lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

PKM ADUN Bukit Tunggal Johan Kategori Pasukan Khas
PKM ADUN Bukit Tunggal Johan Kategori Pasukan Khas
KUALA TERENGGANU, 6 September – Pusat Khidmat Masyrakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal muncul johan bagi kategori Pasukan Khas dalam Perarakan dan Perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Negeri Terengganu, baru-baru ini. Perarakan yang bermula pukul 7.30 pagi dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu disertai 3,972 peserta melibatkan 122 kontinjen termasuk 76 pasukan bertanding dan 32 pasukan tidak bertanding. Pelepasan kontinjen disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah. Selain perbarisan kontinjen, turut menyerikan sambutan ialah perarakan kenderaan membabitkan 14 penyertaan daripada jabatan kerajaan dan pihak swasta. Sebanyak lapan kategori dipertandingkan tahun ini termasuk Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform, Badan Berkanun Tidak Beruniform, Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform, Institut Pengajian Tinggi (IPT)/anak syarikat kerajaan (GLC)/Persatuan/NGO Tidak Beruniform, Pasukan Beruniform Jabatan Kerajaan/IPT/Swasta/Badan Berkanun, Pasukan Sekolah Menengah Beruniform, Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri, serta Pancaragam Sekolah. Kemenangan PKM ADUN Bukit Tunggal dalam kategori Pasukan Khas membuktikan semangat kerjasama serta disiplin tinggi yang ditonjolkan oleh kontinjen tersebut sepanjang perarakan. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr. Zaharudin Zahid merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh pasukan atas kejayaan tersebut. “Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kontinjen PKM DUN Bukit Tunggal yang telah mengharumkan nama kawasan dengan semangat juang, disiplin dan kerjasama erat yang dipamerkan. "Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama dan saya yakin ia akan menjadi inspirasi untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya.
04 Sep 25
70
Program Agihan Bendera Semarakkan Semangat Patriotisme
Program Agihan Bendera Semarakkan Semangat Patriotisme
KUALA NERUS, 4 September – Program Agihan Bendera Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan berjaya dianjurkan di dua lokasi utama iaitu Pasar Bukit Tunggal dan Pasar Batu Enam sempena sambutan bulan kebangsaan 2025. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid berkata, program tahunan ini bertujuan meningkatkan kesedaran bernegara serta menyemai semangat cintakan tanah air dalam kalangan masyarakat setempat. “Setiap kali menjelang 31 Ogos, kita akan teruskan agihan bendera ini dengan harapan masyarakat Bukit Tunggal dapat menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada negara Malaysia,” katanya. Beliau yakin usaha berterusan itu akan menjadikan masyarakat lebih menghargai erti kemerdekaan dan bersama-sama menjaga keharmonian negara pada masa hadapan.
04 Sep 25
45
Projek Terbiar Pembenihan Ikan Marin Dihidupkan Semula
Projek Terbiar Pembenihan Ikan Marin Dihidupkan Semula
KUALA TERENGGANU, 2 September – Pusat Pembenihan Ikan Marin di Kampung Rhu 10, Setiu yang sebelum ini terbiar pada zaman pentadbiran terdahulu kini kembali beroperasi dengan jayanya. Usaha menghidupkan semula pusat ini dilakukan melalui kerjasama strategik antara Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan syarikat tempatan, Aishah Zulkifli Resources. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perladangan negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata antara komponen penting yang dipulihkan termasuk pemasangan 120 tangki pembiakan baharu serta sistem bekalan air laut yang dipam terus ke pusat tersebut. “Kesempurnaan bekalan air bersih dengan kadar kemasinan yang tepat merupakan faktor utama kejayaan projek pembenihan ikan marin, khususnya bagi spesies kerapu hibrid yang sangat sensitif terhadap perubahan saliniti,” katanya. Beliau menambah, kejayaan menghidupkan kembali pusat pembenihan ini membuktikan pendekatan kerajaan negeri dalam memanfaatkan aset-aset terbiar mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi, di samping menjana peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
02 Sep 25
111
Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi Meriahkan Jelajah Merdeka
Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi Meriahkan Jelajah Merdeka
KUALA TERENGGANU, 1 September- Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, suasana di Pantai Batu Buruk meriah dengan pelepasan Konvoi Jelajah Ambang Merdeka 2025 yang disertai seramai 68 penunggang motosikal berkuasa tinggi, kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama kerajaan negeri bersama persatuan motosikal berkuasa tinggi, termasuk TDI Bikers serta beberapa kelab permotoran lain. "Konvoi ini melibatkan laluan di seluruh daerah dengan pengagihan lebih 500 helai Jalur Gemilang kepada orang ramai di setiap checkpoint. "Majlis pelepasan konvoi yang diadakan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu telah disempurnakan dengan keberangkatan hadir Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggong Diraja Terengganu," katanya. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan ngeri, Ahmad Shah Muhammed. Tambah Razali, sebagai tanda menyemarakkan semangat cinta negara, Jalur Gemilang diagihkan kepada orang ramai di setiap checkpoint persinggahan konvoi. Agihan Jalur Gemilang di setiap daerah bukan sekadar serahan bendera, tetapi mesej bahawa semangat patriotisme harus dikibarkan di hati setiap rakyat. Antara persinggahan utama termasuklah Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Masjid Hadhari di Besut, IPD Setiu, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Padang Astaka Chukai, Kemaman, Sura Gate, Dungun, serta IPD Marang, sebelum menutup tirai di Drawbridge Kuala Terengganu. Program sedemikian menunjukkan bagaimana semangat cintakan negara dapat dizahirkan dalam bentuk aktiviti yang menarik, sekali gus mendekatkan rakyat dengan sambutan kemerdekaan.
31 Aug 25
144
Anak Muda Pelbagai Kaum Semarakkan Hari Kebangsaan di Terengganu
Anak Muda Pelbagai Kaum Semarakkan Hari Kebangsaan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Suasana penuh warna-warni sempena Hari Kebangsaan terserlah di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu apabila enam anak muda daripada pelbagai kaum tampil bergaya dalam pakaian tradisional masing-masing sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Idea segar ini dicetuskan oleh anak jati Terengganu, Eric Liaw, 27, yang mahu menggambarkan keindahan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang menjadi kekuatan utama rakyat Terengganu.  “Malaysia terdiri daripada tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India. Dalam gambar ini, kita dapat lihat sekumpulan rakan yang memakai baju tradisional masing-masing sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Di situlah lahirnya sifat perpaduan,” katanya ketika dihubungi. Bagi Eric, perpaduan adalah asas penting dalam membentuk negara yang aman dan stabil. Katanya, walaupun semangat itu sudah wujud, masih banyak ruang untuk diperkukuhkan. “Malaysia memang sudah ada semangat perpaduan, tetapi ia belum cukup kuat. Masih boleh dipertingkatkan lagi. “Anak muda boleh menyertai aktiviti sukarelawan, bersukan bersama tanpa mengira bangsa atau agama. Kita juga perlu amalkan nilai toleransi, hormat-menghormati serta menguasai bahasa kebangsaan. Jika mampu, pelajari bahasa lain supaya komunikasi lebih mudah,” jelasnya. Dari kiri: Afif, Eric, Shashi, Alifah, Pek Yan dan Poorini Eric yang fasih bertutur dalam dialek Terengganu turut menekankan bahawa generasi muda merupakan tunjang kepada masa depan negara, dan mereka perlu menjadi ejen pengukuhan semangat perpaduan. Mengenang pengalaman mengibarkan Jalur Gemilang di perkarangan Kampung Budaya, Eric meluahkan rasa terharu kerana dapat merasai detik penuh makna itu bersama rakan-rakan berbilang kaum. “Semasa mengibarkan Jalur Gemilang, saya rasa sangat gembira kerana wujudnya sifat harmoni. Harmoni inilah yang membanggakan saya sebagai rakyat Malaysia kita kibarkan bendera dengan senyuman tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. Mengulas pemilihan lokasi, Eric menyifatkan Kampung Budaya Muzium Negeri Terengganu sebagai tempat yang sarat dengan sentimen tradisi, sesuai dengan tema pakaian tradisional yang ditampilkan. “Kampung Budaya istimewa kerana kaya dengan suasana tradisional. Ia sangat sepadan dengan tema penggambaran kami,” jelasnya. Bagi Eric, pemakaian pakaian tradisional daripada pelbagai kaum itu sendiri membawa mesej besar bahawa perbezaan bukan pemisah, sebaliknya lambang kesatuan. “Perbezaan yang jelas inilah penunjuk kepada perpaduan yang kita kecapi. Walaupun berbeza dari segi pakaian, warna kulit, budaya, tradisi dan kepercayaan, kita tetap boleh saling memahami serta bertoleransi. Saya yakin, perbezaan inilah yang akan menguatkan lagi perpaduan kita,” tegasnya.  
29 Aug 25
306
Video Kreatif Medium Baharu Semarak Patriotisme Generasi Muda
Video Kreatif Medium Baharu Semarak Patriotisme Generasi Muda
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Pertandingan Video Kreatif dianjurkan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) menjadi platform baharu untuk menyemarakkan patriotisme dalam kalangan generasi muda sempena Perarakan Bot Merdeka 2025. Pertandingan ini membuka ruang kepada masyarakat, khususnya golongan muda, untuk menzahirkan rasa cinta tanah air melalui penghasilan video kreatif yang memaparkan suasana dan semangat kemerdekaan. Tempoh penyertaan dibuka mulai 31 Ogos hingga 9 September 2025, dengan pelbagai hadiah menarik ditawarkan termasuk RM500 untuk Johan, RM300 untuk Naib Johan, RM200 untuk tempat ketiga serta tiga hadiah saguhati bernilai RM100 setiap seorang. Penganjuran pertandingan ini selari dengan aspirasi negeri untuk menjadikan platform digital sebagai medium menyemarakkan semangat nasionalisme, di samping mencungkil kreativiti rakyat dalam menghasilkan karya berkualiti. Patriotisme bukan hanya disambut dengan kibaran bendera, tetapi juga melalui kreativiti yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat. Inilah ruang terbaik bagi generasi muda menyumbang melalui bakat mereka. Mereka yang berminat boleh mendapatkan syarat penyertaan dengan mengimbas kod QR yang tertera pada poster rasmi pertandingan. Dengan adanya pertandingan ini, sambutan Perarakan Bot Merdeka di Sungai Terengganu bukan sahaja meriah dengan perarakan penuh warna-warni, malah turut diwarnai dengan kreativiti anak muda yang menzahirkan jiwa merdeka melalui medium digital.
28 Aug 25
69
Lebih 400 Motosikal Sertai Kembara Merdeka Kemaman
Lebih 400 Motosikal Sertai Kembara Merdeka Kemaman
KEMAMAN, 28 Ogos - Semangat kebangsaan terus membara apabila lebih 400 buah motosikal menyertai Kembara Merdeka Kemaman 2025, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat berkata, penyertaan kali ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri, persekutuan, pertubuhan serta masyarakat setempat. "Kehadiran ini menggambarkan bahawa rakyat Terengganu, khususnya di daerah Kemaman, sentiasa bersatu hati dalam mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggan dan kecintaan terhadap tanah air. "Kesepaduan pelbagai pihak ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan terus menjadi nadi kepada pembangunan rakyat," ujarnya. Katanya lagi, program konvoi ini bukan sekadar sebuah perjalanan bermotosikal, tetapi lebih daripada itu ia adalah satu manifestasi perpaduan, semangat kekitaan serta jalinan erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan rakyat. "Inilah wajah sebenar kemerdekaan, rakyat hidup harmoni, saling disantuni dan bersama membina negeri serta negara yang lebih sejahtera," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri. Perjalanan yang membawa erti sebenar semangat kemerdekaan, menyatukan hati dan kasih sayang sesama insan. Program ini turut menyemai semangat prihatin terhadap masyarakat apabila 300 orang asnaf menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan beras dalam majlis penutup yang berlangsung di Kemaman Arena Square.  
28 Aug 25
67
Perarakan Merdeka Si Cilik Comel Hiburkan Warga Setempat
Perarakan Merdeka Si Cilik Comel Hiburkan Warga Setempat
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Suasana sambutan bulan kemerdekaan diwarnai keceriaan apabila 74 kanak-kanak seawal usia tiga tahun dari Taska Permata Keluarga Batu Buruk di sini tampil menyertai perarakan mini. Dengan berpakaian beraneka warna bertemakan Jalur Gemilang dan kemerdekaan, aksi bersemangat dan telatah kanak-kanak itu mencuri perhatian para ibu bapa dan masyarakat setempat yang hadir memberi sokongan. Pengurus Taska Permata Keluarga Batu Buruk, Hartini Mamat berkata, penganjuran perarakan kecil ini bertujuan menanam rasa cinta kepada negara sejak usia awal. "Melalui aktiviti ini, mereka didedahkan kepada erti kemerdekaan, bendera kebangsaan serta lagu-lagu patriotik.  "Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membina keyakinan diri, memupuk disiplin, dan belajar bekerjasama secara berpasukan," katanya. Perarakan itu diadakan di sekitar kawasan taska dengan diiringi nyanyian lagu-lagu patriotik, kibaran bendera sambil menggayakan payung berhias dan sorakan 'Merdeka' disertai kerenah dan gelagat comel anak-anak kecil ini. Tambah Hartini, penglibatan ibu-bapa yang menggalakkan juga menambah seri sepanjang acara itu berjalan. "Penglibatan ibu bapa dan guru dalam perarakan ini dapat mengeratkan hubungan serta menceriakan suasana sambutan Hari Kebangsaan.  "Selain daripada terlibat dengan perarakan, ibu bapa juga turut menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak taska iaitu hiasan payung merdeka," ujarnya. Salah seorang bapa kepada anak-anak yang menyertai perarakan, Muhammad Muzammil, 30, menyatakan perarakan itu bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi momen berharga buat keluarga. "Saya rasa bangga melihat anak kecil seawal tiga tahun sudah dididik menyemai semangat kebangsaan. Ini pengalaman manis untuk mereka dan juga kami sebagai ibu bapa," jelasnya. Acara berakhir dengan laungan penuh semangat 'Merdeka' yang bergema daripada suara kecil namun penuh makna, melambangkan semarak kecintaan kepada tanah air walaupun dari usia setahun jagung.
27 Aug 25
1358
Ahli Parlimen Pembangkang Tolak URA, Desak Undi Belah Bahagian
Ahli Parlimen Pembangkang Tolak URA, Desak Undi Belah Bahagian
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) URA terus menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat. Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Ahli-ahli Parlimen PN telah menerima memorandum bantahan daripada NGO yang menegaskan RUU itu bercanggah dengan kepentingan rakyat serta mencabuli kuasa kerajaan negeri. Menurut beliau, penolakan turut dizahirkan oleh empat Menteri Besar negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis melalui kenyataan rasmi Sekretariat Gabungan Negeri-negeri Pantai Timur (SG4) yang menolak keras RUU tersebut kerana menyentuh bidang kuasa negeri. Katanya, penegasan itu sekali gus menafikan dakwaan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa kerajaan negeri menyokong RUU berkenaan. “Penolakan ini membuktikan kenyataan Menteri KPKT bercanggah dengan realiti sebenar,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini. Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan Infrastruktur dan Pengangkutan yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis turut mengesyorkan agar RUU URA tidak diteruskan ke bacaan kali kedua. Jelas beliau, perkara tersebut membuktikan bantahan bukan sahaja datang daripada kerajaan negeri, malah juga daripada wakil rakyat yang menyedari implikasi besar RUU tersebut terhadap sistem pentadbiran negara. RUU URA kini dianggap antara rang undang-undang paling kontroversi apabila majoriti rakyat dan pelbagai pihak menzahirkan penolakan secara terbuka. Takiyuddin menegaskan, sekiranya RUU itu tetap dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 28 Ogos ini, Ahli-ahli Parlimen PN akan mendesak supaya undi belah bahagian dijalankan bagi merekodkan dengan jelas pendirian setiap Ahli Parlimen. “Ini penting agar rakyat dapat melihat sendiri siapa yang menyokong dan siapa yang menolak RUU tersebut,” katanya.
26 Aug 25
321
Edar Jalur Gemilang Semarak Semangat Patriotik
Edar Jalur Gemilang Semarak Semangat Patriotik
  KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor turun padang mengedarkan jalur gemilang kepada pengguna jalan raya sempena program ‘Jalur Gemilang, Jiwa Merdeka’ di sekitar Jalan Pasir Panjang, di sini semalam. Menurut Zuraida, program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang itu merupakan sebahagian daripada usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan. “Pengedaran Jalur Gemilang ini bertujuan menyemarakkan semangat kebangsaan dalam kalangan masyarakat, di samping memupuk rasa cinta dan kasih terhadap tanah air. “Semoga semangat patriotik ini terus subur dalam jiwa kita semua, menjadi lambang cinta dan kasih kepada negara tercinta,” ujarnya. Pada majlis tersebut, Zuraida bersama kakitangan PKM ADUN Ladang turut mengedarkan bendera Malaysia kepada para peniaga serta wakil-wakil JPKK DUN Ladang.    
25 Aug 25
39