KEMAMAN, 28 Ogos - Semangat kebangsaan terus membara apabila lebih 400 buah motosikal menyertai Kembara Merdeka Kemaman 2025, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat berkata, penyertaan kali ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri, persekutuan, pertubuhan serta masyarakat setempat.
"Kehadiran ini menggambarkan bahawa rakyat Terengganu, khususnya di daerah Kemaman, sentiasa bersatu hati dalam mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggan dan kecintaan terhadap tanah air.
"Kesepaduan pelbagai pihak ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan terus menjadi nadi kepada pembangunan rakyat," ujarnya.

Katanya lagi, program konvoi ini bukan sekadar sebuah perjalanan bermotosikal, tetapi lebih daripada itu ia adalah satu manifestasi perpaduan, semangat kekitaan serta jalinan erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan rakyat.
"Inilah wajah sebenar kemerdekaan, rakyat hidup harmoni, saling disantuni dan bersama membina negeri serta negara yang lebih sejahtera," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri.
Perjalanan yang membawa erti sebenar semangat kemerdekaan, menyatukan hati dan kasih sayang sesama insan.
Program ini turut menyemai semangat prihatin terhadap masyarakat apabila 300 orang asnaf menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan beras dalam majlis penutup yang berlangsung di Kemaman Arena Square.
