – Usahawan wanita di negeri ini disaran mengambil kesempatan dengan manfaatkan teknologi terkini termasuk menggunakan platform digital sebagai medium bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi terkini sangat penting dalam memastikan mereka tidak ketinggalan. Katanya, susulan itu Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sentiasa memantau usahawan-usahawan ini termasuk menyediakan latihan, kursus, khidmat nasihat dan lain-lain agar mereka sentiasa berdaya saing. “Bidang perniagaan adalah sesuatu yang sangat fleksibel, walaupun kita lihat ramai usahawan wanita telah berjaya tetapi mereka perlu sentiasa diberikan latihan dan bimbingan dari semasa ke semasa memandangkan perkembangan teknologi terkini yang sangat laju. “Malah masih ada di kalangan usahawan wanita yang memerlukan bimbingan berterusan agar mereka bukan sekadar hanya berdaftar di platform digital tetapi juga mampu berjaya seperti orang lain dan inilah peranan kita untuk membantu mereka lebih maju ke hadapan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jejak Usahawan yang menyertai Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) di Ajil, semalam. Dalam pada itu, Ariffin turut menyeru usahawan Terengganu berdaftar dengan YPU walaupun sudah berbuat demikian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan mereka merebut pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.  
08 Oct 25
118
26 PKM Kini Dilengkapi S@MPAI, Strategi Baharu Bantu Rakyat Dapat Kerja
26 PKM Kini Dilengkapi S@MPAI, Strategi Baharu Bantu Rakyat Dapat Kerja
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Inisiatif Kerajaan Terengganu bagi memastikan rakyat negeri ini tidak terpinggir daripada peluang pekerjaan terus diperkasa apabila skrin Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) kini telah dipasang di 26 Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) seluruh negeri setakat September lalu. S@MPAI merupakan platform penyampaian maklumat pekerjaan yang diperkenalkan melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), dengan pendekatan visual grafik interaktif yang dikemas kini secara harian. Ia menjadi saluran pilihan rakyat untuk mendapatkan maklumat pekerjaan dengan lebih cepat, tepat dan mesra pengguna. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, sistem berkenaan kini telah mula bersiaran setiap hari, menyalurkan pelbagai maklumat pekerjaan dalam dan luar negeri. “Selain maklumat kerja kosong, S@MPAI turut memaparkan maklumat berkaitan program pembangunan sumber manusia, peluang melanjutkan pelajaran serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk hebahan program setempat,” ujarnya ketika dihubungi pemberita. Menariknya, tambah beliau, beberapa buah masjid juga telah menyatakan minat untuk memasang sistem tersebut di lokasi masing-masing, menggambarkan penerimaan masyarakat terhadap pendekatan baharu ini. Mengulas lanjut, Ariffin berkata fungsi utama S@MPAI buat masa ini adalah untuk menyalurkan maklumat pekerjaan dan latihan kemahiran terus ke peringkat akar umbi, merangkumi daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN). “Kita berharap penyaluran maklumat ini dapat mengurangkan jurang maklumat (information gap) yang selama ini menjadi antara punca utama masalah pengangguran dalam kalangan rakyat,” jelasnya. Menurutnya, bagi memastikan seluruh rakyat negeri menikmati manfaat kemudahan ini, paparan aplikasi S@MPAI akan diperluas ke semua DUN melalui Pusat Khidmat Masyarakat secara berperingkat dalam masa terdekat. Langkah ini bukan sahaja memberi akses menyeluruh kepada maklumat kerjaya, malah selari dengan agenda pendigitalan Terengganu dalam memperkukuh sistem penyampaian maklumat secara inklusif dan efisien. Dengan pemasangan S@MPAI di lokasi strategik seperti PKM dan masjid, rakyat kini mempunyai akses segera kepada maklumat kerja tanpa perlu menunggu hebahan konvensional. Inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada pencari kerja, terutama golongan muda dan belia luar bandar, selain memperkukuh jaringan maklumat antara kerajaan negeri dan rakyat di peringkat akar umbi.
08 Oct 25
694
Wanita, Ibu Tunggal DUN Ladang Didedah Potensi Keusahawanan Agro
Wanita, Ibu Tunggal DUN Ladang Didedah Potensi Keusahawanan Agro
SETIU, 9 Oktober – Usaha memperkasakan wanita dan ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang diteruskan apabila seramai 36 peserta dibawa melawat ke dua lokasi pertanian dan pemprosesan makanan di Setiu bagi membuka peluang keusahawanan baharu. Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu itu bertujuan memberi pendedahan sebenar kepada peserta terhadap potensi bidang agro makanan dan perusahaan kecil sederhana (PKS). Zuraida berkata, lawatan tersebut diharap menjadi pencetus semangat kepada golongan wanita untuk meningkatkan taraf hidup melalui bidang keusahawanan. “Semoga pengalaman ini menjadi pencetus semangat kepada peserta untuk berusaha memajukan diri dan keluarga,” katanya. Dalam program berkenaan, peserta melawat Pusat Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran (3P) Langkap, yang menempatkan operasi usahawan tempatan, Puan Norainii, yang berjaya mengkomersialkan produk makanan tradisional. Peserta turut mengikuti demonstrasi penyediaan kuih akok dan bahulu. Rombongan turut dibawa ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, yang mengusahakan ladang betik seluas 10 ekar dengan lebih 5,000 pokok varieti Amira milik seorang anak muda tempatan.   
08 Oct 25
19