Artikel "Semasa" Terkini
Kerja Penebangan Pokok Berisiko Di Laluan Pengkalan Atap–Mengabang Lekor Dipergiat
KUALA NERUS, 12 Oktober – Pihak berkuasa tempatan melaksanakan kerja-kerja penebangan pokok besar di sepanjang laluan Pengkalan Atap–Mengabang Lekor, susulan kekerapan insiden kemalangan maut yang pernah berlaku di kawasan tersebut sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, tindakan itu merupakan langkah proaktif bagi memastikan keselamatan penduduk setempat dan pengguna jalan raya, di samping mengurangkan risiko kemalangan akibat pokok tumbang pada masa akan datang.
“Setakat ini, semua pokok yang dikenal pasti berisiko telah berjaya ditebang, kecuali satu pokok terakhir yang belum dapat ditebang atas faktor teknikal tertentu,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi, baru-baru ini.
Bagi menyelesaikan isu pokok yang masih belum ditebang itu, Ahli Majlis MBKT, Che Sulaiman Ismail, bersama Pengarah Kejuruteraan MBKT, Zahiruddin, serta pasukan teknikal telah turun padang untuk meneliti keadaan sebenar dan mengemukakan permohonan rasmi bagi melaksanakan kerja penebangan baki pokok berkenaan.
Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) turut memberi jaminan bahawa tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat bagi menjamin kesejahteraan serta keselamatan komuniti setempat, selaras dengan keutamaan pihak berkuasa terhadap keselamatan awam.
12 Oct 25
40
Peruntukan RM2.3 Juta Perkukuh Ekosistem Sukan
KUALA NERUS, 12 oktober - Dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan di Negeri Terengganu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan RM2.3 Juta yang melibatkan lima projek pembangunan meliputi naik taraf dan projek terbaharu.
Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, beberapa projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan bagi memastikan infrastruktur sukan di Terengganu di tahap terbaik.
"Dalam ucapan Perdana Menteri semasa Pembentangan Belanjawan 2026 semalam, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah turun ke setiap negeri bagi memahami keutamaan pembangunan sukan di peringkat negeri.
"Hasil libat urus tersebut turut diambil kira dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk cadangan naik taraf infrastruktur dan kemudahan sukan di Stadium Hoki Kuala Terengganu,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Mengulas lebih lanjut, Adam Adli berkata keseluruhan inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh kemudahan sukan di negeri ini, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti.
"Peningkatan aktiviti ekonomi setempat dan penyertaan rakyat dalam gaya hidup aktif selaras dengan aspirasi Malaysia Madani," ujarnya.
12 Oct 25
55
Suri Rumah Pencorak Masa Depan Bangsa
KUALA NERUS, 11 Oktober – Peranan suri rumah bukan lagi terhad menguruskan rumah tangga, sebaliknya mereka adalah tunjang utama yang mencorak masa depan bangsa.
Profesor Madya Dr. Roslina Ismail dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menegaskan bahawa, perubahan struktur keluarga moden, seperti keluarga kecil dan ibu tunggal, telah memberi tekanan tambahan kepada suri rumah.
Beliau menekankan perlunya suri rumah untuk terus memperkasa diri dengan ilmu dan sokongan agar dapat menghadapi cabaran seperti tekanan mental, pengasingan sosial, dan isu pengiktirafan.
"Suri rumah hari ini perlu celik digital dan mempunyai asas pengurusan. Mereka bukan sekadar mengikut peredaran zaman, tetapi menjadi ejen perubahan," tegas Dr. Roslina yang turut berkongsi data demografi menunjukkan peningkatan bilangan wanita melebihi lelaki di beberapa daerah, menyoroti peranan wanita sebagai pencari nafkah keluarga.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel pada Forum Cabaran Suri Masa Kini : Siapa Ambil Berat? sempena Simposium Suri Sejahtera 2025, anjuran Urusetia Wanita Terengganu (USWA), yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, semalam.
Forum yang disemarakkan dengan kehadiran suri rumah dari pelbagai latar belakang dari seluruh Terengganu, termasuklah wakil dari Kelantan, telah membongkar pelbagai cabaran dan potensi luar biasa yang dimiliki oleh golongan ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Nor Asilah Mohamed Zin.
Sementara itu, Nor Asilah turut berkongsi inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa suri rumah.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan memperakui suri rumah sebagai nadi masyarakat dan tulang belakang negara.
"Kerajaan Negeri Kelantan melalui USWA telah melancarkan program 'Cakna Suri' yang memberikan sumbangan kewangan sebagai penghargaan kepada suri rumah.
“Selain itu, kami juga mempunyai Mawaddah Center yang menyediakan khidmat kaunseling percuma dan inisiatif pengisytiharan Hari Suri Misali setiap tahun bagi meraikan sumbangan suri rumah," jelasnya.
Beliau turut menyentuh tentang inisiatif caruman Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi suri rumah, yang mana kerajaan membantu mencarum bagi memastikan mereka mendapat perlindungan.
Forum ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyuarakan cabaran, tetapi turut memahat inspirasi dan semangat baharu buat setiap suri yang hadir.
12 Oct 25
44
Persatuan Suri Rumah Negeri Bakal Jadi Jadi Pemangkin Kesejahteraan Wanita
KUALA NERUS, 12 Oktober – Kerajaan Negeri merancang untuk menubuhkan sebuah entiti atau persatuan suri rumah negeri sebagai langkah memperkukuh sokongan emosi, sosial dan ekonomi kepada golongan suri rumah di Terengganu.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, inisiatif itu bakal menjadi platform rasmi bagi para suri rumah berkongsi pengalaman, mendapatkan bimbingan serta membina rangkaian sokongan (“support group”) yang mampan dalam kalangan komuniti wanita.
“Hari ini, ramai suri bukan sahaja menjaga keluarga, tetapi juga menyumbang melalui usahawan mikro, kerja sambilan, jualan dalam talian dan pelbagai cara lain.
“Namun kita juga sedar, ramai suri memendam rasa, menanggung stress, dan menguruskan rumahtangga serta keluarga dalam masa yang sama.
"Kerajaan negeri memahami tekanan dan cabaran ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Suri Sejahtera (3S) yang diadakan di Kuala Nerus, semalam.
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa suri rumah tidak pernah bersendirian.
“Hari ini kita berkumpul bukan sahaja untuk belajar, tetapi untuk saling sokong menyokong dan menguatkan antara satu sama lain.
“Atas dasar itu, kita sedang merancang penubuhan sebuah entiti atau persatuan suri rumah negeri sebagai platform sokongan kepada para suri dengan tumpuan kepada sistem sokongan emosi dan kumpulan sokongan yang membantu mereka saling menguatkan,” katanya.
Menurutnya, langkah ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa peranan suri rumah sebagai tunjang keluarga dan aset sosial negeri, selain mengiktiraf sumbangan besar mereka terhadap kesejahteraan masyarakat.
"Berdasarkan data Profil Rakyat Terengganu (PRT) 20, sehingga tahun 2025, dianggarkan terdapat 119,012 suri rumah di Terengganu, iaitu sekitar 36.08 peratus daripada jumlah isi rumah yang direkodkan.
“Angka ini menggambarkan bahawa golongan suri rumah merupakan kumpulan yang besar, sekali gus menuntut perhatian terhadap dasar dan pelam pemerkasaan suri rumah di peringkat negeri,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri mahu para suri dihargai dan tidak bersendirian.
“Melalui persatuan ini, mereka akan ada tempat untuk mendapatkan sokongan moral, perkongsian ilmu dan jaringan bantuan yang tersusun,” katanya.
Simposium Suri Sejahtera turut menjadi medan perbincangan pelbagai isu semasa melibatkan kesejahteraan suri, termasuk kesihatan mental, tekanan ekonomi dan keseimbangan peranan dalam keluarga moden.
"Langkah ini bukan hanya penghargaan moral, tetapi juga mengangkat martabat wanita sebagai tunjang pembangunan sosial negara," ujarnya.
Beliau berharap Simposium menjadi permulaan kepada gerakan memperkasa komuniti suri rumah Terengganu agar terus berdaya, dihargai dan diiktiraf sebagai tiang utama keluarga dan masyarakat.
11 Oct 25
49
Agihan Belanjawan Perlu Adil Fokus Pembangunan Terengganu, HSNZ
KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak menyifatkan agihan dalam Belanjawan 2026 perlu lebih seimbang dan adil, khususnya kepada Terengganu yang merupakan negeri penyumbang utama hasil minyak dan gas negara.
Beliau berkata, Terengganu wajar menerima perhatian pembangunan yang setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi Malaysia.
Dalam komen awalnya sejurus pembentangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, Dr. Alias turut membangkitkan isu kesesakan dan kekurangan fasiliti di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang perlu diselesaikan segera.
"Saya menyambut baik peruntukan besar yang diumumkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan kali ini.
"Namun, angka yang besar itu mesti disertai dengan pelaksanaan yang menyeluruh di lapangan, khususnya dalam menangani isu kapasiti hospital di negeri-negeri Pantai Timur," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurutnya, situasi di HSNZ yang terus berdepan tekanan akibat kekurangan kemudahan dan kepakaran amat membimbangkan dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan prinsip keadilan agihan fiskal antara kerajaan persekutuan dan negeri perlu ditegakkan.
“Sebagai negeri penyumbang utama hasil minyak dan gas negara, Terengganu wajar menerima perhatian pembangunan yang seimbang dengan sumbangannya terhadap ekonomi negara.
“Saya berharap agar Terengganu serta negeri-negeri Pantai Timur tidak lagi dipinggirkan, sebaliknya diangkat sebagai antara pemangkin utama pembangunan dan kesejahteraan Malaysia,” ujarnya.
11 Oct 25
78
Ladies Fun Walk 2.0 2025: Langkah Palestin, Rezeki Nur Nadirah ke Tanah Suci
KEMAMAN, 11 Oktober – Program Ladies Fun Walk (LFW) 2025 edisi kedua telah berlangsung dengan penuh semangat dan meriah apabila lebih 1,500 peserta wanita dari seluruh daerah Kemaman hadir menyertai acara yang menggabungkan elemen sukan, kebersamaan dan solidariti untuk Palestin.
Bertemakan “Bersamamu Palestin”, program kali ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi turut membawa mesej kemanusiaan dan keprihatinan terhadap saudara Islam di bumi Palestin yang sedang diuji.
Kemuncak acara menyaksikan cabutan Grand Lucky Draw berupa Pakej Umrah 9 Hari 7 Malam yang ditaja sepenuhnya oleh Rayhar Travels, dan dimenangi oleh Nur Nadhirah Aqilah Razadianderi, 24, dari Kampung Mak Chili, Kemaman.
Ketika ditemui, Nur Nadira yang kelihatan sebak dan terharu berkata, dia tidak menyangka akan terpilih sebagai pemenang utama.
“Saya baru sahaja pulang menunaikan umrah pada bulan Ogos lalu. Tak sangka Allah panggil saya sekali lagi… mungkin ini panggilan kedua untuk saya bertemu dengan-Nya di Tanah Suci Mekah,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dia mengetahui mengenai Ladies Fun Walk 2025 melalui rakannya di aplikasi WhatsApp dan terus mendaftar selepas tertarik dengan tema serta mesej kemanusiaan yang dibawakan.
“Saya harap LFW akan diteruskan lagi pada masa akan datang. Sambutan kali ini sangat meriah, dan saya doakan agar lebih ramai warga Kemaman turut serta agar ukhuwah kita terus kuat,” tambahnya.
Penganjur turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, penaja dan sukarelawan yang menjayakan program ini, serta berharap Ladies Fun Walk akan terus menjadi wadah kebersamaan, kesihatan dan keprihatinan ummah.
11 Oct 25
1478
Fun Run & Ride For Waqf 2025 Semarak Kesedaran Mental, Semangat Kebajikan
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Program Mental Health Fun Run & Ride for Waqf 2025 yang berlangsung di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini bukan sekadar aktiviti kecergasan, tetapi juga menjadi platform memperkukuh kesedaran terhadap kesihatan mental serta menyemai semangat kebajikan berasaskan wakaf.
Program edisi keempat itu dianjurkan oleh Pejabat Setiusaha Kerajaan Terengganu (SUK) melalui AKRAB Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia 2025, bertemakan 'Make My Day: RunRide For Waqf'.
Lebih 1,800 peserta menyertai acara larian dan kayuhan santai yang turut disertai penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi, serta masyarakat umum, menampilkan suasana harmoni penuh keceriaan di tengah bandar raya Kuala Terengganu.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk Fun Run & Ride, pameran kesihatan mental, kaunter wakaf dan sumbangan amal, selain cabutan bertuah serta aktiviti kekeluargaan.
Penyertaan kali ini turut mendapat sokongan agensi kerajaan, NGO dan rakan strategik.
Menariknya, RM1,000 ditawarkan kepada agensi atau kumpulan yang menghantar peserta paling ramai, manakala dua kategori cabutan bertuah disediakan bagi kategori larian dan berbasikal dengan hadiah berupa peralatan kemas (cincin), gold bar, peralatan elektronik serta hadiah utama motosikal Honda Beat.
Menurut Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang, penganjuran kali ini membawa pendekatan unik apabila yuran penyertaan peserta disalurkan sepenuhnya kepada Dana Wakaf Kebajikan Negeri Terengganu.
"Dalam kita menjalani aktiviti kecerdasan sukan, jadi penerapan elemen agama itu kita masukkan. Yuran penyertaan yang kita kumpul daripada peserta ini, seratus peratus Kita infakkan kepada dana wakaf.
"Jadi maksudnya kita dapat kesihatan, fizikal dan mental serta pahala," katanya dalam satu temubual rancangan Selamat Pagi Terengganu di saluran TV Darul Iman (TVDI) ketika mengupas mengenai acara yang telah dijalankan pagi tadi.
Beliau yang juga merupakan Setiausaha Dewan Undangan Negeri menjelaskan, kerjasama bersama MAIDAM menjadi simbol penyatuan antara kesejahteraan fizikal, mental dan rohani, selaras dengan agenda negeri memperkukuh keseimbangan hidup rakyat Terengganu.
Tambahnya, melihat pada sambutan masyarakat dalam acara lepas yang amat menggalakkan menjadi petunjuk bahawa kesedaran dan penerimaan dalam kalangan masyarakat terhadap kesihatan mental amat positif.
Menurutnya lagi, program itu kekal dilangsungkan di perkarangan Wisma Darul Iman pada kali ini sebagai lokasi tradisi penganjuran sejak kali pertama ia dilaksanakan.
"Jadi untuk penunggang basikal, jarak untuk ditempuhi adalah sejauh 42km, untuk 'Fun Run' itu adalah 5km dan kedua-duanya akan melalui Drawbridge. Drawbridge itu (juga) adalah laluan tradisi program ini," jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Psikologi Pejabat SUK Terengganu, Mohd Yusnoruddin Mohd Yuznah, menegaskan bahawa isu kesihatan mental masih dianggap 'pembunuh senyap' dalam masyarakat.
"Kalau sakit fizikal orang nampak, tapi kalau sakit mental susah nak dikesan. Malah ramai segan untuk berkongsi kerana stigma. Melalui program ini, kita nak buka ruang dan fahaman bahawa menjaga kesihatan mental adalah satu bentuk ibadah juga," ujarnya.
Menurut beliau, tema tahun ini 'Make My Day' membawa mesej positif bahawa setiap individu mampu menceriakan hari orang lain dan membantu menyebarkan aura kebahagiaan dalam komuniti.
11 Oct 25
59
Kuasa mutlak Menteri, Ahli Parlimen Besut Bimbang
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Perikatan Nasional), menimbulkan persoalan serius berhubung peruntukan kuasa penuh kepada Menteri Dalam Negeri dalam Rang Undang-Undang Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, khususnya melibatkan hal pelesenan dan penetapan fi.
Dalam perbahasan Rang Undang-Undang tersebut di Dewan Rakyat, Che Mohamad Zulkifly menyatakan kebimbangannya mengenai potensi penyalahgunaan kuasa sekiranya Fasal 2, yang memberikan kuasa mutlak kepada Menteri untuk meluluskan lesen dan menentukan fi, diluluskan tanpa semak imbang yang jelas.
"Fasal 2 ini berpusat kuasa kepada Menteri. Jadi saya nak tanya, Timbalan Menteri tak ada kuasa? Menteri saja," ujarnya, secara berseloroh membangkitkan isu kuasa Timbalan Menteri yang tiada peranan dalam peruntukan tersebut.
Beliau menekankan bahawa sebagai Ahli Parlimen, mereka perlu memastikan terdapat badan yang mengawal kuasa tersebut, bimbang sekiranya 'sesiapa yang rapat dengan Menteri atau Timbalan Menteri, ataupun dengan PM' boleh mendapatkan kelulusan dengan mudah, sambil merujuk kepada isu perolehan projek mega yang tular baru-baru ini.
"Janganlah kita nak luluskan undang-undang bagi kuasa penuh kepada Menteri ini," tegas beliau, sebelum turut memetik Fasal 6 yang dilihatnya turut meletakkan kuasa mutlak kepada Menteri, walaupun surat dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (KPN), tetapi masih tertakluk kepada apa yang Menteri tetapkan.
Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, menepis kebimbangan itu, menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Menteri adalah berdasarkan kepada laporan dan tapisan yang rapi, bukannya secara sewenang-wenangnya.
"Menteri tidak buat keputusan tanpa ada laporan-laporan dan juga penelitian yang dibuat," jelas Shamsul Anuar.
Beliau memberi contoh dalam proses pelulusan lesen syarikat, di mana syarikat perlu melalui tapisan keselamatan oleh PDRM terlebih dahulu, diikuti dengan temuduga oleh panel yang berkelayakan untuk meneliti semua dokumen permohonan yang diuruskan oleh unit urus setia.
"Setelah selesai barulah kita angkat syor kepada Menteri. Jadi sebenarnya, apa yang kita buat ini dia memang mematuhi peraturan-peraturan dan kita tidak sewenang-wenangnya buat peraturan untuk meletakkan individu mempunyai kuasa mutlak," tegas Timbalan Menteri.
Keterangan Timbalan Menteri itu dilihat bertujuan memberikan jaminan kepada Dewan Rakyat bahawa proses pelesenan agensi persendirian kekal telus dan tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan dan prosedur standard, meskipun kuasa muktamad diletakkan di bawah Menteri.
11 Oct 25
113
Pengusaha Warung Aziz Satar Maut Dalam Nahas Jalan Raya
KEMAMAN, 11 Oktober - Pasangan pengusaha kedai makan Warung Aziz Satar di Kampung Geliga maut dalam nahas jalan raya di Maran, Pahang, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah pemandu, Aziz Awang, 68, dan isterinya, Hasnah Mat Nong, 64.
“Empat penumpang lain yang cedera dan kini dirawat di Hospital Temerloh ialah pekerja warung, Che Siti Suhaida Che Amat, 27; Rohani Chik, 65; Noraini Mamat, 45. serta seorang kanak-kanak, Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8, iaitu anak Noraini” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Kim Wai, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux itu sedang bergerak di lorong kiri ketika tiba-tiba terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam longkang selepas dipercayai hilang kawalan akibat permukaan jalan licin.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat menzahirkan rasa sedih di atas kejadian yang berlaku itu.
"Kami terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian ini, semalam. Kami berasa satu kehilangan yang besar memandangkan pasangan ini dikenali dalam dan luar daerah kerana mengusahakan kedai makan yang menjadi tarikan orang ramai di sini.
"Saya mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga mereka. Semoga Allahyarham Pok Aziz dan Allahyarhamah Hasnah ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh," ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, Aziz dan Hasnah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
11 Oct 25
601
Muara Sungai Terengganu Jadi Saksi Solidariti Untuk Palestin Terus Membara
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Sekitar 300 bot pelbagai saiz memenuhi muara Sungai Terengganu, petang tadi bagi menzahirlan solidariti kepada perjuangan pembebasan Palestin.
Penasihat Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu (PBSSNT), Hamdi Harun menyifatkan, penganjuran perarakan itu menjadi simbol gelombang kebangkitan rakyat yang membuktikan bahawa walaupun jarak memisahkan, umat Islam di Malaysia tetap bersama dalam doa, sokongan dan perjuangan untuk membela bumi Al-Quds yang diberkati.
"Melihat kepada sambutan dan semangat masyarakat, jumlah itu dijangka melebihi anggaran awal. Ramai pihak ingin turut serta sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin dan meraikan wira-wira Sumud Flotilla yang baru pulang ke tanah air.
"Tujuan utama perarakan ini adalah untuk membakar semula semangat solidariti ummah terhadap perjuangan Palestin, di samping meraikan keberanian para wira yang menyertai misi Taufan Al Aqsa", katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, perjuangan Palestin bukan isu bermusim, sebaliknya ia ujian keimanan dan maruah umat Islam.
"Ketika dunia semakin sunyi dan seolah-olah melupakan penderitaan Gaza, kita mesti terus menyemarakkan kesedaran agar umat tidak lalai.
"Program seperti ini penting untuk memastikan api perjuangan tidak padam dan bukan sekadar dengan slogan, tetapi melalui tindakan, doa, infaq serta kesedaran berterusan.
"Anak muda mesti dididik bahawa membela Palestin adalah sebahagian daripada tanggungjawab iman dan ukhuwah Islamiah," tambahnya.
10 Oct 25
69