MARANG - Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Israel sebenarnya telah mengalami kekalahan dalam pertempuran menentang Palestin di Gaza dan desakan untuk gencatan senjata hanyalah helah bagi menutup rasa malu.
Beliau berkata, di sebalik keangkuhan Israel yang mendakwa memiliki tentera yang tidak boleh dikalahkan, realitinya mereka gagal menewaskan kebangkitan pejuang Hamas yang berjuang dengan pertolongan ALLAH SWT.
Menurutnya, secara politik, Hamas telah mencapai kemenangan manakala Israel berada di pihak yang tewas, sehingga terpaksa meminta bantuan kuasa besar untuk mengadakan rundingan.
"Dia (Israel) nak mengundur, malu. Dia tak undur, dia perang. Tembak, tembak, tembak... akhirnya panggil Amerika tolong dia (untuk berunding).
"Dia kalah sebenarnya. Jadi politiknya, Israel kalah. Hamas menang," katanya ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Pandangan Abdul Hadi itu hadir ketika pusingan terbaru rundingan gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kemajuan signifikan.
Pada Khamis, Hamas mengesahkan persetujuan terhadap fasa pertama pelan damai yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump, yang merangkumi pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza, dan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Kabinet Israel turut dilaporkan telah meluluskan rangka kerja bagi perjanjian tersebut, walaupun beberapa butiran lanjut mengenai pengunduran sepenuhnya dan status Gaza pada masa hadapan masih belum diperincikan.
Mengulas lanjut mengenai strategi pertempuran, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kekuatan tentera Zionis dengan kelengkapan canggih ternyata tidak mampu menandingi strategi pejuang Palestin.
Jelasnya, serangan bom yang meruntuhkan bangunan di Gaza tidak melemahkan Hamas, sebaliknya menjadikan runtuhan itu sebagai kubu pertahanan yang lebih kukuh.
"Hamas duduk dalam tanah (terowong). Bila bangunan runtuh, mereka (lagi) kukuh dalam tanah itu. Nak masuk dengan kereta kebal tak boleh... Hamas keluar ikut celah batu, tembak seorang-seorang (tentera Israel)," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan ini masih belum berakhir dan menyeru umat Islam untuk terus mendoakan kemenangan buat saudara di Palestin.