lightning-solid
Berita :
PKM ADUN Bukit Tunggal Johan Kategori Pasukan Khas
PKM ADUN Bukit Tunggal Johan Kategori Pasukan Khas
Muhammad Safwan Syakir Mohd Noor
04 Sep 25
69

KUALA TERENGGANU, 6 September – Pusat Khidmat Masyrakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal muncul johan bagi kategori Pasukan Khas dalam Perarakan dan Perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Perarakan yang bermula pukul 7.30 pagi dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu disertai 3,972 peserta melibatkan 122 kontinjen termasuk 76 pasukan bertanding dan 32 pasukan tidak bertanding.

Pelepasan kontinjen disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.

Selain perbarisan kontinjen, turut menyerikan sambutan ialah perarakan kenderaan membabitkan 14 penyertaan daripada jabatan kerajaan dan pihak swasta.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan tahun ini termasuk Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform, Badan Berkanun Tidak Beruniform, Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform, Institut Pengajian Tinggi (IPT)/anak syarikat kerajaan (GLC)/Persatuan/NGO Tidak Beruniform, Pasukan Beruniform Jabatan Kerajaan/IPT/Swasta/Badan Berkanun, Pasukan Sekolah Menengah Beruniform, Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri, serta Pancaragam Sekolah.

Kemenangan PKM ADUN Bukit Tunggal dalam kategori Pasukan Khas membuktikan semangat kerjasama serta disiplin tinggi yang ditonjolkan oleh kontinjen tersebut sepanjang perarakan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr. Zaharudin Zahid merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh pasukan atas kejayaan tersebut.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kontinjen PKM DUN Bukit Tunggal yang telah mengharumkan nama kawasan dengan semangat juang, disiplin dan kerjasama erat yang dipamerkan.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama dan saya yakin ia akan menjadi inspirasi untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya.


Artikel Berkaitan