KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Suasana penuh warna-warni sempena Hari Kebangsaan terserlah di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu apabila enam anak muda daripada pelbagai kaum tampil bergaya dalam pakaian tradisional masing-masing sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Idea segar ini dicetuskan oleh anak jati Terengganu, Eric Liaw, 27, yang mahu menggambarkan keindahan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang menjadi kekuatan utama rakyat Terengganu.
“Malaysia terdiri daripada tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India. Dalam gambar ini, kita dapat lihat sekumpulan rakan yang memakai baju tradisional masing-masing sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Di situlah lahirnya sifat perpaduan,” katanya ketika dihubungi.
Bagi Eric, perpaduan adalah asas penting dalam membentuk negara yang aman dan stabil.
Katanya, walaupun semangat itu sudah wujud, masih banyak ruang untuk diperkukuhkan.
“Malaysia memang sudah ada semangat perpaduan, tetapi ia belum cukup kuat. Masih boleh dipertingkatkan lagi.
“Anak muda boleh menyertai aktiviti sukarelawan, bersukan bersama tanpa mengira bangsa atau agama. Kita juga perlu amalkan nilai toleransi, hormat-menghormati serta menguasai bahasa kebangsaan. Jika mampu, pelajari bahasa lain supaya komunikasi lebih mudah,” jelasnya.
Eric yang fasih bertutur dalam dialek Terengganu turut menekankan bahawa generasi muda merupakan tunjang kepada masa depan negara, dan mereka perlu menjadi ejen pengukuhan semangat perpaduan.
Mengenang pengalaman mengibarkan Jalur Gemilang di perkarangan Kampung Budaya, Eric meluahkan rasa terharu kerana dapat merasai detik penuh makna itu bersama rakan-rakan berbilang kaum.
“Semasa mengibarkan Jalur Gemilang, saya rasa sangat gembira kerana wujudnya sifat harmoni. Harmoni inilah yang membanggakan saya sebagai rakyat Malaysia kita kibarkan bendera dengan senyuman tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Mengulas pemilihan lokasi, Eric menyifatkan Kampung Budaya Muzium Negeri Terengganu sebagai tempat yang sarat dengan sentimen tradisi, sesuai dengan tema pakaian tradisional yang ditampilkan.
“Kampung Budaya istimewa kerana kaya dengan suasana tradisional. Ia sangat sepadan dengan tema penggambaran kami,” jelasnya.
Bagi Eric, pemakaian pakaian tradisional daripada pelbagai kaum itu sendiri membawa mesej besar bahawa perbezaan bukan pemisah, sebaliknya lambang kesatuan.
“Perbezaan yang jelas inilah penunjuk kepada perpaduan yang kita kecapi. Walaupun berbeza dari segi pakaian, warna kulit, budaya, tradisi dan kepercayaan, kita tetap boleh saling memahami serta bertoleransi. Saya yakin, perbezaan inilah yang akan menguatkan lagi perpaduan kita,” tegasnya.
