lightning-solid
Berita :
Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi Meriahkan Jelajah Merdeka
Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi Meriahkan Jelajah Merdeka
Ahmad Zaeem Zainudin
31 Aug 25
143

KUALA TERENGGANU, 1 September- Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, suasana di Pantai Batu Buruk meriah dengan pelepasan Konvoi Jelajah Ambang Merdeka 2025 yang disertai seramai 68 penunggang motosikal berkuasa tinggi, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama kerajaan negeri bersama persatuan motosikal berkuasa tinggi, termasuk TDI Bikers serta beberapa kelab permotoran lain.

"Konvoi ini melibatkan laluan di seluruh daerah dengan pengagihan lebih 500 helai Jalur Gemilang kepada orang ramai di setiap checkpoint.

"Majlis pelepasan konvoi yang diadakan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu telah disempurnakan dengan keberangkatan hadir Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggong Diraja Terengganu," katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan ngeri, Ahmad Shah Muhammed.

Tambah Razali, sebagai tanda menyemarakkan semangat cinta negara, Jalur Gemilang diagihkan kepada orang ramai di setiap checkpoint persinggahan konvoi.

Agihan Jalur Gemilang di setiap daerah bukan sekadar serahan bendera, tetapi mesej bahawa semangat patriotisme harus dikibarkan di hati setiap rakyat.

Antara persinggahan utama termasuklah Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Masjid Hadhari di Besut, IPD Setiu, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Padang Astaka Chukai, Kemaman, Sura Gate, Dungun, serta IPD Marang, sebelum menutup tirai di Drawbridge Kuala Terengganu.

Program sedemikian menunjukkan bagaimana semangat cintakan negara dapat dizahirkan dalam bentuk aktiviti yang menarik, sekali gus mendekatkan rakyat dengan sambutan kemerdekaan.


Artikel Berkaitan