Artikel "Komuniti" Terkini
Briskwalk Jiwa Merdeka Pupuk Patriotisme Komuniti Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Suasana penuh semangat patriotik mewarnai Program Briskwalk Jiwa Merdeka 2025, senaman kardio 'jalan cepat' sambil mengibarkan Jalur Gemilang sejauh dua kilometer di sekitar Dataran Batu Buruk, pagi ini.
Program anjuran bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Batu Buruk itu menghimpunkan 250 peserta daripada agensi, jabatan, pelajar sekolah menengah serta 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran aktiviti berbentuk riadah ini bertepatan dengan usaha menggalakkan masyarakat menghargai dan menghayati makna kemerdekaan secara sihat.
Dr. Muhammad Khalil
"Hari ini adalah satu hari untuk kita memanaskan badan bagi kita melakukan persediaan untuk menyambut satu hari besar kepada negara kita, disambut setiap tahun. Iaitu hari Kemerdekaan yang jatuh pada tanggal 31 Ogos yang akan datang.
"Kemerdekaan sesebuah negera adalah nikmat daripada Allah SWT yang kita mesti syukuri. Bersyukur kepada Allah bukan sahaja bersyukur dalam konteks kesihatan tubuh badan.
"Nikmat Allah SWT itu juga ialah bila sesebuah negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah-penjajah," katanya dalam satu ucapan.
Beliau turut menegaskan tiga perkara dalam menyambut dan mensyukuri nikmat kemerdekaan - mengingati jasa pejuang kemerdekaan, mengisi kemerdekaan dengan perkara yang bermanfaat serta mengingati umat Islam di negara lain yang belum merdeka.
Mohd Harun Esa
Dalam pada itu, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa menjelaskan program tersebut juga merupakan satu inisiatif yang menjadi medium untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara kerajaan dan komuniti setempat.
"Kehadiran semua pihak membuktikan komitmen kita dalam menjayakan usaha untuk kita membina masyarakat yang sihat. Bahkan kita membina masyarakat yang berdisiplin.
"Selain kita menyemarakkan semangat patriotik kita, Insya-Allah, seterusnya, untuk mengukuhkan jalinan kerjasama antara jabatan-jabatan, antara sekolah, agensi kerajaan dan komuniti setempat," ujarnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor serta Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah.
Acara turut diserikan dengan penyerahan bendera kepada JPKK serta sekolah-sekolah terlibat untuk diagihkan kepada orang awam.
25 Aug 25
64
Hulu Besut Bakal Terima Rumah Mampu Milik Baharu
BESUT, 20 Ogos – Hulu Besut bakal menerima projek perumahan baharu menerusi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) yang dirancang khusus bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Wan Adnan, turun padang meninjau kawasan tersebut dalam satu lawatan kerja bersama pihak berkaitan, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata agenda pembinaan perumahan untuk rakyat itu menjadi salah satu fokus utama perbincangan yang turut melibatkan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Besut.
Beliau menyambut baik usaha itu yang dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kerjasama erat antara PMINT, Pejabat Daerah dan Kerajaan Terengganu ini diharap dapat memastikan setiap projek menepati keperluan masyarakat, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui selepas lawatan bersama PMINT, di sini.
Dalam rangka lawatan berkenaan, rombongan turut meninjau tapak cadangan projek perumahan di Kampung Durian Telor berhampiran Tasik Telabak, sebagai langkah awal menilai kesesuaian kawasan sebelum dilaksanakan.
Lawatan diteruskan ke sekitar Kampung Pasir Akar bagi meninjau keperluan semasa penduduk serta mengenal pasti potensi pembangunan lain yang boleh dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat Hulu Besut.
20 Aug 25
1045
Anak Muda Sokong Penganjuran Penalti 3 Lawan 3 Pengkalan Berangan
MARANG, 20 Julai – Penganjuran Program Belia Penalti 3 Lawan 3 sempena Program YB Cakna Komuniti Sejahtera anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Pengkalan Berangan disambut baik oleh anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Pengarah Program, Mohd Rosbi berkata, program YB Cakna Komuniti Sejahtera yang memasuki siri kelima itu melibatkan tiga buah kampung iaitu Pengkalan Berangan, Bukit Baru dan Durian Penjara.
“Untuk menarik peserta khususnya anak muda, kami memilih permainan yang mempunyai ramai peminat. Bola sepak adalah sukan nombor satu dunia, jadi ia paling sesuai. Sebab itulah kami mengadakan pertandingan Penalti 3 Lawan 3. Selain itu, penalti gol kecil tidak memerlukan kudrat yang kuat, maka semua lapisan masyarakat boleh turut serta," katanya ketika ditemui pemberita semasa program berlangsung di Perkarangan Pasar Pengkalan Berangan, baru-baru ini.
Sementara itu, seorang anak muda dari Kampung Pengkalan Berangan, Ali Iman, 19, berkata, program sebegini sangat bermanfaat untuk golongan belia dan masyarakat kampung secara amnya.
“Program begini memang baik untuk orang kampung. Selama ini, budak-budak asyik main telefon atau lumba motor, semua itu tiada faedah,” katanya.
Ali Iman juga berpandangan bahawa aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara komuniti setempat.
“Sebaiknya kita sertai program seperti ini. Ada suasana yang positif dan dapat merapatkan silaturahim,” ujarnya.
Program Penalti 3 Lawan 3 tersebut merupakan salah satu pengisian dalam inisiatif YB Cakna Komuniti Sejahtera DUN Pengkalan Berangan, yang turut merangkumi pelbagai aktiviti lain seperti sarapan pagi di warung terpilih, solat dhuha dan munajat, rawatan syifa, ziarah, mahabbah, aktiviti 1 Shoot 1 Ringgit, serta kuliah Maghrib.
20 Aug 25
38
Dengar Terus Dari Rakyat: Kaunter Aduan Talian Hayat Komuniti
SETIU, 19 Ogos – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain sekali lagi mengambil langkah proaktif dengan membuka Kaunter Aduan Rakyat di Kampung Alor Damat, Batu Rakit, petang tadi.
Inisiatif ini menjadi pendekatan berkesan untuk mendengar suara rakyat serta memahami masalah sebenar yang dihadapi komuniti. Program ini bukan sekadar ruang untuk menyampaikan aduan, malah turut berperanan sebagai platform penyelesaian masalah di peringkat akar umbi.
Antara isu yang dibangkitkan penduduk adalah berkaitan infrastruktur dan tanah. Semua maklum balas dikumpul untuk disalurkan terus kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.
Menurut beliau, program seperti ini diadakan sebulan sekali dan pernah dikenali dengan nama 'Santuni Rakyat, Semarakkan Khidmat' yang berskala lebih besar.
"Ia bukan sahaja menyediakan kaunter aduan rakyat, bahkan menawarkan khidmat tambahan seperti saringan kesihatan percuma. Selain sesi aduan, program kali ini turut disertakan dengan pengagihan bantuan sosial," katanya.
Dalam pada itu, Shaharizukirnain turut mengagihkan barangan dapur kepada golongan asnaf terpilih dari Kampung Alor Damat, Taman Perumahan Wakaf Tengah, dan Kampung Balai Maras.
Langkah ini membuktikan keprihatinan dan tanggungjawab sosial Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu terhadap mereka yang memerlukan.
19 Aug 25
46
Perantau Semarak Semangat Kemerdekaan di Gelanggang Futsal
SHAH ALAM, 18 Ogos - Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-68, semangat patriotisme anak-anak Terengganu di perantauan terserlah apabila mereka berhimpun di UOne Sport Centre, Shah Alam, bagi menyertai Kejohanan Futsal Piala Presiden PERANTAU Terengganu edisi Merdeka 2025.
Sebanyak 16 pasukan bersaing dalam edisi kedua ini, selepas kali pertama dianjurkan di Bangi pada 2017, kejohanan yang berlangsung selama tiga jam itu turut mencerminkan semangat kesatuan dan penghayatan erti kemerdekaan melalui medium sukan.
Presiden PERANTAU, Prof. Madya Dr. Nuri Al-Amin Endut, berkata penghayatan kemerdekaan tidak terhad kepada perarakan atau ceramah, sebaliknya boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk, termasuk acara santai seperti futsal.
"Merdeka adalah tentang kesatuan. Apabila kita bersukan bersama, kita memupuk disiplin, saling menghormati dan membina jati diri.
"Inilah penghayatan kemerdekaan yang sebenar dalam memastikan rakyat bersatu, berdaya saing dan teguh semangatnya walaupun berada di luar negeri," katanya.
Nuri berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa PERANTAU berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan anak-anak Terengganu dengan budaya asal, masyarakat luar serta kerajaan negeri.
"Ramai anak-anak Terengganu di luar yang memiliki kepakaran dan perspektif luas hasil pengalaman perantauan mereka. Ini adalah aset penting yang boleh membantu memajukan negeri, sama ada dalam bentuk idea, cadangan mahupun jaringan perniagaan.
Pengerusi PERANTAU Lembah Klang, Wan Mohd Ariffudin Wan Omar menambah, kejohanan tersebut adalah hasil kerjasama erat ahli persatuan walaupun dirancang dalam tempoh yang singkat.
"Alhamdulillah, ia berjaya kerana semangat sukarela ahli-ahli kita. Kehadiran anak muda yang bekerja dan mahasiswa yang menyalurkan tenaga sangat membantu PERANTAU melaksanakan program bukan sahaja sukan, tetapi juga kebajikan sepanjang tahun.
"Setiap program yang kita buat sama ada 'kuca sura', 'kuca' bubur lambuk, 'Back to School' atau futsal seperti hari ini, sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak Terengganu di Lembah Klang," jelasnya.
18 Aug 25
112
141 Peserta Sertai Kursus Pra-Perkahwinan di DUN Manir
HULU TERENGGANU, 18 Ogos – Seramai 141 peserta telah menghadiri Kursus Pra-Perkahwinan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang berlangsung selama dua hari berakhir Sabtu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, program tersebut menjadi medium pendedahan terbaik kepada golongan muda sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
Menurutnya, peserta hanya dikenakan yuran sebanyak RM80 seorang, manakala kos makan minum dan kemudahan lain ditanggung penganjur dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta belia dan beliawanis DUN Manir.
“Saya berpuas hati dengan sambutan kali ini kerana jelas menunjukkan golongan belia bijak mengambil peluang yang disediakan.
"Tujuan utama penganjuran adalah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban anak muda yang belum berkahwin bagi mendapatkan sijil perkahwinan dengan tempat yang lebih dekat.
“Semoga kursus ini mampu membimbing peserta menghadapi cabaran rumah tangga dengan berpandukan ilmu serta panduan yang diperolehi sepanjang program,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup kursus berkenaan di Dewan Kompleks AL-KAWTHAR, Kubang Lembek, semalam.
Beliau turut menasihati pasangan muda agar terus menimba ilmu melalui majlis-majlis agama bagi memastikan mahligai yang dibina diberkati Allah SWT serta melahirkan keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.
“Insya-Allah pihak kami akan merancang penganjuran kursus seperti ini pada setiap tahun agar lebih ramai masyarakat dapat mengambil manfaat daripada pengisian yang bermanfaat,” tambahnya.
17 Aug 25
69
Kejohanan Futsal PERANTAU Kukuhkan Jalinan Anak Terengganu di Perantauan
SHAH ALAM, 17 Ogos - UONE Sport Centre, Shah Alam, telah menyaksikan Kejohanan Futsal Piala Presiden PERANTAU Terengganu edisi Merdeka 2025 yang telah mengukuhkan hubungan sesama anak perantau Terengganu, di sini, hari ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Anak Perantau Terengganu (PERANTAU) itu telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 120 anak Terengganu di pusat rekreasi di Selangor, pagi tadi.
Presiden PERANTAU, Prof. Madya Dr. Nuri Al-Amin Endut, berkata, program seperti itu sekali lagi membuktikan keutuhan semangat kekitaan anak-anak Terengganu walaupun berada jauh di perantauan.
Menurutnya, kejohanan ini bukan sekadar pertandingan sukan tetapi menjadi platform menghubungkan anak-anak Terengganu di rantauan, khususnya di Lembah Klang.
"Futsal ini hanyalah sebahagian daripada aktiviti kita sepanjang tahun. PERANTAU menganjurkan pelbagai program seperti 'fun run', 'kuca sura', sukan rakyat dan program kebajikan untuk merapatkan ukhuwah sesama anak-anak Terengganu.
"Kita mahu mereka kenal mengenal, saling menyokong, dan tidak terpisah daripada jati diri serta semangat kenegerian walaupun berada jauh dari negeri asal," katanya.
Tambah beliau, program seperti ini mendapat sambutan baik kerana ia menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana kekeluargaan dan muhibah.
Anak jati Marang yang merupakan peserta kejohanan itu tadi, Ahmad Azmi Razol, 46, bersetuju bahawa program seperti ini perlu dijalankan dari masa ke semasa bagi mengeratkan lagi hubungan antara anak perantau, khususnya dari Terengganu.
Berkongsi cerita, dia yang kini menyandang profesion sebagai eksekutif gudang di Muhibah Engineering, telah mula menjejakkan kaki ke Klang sejak 20 tahun yang lalu.
Meskipun kumpulannya tersingkir awal dalam pusingan pertama perlawanan, Azmi setia menunggu sehingga akhir program demi mencuri peluang untuk bergaul bersama peserta lain.
"Kita punya perasaan itu memang seronok sebab kita dapat berkumpul, pasukan PERANTAU Terengganu semua kan. Jadi kita dapat berkenalan dengan orang yang kita tak pernah jumpa, tapi sebenarnya sama-sama asal Terengganu.
"Maknanya kita boleh jumpa komuniti asal kita," kongsinya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas tamat kejohanan.
Muhd Izzul Syamin, 29, seorang jurutera pengeluaran di sebuah kilang di Klang juga menyatakan pendapat yang sama terhadap penganjuran program sedemikian.
"Saya rasa memang patut dianjurkan 'sokmo' (lebih kerap) sebab program macam ini merapatkan ukhuwah antara perantau-perantau. Macam saya, abang ini (merujuk kepada responden pertama, Azmi) pun saya baru kenal.
"Baru tahu duduk dekat sahaja rumahnya (di Marang)," ujarnya.
Sebanyak 16 pasukan termasuk satu pasukan daripada Permata USIM mengambil bahagian dalam kejohanan edisi kedua ini, selepas siri pertama diadakan di Bangi sejak sembilan tahun yang lalu.
Pertandingan bermula jam 9.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari menyaksikan aksi penuh semangat antara 16 pasukan dari setiap daerah di Terengganu.
Keputusan akhir menyebelahi Setiu A yang akhirnya merangkul kedudukan sebagai Johan, membawa pulang ganjaran berupa wang tunai bernilai RM 400, piala pusingan serta piala kejohanan.
17 Aug 25
17
Ahmad Amzad Sumbang RM10,000 Kepada Imam Dan Bilal
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim telah menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Imam & Bilal Masjid-Masjid Mukim Negeri Terengganu sempena Mesyuarat Agung Kali Ke-24 Tahun 2025 yang diadakan di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan seramai 83 orang imam dan bilal dari seluruh mukim Negeri Terengganu yang menjadi tonggak utama dalam mengimarahkan rumah Allah serta memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah dan kebajikan masyarakat.
Dalam sesi berkenaan, para imam dan bilal menzahirkan rasa kecewa apabila caruman PERKESO yang sebelum ini ditanggung oleh pihak kerajaan kini telah tiada. Walaupun skim itu masih berkuat kuasa, mereka kini perlu mencarum sendiri setiap tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kebajikan golongan berkenaan.
Ahmad Amzad berkata, isu tersebut wajar dipertimbangkan semula oleh pihak kerajaan demi membela kebajikan imam dan bilal.
“Semoga usaha murni ini dapat memperkukuh peranan imam dan bilal dalam menghidupkan syiar Islam serta memperkasa institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kebajikan ummah,” katanya.
17 Aug 25
58
'Langkah Sihat Wanita Kijal 2.0' Himpun Lebih 500 Peserta
KEMAMAN, 17 Ogos – Program ‘Langkah Sihat Wanita Kijal 2.0’ berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta daripada pelbagai lapisan umur dari sekitar Kemaman dan kawasan berhampiran, sekali gus menjadi platform penyatuan masyarakat melalui aktiviti sihat dan bermanfaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, program yang berlangsung di Bandar Baru Kijal itu bermula seawal jam 7 pagi dengan pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan aktiviti berjalan kaki sejauh 3 kilometer mengelilingi laluan utama bandar tersebut.
“Acara kemuncak turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang paling dinantikan, dengan hadiah utama berupa ‘Gold Bar’ dan pendingin hawa (aircond) menjadi tarikan utama kepada peserta.
“Menariknya, program kali ini turut menzahirkan solidariti buat adik Zara Qistina sebagai simbol sokongan masyarakat dalam menyeru agar budaya buli dihentikan sepenuhnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Perasmian ‘Langkah Sihat Wanita Kijal’ bertempat di Dewan Terbuka Paya Lasir Bandar Baru Kijal semalam.
Turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, Senator, Che Alias Hamid, ketua Suri Kijal, Mestilah Mohamed, dan Ketua Sahabat Annisa Kijal, Nurul Hidayat Ibrahim.
Razali melahirkan ucapan tahniah kepada semua terlibat dalam penganjuran program berkenaan.
“Insya-Allah, ia akan dijadikan acara tahunan yang mengumpulkan masyarakat dalam suasana sihat dan penuh mesra.
“ Saya berharap agar program sebegini terus diberi sokongan padu oleh seluruh masyarakat demi melahirkan komuniti yang lebih sihat, harmoni dan prihatin.
16 Aug 25
61
ADUN Bukit Besi Sumbang Perangkap Kera Gergasi
DUNGUN, 17 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyumbangkan empat buah perangkap kera bagi menangani masalah gangguan haiwan perosak di kawasan itu.
Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Perhilitan Daerah Dungun setelah menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai kerosakan tanaman, harta benda serta ancaman keselamatan terutama terhadap kanak-kanak kecil.
Menurut Ghazali, perangkap tersebut dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak Perhilitan, bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan penggunaannya.
“Alhamdulillah, dengan kelulusan Jabatan Perhilitan, sebanyak empat buah perangkap telah berjaya disiapkan. Perangkap ini akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sering berlaku gangguan kera dan beruk,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama erat dengan pihak JPKK amat penting kerana mereka merupakan mata dan telinga penduduk kampung yang sentiasa melaporkan sebarang masalah melibatkan haiwan liar.
“Sebelum ini, telah pun direkodkan insiden serangan haiwan berkenaan, justeru langkah ini diambil bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” jelasnya.
Usaha ini sekali gus diharap dapat mengurangkan kerosakan tanaman dan memastikan keselamatan penduduk kampung terjamin.
16 Aug 25
66