KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) URA terus menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Ahli-ahli Parlimen PN telah menerima memorandum bantahan daripada NGO yang menegaskan RUU itu bercanggah dengan kepentingan rakyat serta mencabuli kuasa kerajaan negeri.
Menurut beliau, penolakan turut dizahirkan oleh empat Menteri Besar negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis melalui kenyataan rasmi Sekretariat Gabungan Negeri-negeri Pantai Timur (SG4) yang menolak keras RUU tersebut kerana menyentuh bidang kuasa negeri.
Katanya, penegasan itu sekali gus menafikan dakwaan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa kerajaan negeri menyokong RUU berkenaan.
“Penolakan ini membuktikan kenyataan Menteri KPKT bercanggah dengan realiti sebenar,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan Infrastruktur dan Pengangkutan yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis turut mengesyorkan agar RUU URA tidak diteruskan ke bacaan kali kedua.
Jelas beliau, perkara tersebut membuktikan bantahan bukan sahaja datang daripada kerajaan negeri, malah juga daripada wakil rakyat yang menyedari implikasi besar RUU tersebut terhadap sistem pentadbiran negara.
RUU URA kini dianggap antara rang undang-undang paling kontroversi apabila majoriti rakyat dan pelbagai pihak menzahirkan penolakan secara terbuka.
Takiyuddin menegaskan, sekiranya RUU itu tetap dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 28 Ogos ini, Ahli-ahli Parlimen PN akan mendesak supaya undi belah bahagian dijalankan bagi merekodkan dengan jelas pendirian setiap Ahli Parlimen.
“Ini penting agar rakyat dapat melihat sendiri siapa yang menyokong dan siapa yang menolak RUU tersebut,” katanya.