lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Lebih 400 Motosikal Sertai Kembara Merdeka Kemaman
Lebih 400 Motosikal Sertai Kembara Merdeka Kemaman
KEMAMAN, 28 Ogos - Semangat kebangsaan terus membara apabila lebih 400 buah motosikal menyertai Kembara Merdeka Kemaman 2025, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat berkata, penyertaan kali ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri, persekutuan, pertubuhan serta masyarakat setempat. "Kehadiran ini menggambarkan bahawa rakyat Terengganu, khususnya di daerah Kemaman, sentiasa bersatu hati dalam mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggan dan kecintaan terhadap tanah air. "Kesepaduan pelbagai pihak ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan terus menjadi nadi kepada pembangunan rakyat," ujarnya. Katanya lagi, program konvoi ini bukan sekadar sebuah perjalanan bermotosikal, tetapi lebih daripada itu ia adalah satu manifestasi perpaduan, semangat kekitaan serta jalinan erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan rakyat. "Inilah wajah sebenar kemerdekaan, rakyat hidup harmoni, saling disantuni dan bersama membina negeri serta negara yang lebih sejahtera," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri. Perjalanan yang membawa erti sebenar semangat kemerdekaan, menyatukan hati dan kasih sayang sesama insan. Program ini turut menyemai semangat prihatin terhadap masyarakat apabila 300 orang asnaf menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan beras dalam majlis penutup yang berlangsung di Kemaman Arena Square.  
28 Aug 25
67
Perarakan Merdeka Si Cilik Comel Hiburkan Warga Setempat
Perarakan Merdeka Si Cilik Comel Hiburkan Warga Setempat
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Suasana sambutan bulan kemerdekaan diwarnai keceriaan apabila 74 kanak-kanak seawal usia tiga tahun dari Taska Permata Keluarga Batu Buruk di sini tampil menyertai perarakan mini. Dengan berpakaian beraneka warna bertemakan Jalur Gemilang dan kemerdekaan, aksi bersemangat dan telatah kanak-kanak itu mencuri perhatian para ibu bapa dan masyarakat setempat yang hadir memberi sokongan. Pengurus Taska Permata Keluarga Batu Buruk, Hartini Mamat berkata, penganjuran perarakan kecil ini bertujuan menanam rasa cinta kepada negara sejak usia awal. "Melalui aktiviti ini, mereka didedahkan kepada erti kemerdekaan, bendera kebangsaan serta lagu-lagu patriotik.  "Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membina keyakinan diri, memupuk disiplin, dan belajar bekerjasama secara berpasukan," katanya. Perarakan itu diadakan di sekitar kawasan taska dengan diiringi nyanyian lagu-lagu patriotik, kibaran bendera sambil menggayakan payung berhias dan sorakan 'Merdeka' disertai kerenah dan gelagat comel anak-anak kecil ini. Tambah Hartini, penglibatan ibu-bapa yang menggalakkan juga menambah seri sepanjang acara itu berjalan. "Penglibatan ibu bapa dan guru dalam perarakan ini dapat mengeratkan hubungan serta menceriakan suasana sambutan Hari Kebangsaan.  "Selain daripada terlibat dengan perarakan, ibu bapa juga turut menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak taska iaitu hiasan payung merdeka," ujarnya. Salah seorang bapa kepada anak-anak yang menyertai perarakan, Muhammad Muzammil, 30, menyatakan perarakan itu bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi momen berharga buat keluarga. "Saya rasa bangga melihat anak kecil seawal tiga tahun sudah dididik menyemai semangat kebangsaan. Ini pengalaman manis untuk mereka dan juga kami sebagai ibu bapa," jelasnya. Acara berakhir dengan laungan penuh semangat 'Merdeka' yang bergema daripada suara kecil namun penuh makna, melambangkan semarak kecintaan kepada tanah air walaupun dari usia setahun jagung.
27 Aug 25
1358
Edar Jalur Gemilang Semarak Semangat Patriotik
Edar Jalur Gemilang Semarak Semangat Patriotik
  KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor turun padang mengedarkan jalur gemilang kepada pengguna jalan raya sempena program ‘Jalur Gemilang, Jiwa Merdeka’ di sekitar Jalan Pasir Panjang, di sini semalam. Menurut Zuraida, program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang itu merupakan sebahagian daripada usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan. “Pengedaran Jalur Gemilang ini bertujuan menyemarakkan semangat kebangsaan dalam kalangan masyarakat, di samping memupuk rasa cinta dan kasih terhadap tanah air. “Semoga semangat patriotik ini terus subur dalam jiwa kita semua, menjadi lambang cinta dan kasih kepada negara tercinta,” ujarnya. Pada majlis tersebut, Zuraida bersama kakitangan PKM ADUN Ladang turut mengedarkan bendera Malaysia kepada para peniaga serta wakil-wakil JPKK DUN Ladang.    
25 Aug 25
39
Briskwalk Jiwa Merdeka Pupuk Patriotisme Komuniti Batu Buruk
Briskwalk Jiwa Merdeka Pupuk Patriotisme Komuniti Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Suasana penuh semangat patriotik mewarnai Program Briskwalk Jiwa Merdeka 2025, senaman kardio 'jalan cepat' sambil mengibarkan Jalur Gemilang sejauh dua kilometer di sekitar Dataran Batu Buruk, pagi ini. Program anjuran bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Batu Buruk itu menghimpunkan 250 peserta daripada agensi, jabatan, pelajar sekolah menengah serta 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan tersebut.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran aktiviti berbentuk riadah ini bertepatan dengan usaha menggalakkan masyarakat menghargai dan menghayati makna kemerdekaan secara sihat. Dr. Muhammad Khalil "Hari ini adalah satu hari untuk kita memanaskan badan bagi kita melakukan persediaan untuk menyambut satu hari besar kepada negara kita, disambut setiap tahun. Iaitu hari Kemerdekaan yang jatuh pada tanggal 31 Ogos yang akan datang. "Kemerdekaan sesebuah negera adalah nikmat daripada Allah SWT yang kita mesti syukuri. Bersyukur kepada Allah bukan sahaja bersyukur dalam konteks kesihatan tubuh badan. "Nikmat Allah SWT itu juga ialah bila sesebuah negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah-penjajah," katanya dalam satu ucapan. Beliau turut menegaskan tiga perkara dalam menyambut dan mensyukuri nikmat kemerdekaan - mengingati jasa pejuang kemerdekaan, mengisi kemerdekaan dengan perkara yang bermanfaat serta mengingati umat Islam di negara lain yang belum merdeka. Mohd Harun Esa Dalam pada itu, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa menjelaskan program tersebut juga merupakan satu inisiatif yang menjadi medium untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara kerajaan dan komuniti setempat. "Kehadiran semua pihak membuktikan komitmen kita dalam menjayakan usaha untuk kita membina masyarakat yang sihat. Bahkan kita membina masyarakat yang berdisiplin. "Selain kita menyemarakkan semangat patriotik kita, Insya-Allah, seterusnya, untuk mengukuhkan jalinan kerjasama antara jabatan-jabatan, antara sekolah, agensi kerajaan dan komuniti setempat," ujarnya. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor serta Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah. Acara turut diserikan dengan penyerahan bendera kepada JPKK serta sekolah-sekolah terlibat untuk diagihkan kepada orang awam.
25 Aug 25
63
Anak Muda Sokong Penganjuran Penalti 3 Lawan 3 Pengkalan Berangan
Anak Muda Sokong Penganjuran Penalti 3 Lawan 3 Pengkalan Berangan
MARANG, 20 Julai – Penganjuran Program Belia Penalti 3 Lawan 3 sempena Program YB Cakna Komuniti Sejahtera anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Pengkalan Berangan disambut baik oleh anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut. Pengarah Program, Mohd Rosbi berkata, program YB Cakna Komuniti Sejahtera yang memasuki siri kelima itu melibatkan tiga buah kampung iaitu Pengkalan Berangan, Bukit Baru dan Durian Penjara. “Untuk menarik peserta khususnya anak muda, kami memilih permainan yang mempunyai ramai peminat. Bola sepak adalah sukan nombor satu dunia, jadi ia paling sesuai. Sebab itulah kami mengadakan pertandingan Penalti 3 Lawan 3. Selain itu, penalti gol kecil tidak memerlukan kudrat yang kuat, maka semua lapisan masyarakat boleh turut serta," katanya ketika ditemui pemberita semasa program berlangsung di Perkarangan Pasar Pengkalan Berangan, baru-baru ini. Sementara itu, seorang anak muda dari Kampung Pengkalan Berangan, Ali Iman, 19, berkata, program sebegini sangat bermanfaat untuk golongan belia dan masyarakat kampung secara amnya. “Program begini memang baik untuk orang kampung. Selama ini, budak-budak asyik main telefon atau lumba motor, semua itu tiada faedah,” katanya. Ali Iman juga berpandangan bahawa aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara komuniti setempat. “Sebaiknya kita sertai program seperti ini. Ada suasana yang positif dan dapat merapatkan silaturahim,” ujarnya. Program Penalti 3 Lawan 3 tersebut merupakan salah satu pengisian dalam inisiatif YB Cakna Komuniti Sejahtera DUN Pengkalan Berangan, yang turut merangkumi pelbagai aktiviti lain seperti sarapan pagi di warung terpilih, solat dhuha dan munajat, rawatan syifa, ziarah, mahabbah, aktiviti 1 Shoot 1 Ringgit, serta kuliah Maghrib.
20 Aug 25
37
Abdul Hadi, Anisa Johan Tilawah Kuala Terengganu
Abdul Hadi, Anisa Johan Tilawah Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Che Abdul Hadi Che Abdul Halim dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, semalam. Manakala bagi kategori Qariah, gelaran Johan disandang oleh Anisa Mohd Hanafiah. Kedua-dua pemenang membawa pulang piala, sijil penghargaan serta wang tunai berjumlah RM2,000 setiap seorang. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Dalam ucapannya, Zuraida berkata, tilawah ini mampu melahirkan qari dan qariah berpotensi serta menjadi medan melahirkan pewaris yang boleh membawa bacaan al-Quran ke peringkat lebih tinggi. “Al-Quran bukan hanya untuk dibaca dengan tajwid dan suara yang merdu, tetapi lebih penting adalah penghayatan serta amalan dalam kehidupan seharian. Inilah tujuan sebenar majlis ini diadakan,” katanya. Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasakan syiar Islam melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan penghayatan al-Quran, sekali gus memastikan ia terus menjadi nadi pembangunan insan. "Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran majlis kali ini, termasuk para peserta yang mengambil bahagian," tambahnya. Dengan kemenangan ini, Che Abdul Hadi dan Anisa akan mewakili daerah Kuala Terengganu ke Tilawah al-Quran peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.
18 Aug 25
122
Perantau Semarak Semangat Kemerdekaan di Gelanggang Futsal
Perantau Semarak Semangat Kemerdekaan di Gelanggang Futsal
SHAH ALAM, 18 Ogos - Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-68, semangat patriotisme anak-anak Terengganu di perantauan terserlah apabila mereka berhimpun di UOne Sport Centre, Shah Alam, bagi menyertai Kejohanan Futsal Piala Presiden PERANTAU Terengganu edisi Merdeka 2025. Sebanyak 16 pasukan bersaing dalam edisi kedua ini, selepas kali pertama dianjurkan di Bangi pada 2017, kejohanan yang berlangsung selama tiga jam itu turut mencerminkan semangat kesatuan dan penghayatan erti kemerdekaan melalui medium sukan. Presiden PERANTAU, Prof. Madya Dr. Nuri Al-Amin Endut, berkata penghayatan kemerdekaan tidak terhad kepada perarakan atau ceramah, sebaliknya boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk, termasuk acara santai seperti futsal. "Merdeka adalah tentang kesatuan. Apabila kita bersukan bersama, kita memupuk disiplin, saling menghormati dan membina jati diri.  "Inilah penghayatan kemerdekaan yang sebenar dalam memastikan rakyat bersatu, berdaya saing dan teguh semangatnya walaupun berada di luar negeri," katanya. Nuri berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu kenyataan, di sini semalam. Beliau turut menegaskan bahawa PERANTAU berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan anak-anak Terengganu dengan budaya asal, masyarakat luar serta kerajaan negeri. "Ramai anak-anak Terengganu di luar yang memiliki kepakaran dan perspektif luas hasil pengalaman perantauan mereka. Ini adalah aset penting yang boleh membantu memajukan negeri, sama ada dalam bentuk idea, cadangan mahupun jaringan perniagaan. Pengerusi PERANTAU Lembah Klang, Wan Mohd Ariffudin Wan Omar menambah, kejohanan tersebut adalah hasil kerjasama erat ahli persatuan walaupun dirancang dalam tempoh yang singkat. "Alhamdulillah, ia berjaya kerana semangat sukarela ahli-ahli kita. Kehadiran anak muda yang bekerja dan mahasiswa yang menyalurkan tenaga sangat membantu PERANTAU melaksanakan program bukan sahaja sukan, tetapi juga kebajikan sepanjang tahun. "Setiap program yang kita buat sama ada 'kuca sura', 'kuca' bubur lambuk, 'Back to School' atau futsal seperti hari ini, sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak Terengganu di Lembah Klang," jelasnya.  
18 Aug 25
111
Kejohanan Futsal PERANTAU Kukuhkan Jalinan Anak Terengganu di Perantauan
Kejohanan Futsal PERANTAU Kukuhkan Jalinan Anak Terengganu di Perantauan
SHAH ALAM, 17 Ogos - UONE Sport Centre, Shah Alam, telah menyaksikan  Kejohanan Futsal Piala Presiden PERANTAU Terengganu edisi Merdeka 2025 yang telah mengukuhkan hubungan sesama anak perantau Terengganu, di sini, hari ini. Kejohanan anjuran Persatuan Anak Perantau Terengganu (PERANTAU) itu telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 120 anak Terengganu di pusat rekreasi di Selangor, pagi tadi. Presiden PERANTAU, Prof. Madya Dr. Nuri Al-Amin Endut, berkata, program seperti itu sekali lagi membuktikan keutuhan semangat kekitaan anak-anak Terengganu walaupun berada jauh di perantauan. Menurutnya, kejohanan ini bukan sekadar pertandingan sukan tetapi menjadi platform menghubungkan anak-anak Terengganu di rantauan, khususnya di Lembah Klang. "Futsal ini hanyalah sebahagian daripada aktiviti kita sepanjang tahun. PERANTAU menganjurkan pelbagai program seperti 'fun run', 'kuca sura', sukan rakyat dan program kebajikan untuk merapatkan ukhuwah sesama anak-anak Terengganu. "Kita mahu mereka kenal mengenal, saling menyokong, dan tidak terpisah daripada jati diri serta semangat kenegerian walaupun berada jauh dari negeri asal," katanya. Tambah beliau, program seperti ini mendapat sambutan baik kerana ia menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana kekeluargaan dan muhibah. Anak jati Marang yang merupakan peserta kejohanan itu tadi, Ahmad Azmi Razol, 46, bersetuju bahawa program seperti ini perlu dijalankan dari masa ke semasa bagi mengeratkan lagi hubungan antara anak perantau, khususnya dari Terengganu. Berkongsi cerita, dia yang kini menyandang profesion sebagai eksekutif gudang di Muhibah Engineering, telah mula menjejakkan kaki ke Klang sejak 20 tahun yang lalu. Meskipun kumpulannya tersingkir awal dalam pusingan pertama perlawanan, Azmi setia menunggu sehingga akhir program demi mencuri peluang untuk bergaul bersama peserta lain. "Kita punya perasaan itu memang seronok sebab kita dapat berkumpul, pasukan PERANTAU Terengganu semua kan. Jadi kita dapat berkenalan dengan orang yang kita tak pernah jumpa, tapi sebenarnya sama-sama asal Terengganu.  "Maknanya kita boleh jumpa komuniti asal kita," kongsinya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas tamat kejohanan. Muhd Izzul Syamin, 29, seorang jurutera pengeluaran di sebuah kilang di Klang juga menyatakan pendapat yang sama terhadap penganjuran program sedemikian. "Saya rasa memang patut dianjurkan 'sokmo' (lebih kerap) sebab program macam ini merapatkan ukhuwah antara perantau-perantau. Macam saya, abang ini (merujuk kepada responden pertama, Azmi) pun saya baru kenal. "Baru tahu duduk dekat sahaja rumahnya (di Marang)," ujarnya. Sebanyak 16 pasukan termasuk satu pasukan daripada Permata USIM mengambil bahagian dalam kejohanan edisi kedua ini, selepas siri pertama diadakan di Bangi sejak sembilan tahun yang lalu. Pertandingan bermula jam 9.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari menyaksikan aksi penuh semangat antara 16 pasukan dari setiap daerah di Terengganu. Keputusan akhir menyebelahi Setiu A yang akhirnya merangkul kedudukan sebagai Johan, membawa pulang ganjaran berupa wang tunai bernilai RM 400, piala pusingan serta piala kejohanan.
17 Aug 25
16
Ahmad Amzad Sumbang RM10,000 Kepada Imam Dan Bilal
Ahmad Amzad Sumbang RM10,000 Kepada Imam Dan Bilal
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim telah menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Imam & Bilal Masjid-Masjid Mukim Negeri Terengganu sempena Mesyuarat Agung Kali Ke-24 Tahun 2025 yang diadakan di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu. Mesyuarat tersebut menghimpunkan seramai 83 orang imam dan bilal dari seluruh mukim Negeri Terengganu yang menjadi tonggak utama dalam mengimarahkan rumah Allah serta memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah dan kebajikan masyarakat. Dalam sesi berkenaan, para imam dan bilal menzahirkan rasa kecewa apabila caruman PERKESO yang sebelum ini ditanggung oleh pihak kerajaan kini telah tiada. Walaupun skim itu masih berkuat kuasa, mereka kini perlu mencarum sendiri setiap tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kebajikan golongan berkenaan. Ahmad Amzad berkata, isu tersebut wajar dipertimbangkan semula oleh pihak kerajaan demi membela kebajikan imam dan bilal. “Semoga usaha murni ini dapat memperkukuh peranan imam dan bilal dalam menghidupkan syiar Islam serta memperkasa institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kebajikan ummah,” katanya.
17 Aug 25
57
Kembara Semarak Merdeka Warnai DUN Bukit Besi
Kembara Semarak Merdeka Warnai DUN Bukit Besi
DUNGUN, 16 Ogos – Program Kembara Semarak Merdeka mewarnai Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi dengan penyerahan simbolik Jalur Gemilang ke seluruh 23 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan tersebut, pada Khamis. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman memaklumkan, program berkenaan diadakan bagi menggalakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di setiap kampung. “Kita mahu setiap kampung di DUN Bukit Besi dihiasi Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada tanah air. JPKK berperanan penting dalam menceriakan suasana dan memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan di peringkat komuniti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran. Program yang berlangsung penuh semangat itu turut disertai oleh seluruh staf Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS) DUN Bukit Besi. Konvoi kembara berarak ke setiap kampung untuk menyerahkan bendera sambil menyeru penduduk setempat bersama-sama menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan tahun ini. Kembara ini dijangka mampu memperkukuh semangat perpaduan dan menyuburkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi sambutan Bulan Kebangsaan 2025.  
14 Aug 25
88