lightning-solid
Berita :
Isu Dadah Masalah Global, Bukan Hanya Tertumpu Kepada SG4
Isu Dadah Masalah Global, Bukan Hanya Tertumpu Kepada SG4
Rohayati Ripin
09 Oct 25
29

KUALA TERENGGANU, 9 Oktober –Isu penyalahgunaan dadah adalah masalah global yang tidak sepatutnya dipersalahkan kepada negeri atau institusi tertentu, sebaliknya memerlukan penyelesaian secara bersama.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Khalil Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas persepsi yang timbul apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution sering mengaitkan isu dadah dengan negeri-negeri dalam kelompok SG4, sedangkan data rasmi menunjukkan kadar penyalahgunaan dadah di negeri lain lebih tinggi berbanding Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

“Bagi saya kita tidak menafikan data tersebut, tetapi penyelesaiannya mesti dilihat secara matang dan bersama.

"Jangan menuding jari kepada negeri atau institusi tertentu. Dadah ini masalah sejagat,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM berkata demikian dalam sidang media selepas Bengkel Pemantapan PEMADAM negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadun Islam, hari ini.

Menurutnya, kerajaan Terengganu telah menyedari hakikat tersebut sejak sebelum mengambil alih pentadbiran pada 2018, lalu memasukkan cadangan penubuhan pusat pemulihan Darul Barakah dalam manifesto pilihan raya.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai Pusat Pemulihan Darul Barakah menerima jumlah permohonan yang sangat tinggi daripada individu yang ingin mendapatkan latihan dan pemulihan, namun terpaksa menolak sebahagiannya berikutan kekangan kewangan.

“Setakat ini peserta ahli Barakah seramai 85 orang, kita menerima permohonan terlalu tinggi sehingga ada yang terpaksa ditolak kerana isu kewangan yang tidak dapat kita beri,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pelatih yang berjaya menamatkan program di pusat tersebut akan terus disusuli oleh agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta institusi bukan kerajaan bagi memastikan mereka tidak terpinggir selepas keluar.

Menurutnya, usaha di Darul Barakah memberi tumpuan kepada latihan kemahiran agar peserta mampu berdikari, khususnya dalam bidang pertanian, perikanan dan keusahawanan.

“Apa yang kita lakukan di Barakah ini adalah melatih mereka supaya boleh bergerak sendiri.

"Dengan kemahiran yang diperoleh, mereka mampu menggerakkan kehidupan selepas keluar,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan