Artikel "Komuniti" Terkini
10 Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu Berangkat Ke Tunisia
SEPANG, 25 September – Seramai 10 pelajar cemerlang tajaan Yayasan Terengganu telah berangkat ke Tunisa awal pagi tadi bagi menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Pada majlis ringkas yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menyaksikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Mohamed menyampaikan amanat, kata-kata semangat serta doa restu kepada para pelajar Skim Pelajar Cemerlang (SPC) sebelum berlepas ke negara Afrika Utara berkenaan.
"Semoga para pelajar dapat memanfaatkan peluang dan insentif yang diberikan kerajaan dengan menuntut ilmu bersungguh-sungguh, demi melahirkan generasi berwibawa, berilmu tinggi dan mampu bersaing di pentas antarabangsa.
"Kami di tanah air ini sentiasa mengiringi dengan doa dan sokongan penuh, agar segala urusan pengajian dipermudahkan dan kejayaan sentiasa bersama mereka," ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab yang sama-sama memberikan sokongan moral kepada para pelajar.
Penghantaran pelajar ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta berperanan di peringkat antarabangsa.
25 Sep 25
671
Tepoh Lokasi Pembuka Tirai Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di Kuala Nerus
Oleh : Syahida Mohd
Foto : Muhammad Fazlee Aziz
KUALA NERUS, 24 September - Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menjadi lokasi pembuka tirai penganjuran Karnival Indahnya Hidup Bersyariat bagi daerah Kuala Nerus.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, penganjuran karnival yang diadakan di Kampung Gemuroh itu telah berlangsung meriah pada 18 hingga 20 September lepas.
"Tepoh merupakan DUN pertama mengadakan karnival ini dan akan disusuli dengan DUN lain di Parlimen kita.
"Penduduk Kampung Gemuruh bertuah kerana kampung ini telah terpilih untuk dijadikan lokasi penganjuran karnival kali ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Peringkat DUN Tepoh 2025 yang diadakan di perkarangan Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuruh, baru-baru ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri sudah memutuskan untuk mengadakan karnival ini di seluruh 32 DUN dalam Negeri Terengganu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyatakan keterujaan beliau melihat jumlah penyertaan yang ramai dari seluruh masyarakat dalam karnival yang diadakan.
“Saya berbesar hati menyaksikan program yang dianjurkan sejak hari khamis lalu mendapat sambutan yang cukup baik dari semua lapisan penduduk untuk semua acara yang diadakan," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu turut menekankan tujuan utama program ini adalah untuk membawa mesej keindahan hidup apabila masyarakat mula kembali kepada hidup bersyariat.
Pelbagai acara yang diadakan sepanjang karnival itu berlangsung antaranya acara sukan rakyat, malam solidariti Palestin, tukar minyak hitam percuma, bicara wanita, malam kesenian dan pelbagai lagi aktiviti yang disediakan untuk semua pengunjung yang hadir.
24 Sep 25
68
235 Pelajar Pengkalan Berangan Terima Sumbangan Awal IPT
MARANG, 23 September – Seramai 232 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan menerima sumbangan awal sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, inisiatif tersebut merupakan tanda ingatan dan penghargaan daripada Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) kepada para pelajar yang bakal menyambung pengajian.
“Walaupun inisiatif ini tidaklah besar, namun ia merupakan tanda ingatan dan sokongan daripada kami kepada anak-anak yang akan melangkah ke alam pengajian tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan STPM/STAM dan Sumbangan Awal IPT 2025 DUN Pengkalan Berangan di Dewan Auditorium, Akademi Bomba Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini, semalam.
Dalam ucapannya, Sulaiman turut menitipkan pesanan agar para pelajar sentiasa menjaga solat dan tidak melupakan asal-usul mereka.
“Jangan malu untuk mengaku dari kampung mana. Apabila ditanya, ramai hanya menjawab dari Terengganu atau Marang sahaja, sedangkan kampung kita itulah yang membentuk siapa kita hari ini,” ujarnya.
Sebelum itu pada 11 September lalu, seramai 14 pelajar telah menerima sumbangan lebih awal kerana perlu mendaftar ke universiti masing-masing terlebih dahulu.
Daripada jumlah itu, 11 orang melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK), manakala tiga pelajar lagi ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
23 Sep 25
104
Kafe 'Healing' Tarikan Baharu di Terengganu Skill
MARANG, 23 September – Aroma kopi dan suasana menarik kafetaria baharu di Terengganu Skill berupaya menjadi tarikan bukan sahaja kepada para pelajar, malah juga orang luar untuk datang ke institusi pendidikan milik penuh kerajaan negeri itu.
Pengerusi Koperasi TESDEC Berhad (KOTESDEC), Abdul Majid Ahmad Mohamed berkata, beliau optimis dengan pembukaan kafetaria tersebut yang menurutnya menepati citarasa golongan muda masa kini.
Menurut beliau, sebelum ini ramai dalam kalangan staf mencadangkan agar diwujudkan satu tempat untuk bersantai dan berehat.
“Anak muda sekarang suka ‘healing’. Biasanya mereka ni memang nak kena ada kedai kopi. Jadi, kafetaria ini memang sangat sesuai.
“Alhamdulillah, apabila kami memohon geran, Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah meluluskan sebanyak RM89,000 untuk membangunkan kafe ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Kafetaria KOTESDEC, semalam.
Majlis perasmian kafetaria tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Sulaiman Sulong.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Rashdan Muda dan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Puan Che Wan Soraya Che Wan Ibrahim.
Tambah beliau, Terengganu Skill yang dulunya dikenali sebagai Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan dan latihan kemahiran, tetapi juga menawarkan pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan pelajar.
“Saya menjemput semua warga Negeri Terengganu untuk menyambung pengajian di Terengganu Skill. Kita ada kemudahan sukan seperti padang bola, padang futsal, padang takraw, asrama, surau, dan kini tempat ‘healing’ – kafe yang sangat menarik,” katanya.
22 Sep 25
142
Tindakan Pantas Bomba Selamatkan Remaja Hampir Lemas
KEMAMAN, 17 September - Tindakan pantas sepasukan anggota bomba yang sedang membuat rondaan di Pantai Teluk Kalong, Kijal berjaya menyelamatkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang hampir lemas dibawa arus laut, kira-kira jam 5.35 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, ketika kejadian, 12 anggota bomba yang sedang melakukan Pemantauan Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) di pantai itu, dikejutkan dengan laungan pengunjung yang meminta tolong memberitahu kejadian itu.
"Kami bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati remaja berusia 13 tahun itu sedang terkapai-kapai dibawa ombak sejauh 500 meter dari pesisir pantai.
"Bapa mangsa cuba menyelamatkannya namun tidak berjaya kerana anaknya sudah ditarik ombak ke tengah. Mujurlah kami ada di lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan mangsa," katanya menurut laporan berita Utusan Malaysia semalam.
Mohamad Hanif berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membawa mangsa ke tepi pantai.
"Ketika kita selamatkan mangsa, dia berada dalam keadaan agak lemah mungkin kerana telah tertelan air laut dan kita telah membawa mangsa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Hanif menasihatkan orang ramai terutamanya ibu bapa mengawasi anak-anak ketika melakukan aktiviti di air.
"Ketika kejadian, di pantai itu ramai yang mengambil peluang cuti sekolah untuk mandi pantai. Kita nasihatkan mereka supaya lebih berhati-hati.
"Hal ini kerana, kita tidak tahu keadaan ombak dan permukaan air laut yang dilihat hanya biasa-biasa tetapi boleh menyebabkan kejadian tidak diingini," katanya yang akan turut meningkatkan pemantauan," ujarnya.
17 Sep 25
235
“Peluh di Jalan Raya, Warisan Tak Hilang Ditelan Zaman”
HULU TERENGGANU, 16 September - Dua pengayuh beca veteran mendapat perhatian ramai dalam Program Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, baru-baru ini.
Berkongsi kisah tentang kehidupannya sebagai pengayuh beca, Abdul Wahab Abdul Rahman, 80, atau lebih dikenali sebagai Pok Wahab, berasal dari Kampung Pok Bang, Bukit Besar, berkata beliau memilih kerjaya itu sejak tahun 1970-an dan menjadikannya punca utama pendapatan untuk membesarkan tiga orang anak.
“Dulu orang kampung ramai guna beca, hasilnya cukup untuk sara keluarga. Tapi sekarang beza jauh, susah kalau harap orang tempatan. Sekarang lebih bergantung pada pelancong,” katanya ketika ditemui.
Selain mengayuh beca, bapa kepada tiga anak itu juga pernah bekerja sebagai buruh kontrak. Namun, kayuhan beca tetap menjadi sebahagian hidupnya sehingga kini, terutama membawa pelancong mengelilingi bandar Kuala Terengganu.
Seorang lagi pengayuh beca, Abdullah Mohamad, 70, dari Kampung Ladang Sekolah, turut berkecimpung sejak tahun 1970-an.
Bapa kepada empat anak itu memberitahu, salah seorang anaknya kini turut meneruskan legasi dengan mengayuh beca yang sama.
“Kalau ada tempahan kahwin atau majlis persaraan, saya kayuh bawa pengantin.
"Kalau tiada, saya tunggu pelanggan di Pasar Payang setiap hari. Sekarang orang tempatan kurang, kebanyakan pelanggan orang luar,” katanya.
Menurut Abdullah, walaupun keadaan semakin mencabar dengan perkembangan pengangkutan moden, permintaan untuk khidmat beca tetap ada, khususnya dalam majlis-majlis perkahwinan yang mahukan kelainan.
Kisah mereka berdua mencerminkan ketabahan golongan veteran yang masih berusaha mencari rezeki dengan cara tradisional, selain menjadi simbol warisan lama yang terus hidup di tengah arus kemodenan.
16 Sep 25
182
16 Pasangan Daerah Besut Dirai Dalam Walimatulurus Perdana
Oleh ; Mohd Hafizi
BESUT, 15 September – Seramai 16 pasangan pengantin diraikan dalam Program Walimatulurus Perdana Peringkat Parlimen Besut 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri Mohd Nurkhuzaini bin Ab. Rahman menegaskan bahawa perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW yang menjadi asas pembinaan keluarga, masyarakat dan negara.
Katanya, acara yang dianjurkan di seluruh negeri terus menjadi agenda penting dalam usaha memperkukuh institusi kekeluargaan, apabila seramai 192 pasangan pengantin diraikan serentak pada hari yang sama di semua daerah.
“Setiap pasangan perlu menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan, serta menghayati nilai sabar, persefahaman dan kasih sayang dalam membina rumah tangga sakinah, mawaddah wa rahmah,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Kota Putera berkata demikian ketika melancarkan Program Walimatulurus Perdana Tahun 2025 di Dewan Merdeka, Kota Putera Square, baru-baru ini.
Justeru itu, beliau berharap pasangan yang diraikan dikurniakan kebahagiaan, keberkatan dan kekal harmoni hingga ke akhir hayat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Besut, Ahmad Rizal Mamat berkata, inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban pasangan pengantin, tetapi juga berperanan memastikan ikatan perkahwinan dimulakan dengan asas yang kukuh berteraskan nilai Islam.
"Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, program walimatulurus perdana telah memberi manfaat kepada lebih 1,500 pasangan di Terengganu, dengan pelbagai insentif termasuk persalinan akad nikah, perkhidmatan jurunikah, dokumen nikah, pelamin, andaman, kad jemputan, jurugambar dan kursus perkahwinan," ujarnya.
Program kali ini menyaksikan penyertaan pasangan pengantin dari seluruh daerah Terengganu serta beberapa negeri luar, menjadikan suasana lebih meriah dan berwarna-warni dengan adat tradisi Melayu seperti perarakan kompang, bunga manggar dan persembahan silat.
Daripada 32 orang pengantin yang diraikan, seramai 19 orang berasal dari daerah Besut melibatkan tujuh orang dari DUN Kota Putera, lapan orang dari DUN Jerteh, dua orang dari DUN Kuala Besut, seorang dari DUN Hulu Besut dan seorang dari DUN Jabi.
Seorang lagi pengantin dari DUN Seberang Takir turut serta mewakili daerah Kuala Nerus.
Majlis itu juga meriah dengan penyertaan pengantin dari luar Terengganu iaitu lima orang dari Kelantan, masing-masing seorang dari Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Perak dan Sabah.
Keseluruhannya, seramai 32 orang pengantin atau 16 pasangan diraikan pada majlis berkenaan.
15 Sep 25
51
'Satu Rumah, Satu Laman Tani'
HULU BESUT, 10 Sept – Pusat Khidmat Masyarakat (ADUN) Hulu Besut hari ini melancarkan projek perintis Laman Tani, tanaman timun batang, sebagai usaha memperkenalkan konsep “Satu Rumah, Satu Laman Tani.”
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin yang turut memaklumkan bahawa inisiatif ini adalah bagi menyahut saranan Pengarah USWa Negeri Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, yang menggalakkan aktiviti bercucuk tanam dilaksanakan di setiap rumah.
Menurut Mohd Husaimi, projek perintis di PKM ini akan diperluas ke seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Hulu Besut, sebagai langkah memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pertanian kecil-kecilan di halaman rumah.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos sara hidup, bahkan memberi manfaat kepada kesihatan, kelestarian alam sekitar serta mengeratkan ukhuwah dalam komuniti,” katanya.
Dalam pada itu,beliau turut menyeru penduduk yang sudah mempunyai laman tani supaya meneruskannya, manakala yang belum bermula disaran mengambil contoh daripada projek ini.
10 Sep 25
993
Semangat Permainan Tradisional Mampu Jalin Perpaduan
KUALA TERENGGANU, 9 September - Usaha menghidupkan kembali permainan-permainan tradisional dalam komuniti dilihat mampu menjana perpaduan lebih erat di kalangan ahli masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sukan dan permainan rakyat bukan sekadar monumen atau paparan di muzium semata-mata, sebaliknya konsep permainan yang dimainkan secara beramai-ramai oleh pelbagai golongan itu perlu diturunkan ke lapangan dan dihidupkan supaya asas yang dibina dalam masyarakat ada kekuatan tersendiri.
"Terima kasih kepada pihak Muzium Negeri Terengganu (MNT) atas inisiatif untuk menghidupkan permainan tradisional supaya sampai kepada masyarakat.
"Dalam komuniti antara perkara sangat penting juga kalau kita boleh kembalikan konsep gotong-royong. Ini kerana ia akan merapatkan hubungan dalam kejiranan. Jiran-jiran mari membantu, mereka bukan sekadar buat kerja tetapi juga bersembang, bercerita, bermain bergurau dan dari situ timbul kolaborasi dalam masyarakat.
"Dari sudut perpaduan, ada suatu yang disebut mediator iaitu penghubung antara ahli komuniti supaya masyarakat kembali berhubungan. Mereka tidak berbalah cuma tidak berhubung dan hidup dengan cara mereka sendiri. Jadi apabila tidak berhubung, kemungkinan pergeseran boleh berlaku.
"Usaha yang dilakukan pihak muzium ini merupakan sebahagian inisiatif supaya konsep permainan tradisional sampai bukan sekadar yang kita hendak tunjuk dan mengekalkan tradisi, sebaliknya bertujuan mengembalikan kesan kewujudannya yang ternyata memberikan impak sangat besar kepada kesatuan dalam komuniti.
"Itulah asasnya, jika di peringkat komuniti lagi tidak bersatu, bagaimana kita ingin membina perpaduan di peringkat negara?," katanya melontarkan persoalan, ketika ditemui selepas menyempurnakan program Muzium Bersama Masyarakat di Kampung Budaya Terengganu, semalam.
Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pengarah MNT, Mohd Iskandar Muhammad Aziz dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan), Raja Faisal Raja Haron.
Program sehari itu menampilkan pelbagai demonstrasi dan aktiviti sukan tradisional seperti Kaki Hantu, pembuatan Serunai Daun Nyior dan Gasing Tradisional Terengganu, selain penyediaan makanan tradisional seperti Laksa Terengganu, kuih Akok Terengganu, Opok-opok dan Loklik.
09 Sep 25
93
Kaunter Aduan Rakyat: Terus Mendengar Denyut Nadi Penduduk Setiu
SETIU, 8 September – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir terus komited mendekati masyarakat apabila meneruskan siri bulanan Kaunter Aduan Rakyat yang kali ini berlangsung di Balairaya Kampung Bukit Kecil.
Katanya, program yang menjadi platform langsung antara wakil rakyat dengan penduduk itu membolehkan pelbagai isu dan keluhan disampaikan secara terus.
Jelas beliau, antara aduan yang diketengahkan termasuk permohonan guru al-Quran, masalah jalan raya, isu berkaitan tanah, serta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menariknya tambahnya, sesi kali ini turut menarik kehadiran penduduk dari luar kawasan seperti Kampung Sungai Lerek dan Kampung Telaga Papan, membuktikan keberkesanan program tersebut dalam memberi manfaat tanpa mengira sempadan.
Menurut Shaharizukirnain, penganjuran program itu adalah sebahagian daripada amanah dan tanggungjawab beliau terhadap masyarakat.
“Amanah yang digalas di bahu tidak membataskan kami untuk terus berkhidmat. Kami sedia mendengar setiap aduan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Selain mendengar aduan, beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan pek makanan kepada 40 penerima daripada Kampung Bukit Putera, Kampung Bukit Kecil, Kampung Bukit Layat, dan Kampung Jelapang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak JPKK yang sentiasa memberi kerjasama erat dalam menjayakan program ini.
08 Sep 25
60