KUALA TERENGGANU, 2 September – Pusat Pembenihan Ikan Marin di Kampung Rhu 10, Setiu yang sebelum ini terbiar pada zaman pentadbiran terdahulu kini kembali beroperasi dengan jayanya.
Usaha menghidupkan semula pusat ini dilakukan melalui kerjasama strategik antara Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan syarikat tempatan, Aishah Zulkifli Resources.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perladangan negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata antara komponen penting yang dipulihkan termasuk pemasangan 120 tangki pembiakan baharu serta sistem bekalan air laut yang dipam terus ke pusat tersebut.

“Kesempurnaan bekalan air bersih dengan kadar kemasinan yang tepat merupakan faktor utama kejayaan projek pembenihan ikan marin, khususnya bagi spesies kerapu hibrid yang sangat sensitif terhadap perubahan saliniti,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan menghidupkan kembali pusat pembenihan ini membuktikan pendekatan kerajaan negeri dalam memanfaatkan aset-aset terbiar mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi, di samping menjana peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.