KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Suasana sambutan bulan kemerdekaan diwarnai keceriaan apabila 74 kanak-kanak seawal usia tiga tahun dari Taska Permata Keluarga Batu Buruk di sini tampil menyertai perarakan mini.
Dengan berpakaian beraneka warna bertemakan Jalur Gemilang dan kemerdekaan, aksi bersemangat dan telatah kanak-kanak itu mencuri perhatian para ibu bapa dan masyarakat setempat yang hadir memberi sokongan.

Pengurus Taska Permata Keluarga Batu Buruk, Hartini Mamat berkata, penganjuran perarakan kecil ini bertujuan menanam rasa cinta kepada negara sejak usia awal.
"Melalui aktiviti ini, mereka didedahkan kepada erti kemerdekaan, bendera kebangsaan serta lagu-lagu patriotik.
"Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membina keyakinan diri, memupuk disiplin, dan belajar bekerjasama secara berpasukan," katanya.
Perarakan itu diadakan di sekitar kawasan taska dengan diiringi nyanyian lagu-lagu patriotik, kibaran bendera sambil menggayakan payung berhias dan sorakan 'Merdeka' disertai kerenah dan gelagat comel anak-anak kecil ini.

Tambah Hartini, penglibatan ibu-bapa yang menggalakkan juga menambah seri sepanjang acara itu berjalan.
"Penglibatan ibu bapa dan guru dalam perarakan ini dapat mengeratkan hubungan serta menceriakan suasana sambutan Hari Kebangsaan.
"Selain daripada terlibat dengan perarakan, ibu bapa juga turut menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak taska iaitu hiasan payung merdeka," ujarnya.

Salah seorang bapa kepada anak-anak yang menyertai perarakan, Muhammad Muzammil, 30, menyatakan perarakan itu bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi momen berharga buat keluarga.
"Saya rasa bangga melihat anak kecil seawal tiga tahun sudah dididik menyemai semangat kebangsaan. Ini pengalaman manis untuk mereka dan juga kami sebagai ibu bapa," jelasnya.
Acara berakhir dengan laungan penuh semangat 'Merdeka' yang bergema daripada suara kecil namun penuh makna, melambangkan semarak kecintaan kepada tanah air walaupun dari usia setahun jagung.