lightning-solid
Berita :
Anak Muda Sokong Penganjuran Penalti 3 Lawan 3 Pengkalan Berangan
Anak Muda Sokong Penganjuran Penalti 3 Lawan 3 Pengkalan Berangan
Abdul Fattah Kamarudin
20 Aug 25
37

MARANG, 20 Julai – Penganjuran Program Belia Penalti 3 Lawan 3 sempena Program YB Cakna Komuniti Sejahtera anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Pengkalan Berangan disambut baik oleh anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Pengarah Program, Mohd Rosbi berkata, program YB Cakna Komuniti Sejahtera yang memasuki siri kelima itu melibatkan tiga buah kampung iaitu Pengkalan Berangan, Bukit Baru dan Durian Penjara.

“Untuk menarik peserta khususnya anak muda, kami memilih permainan yang mempunyai ramai peminat. Bola sepak adalah sukan nombor satu dunia, jadi ia paling sesuai. Sebab itulah kami mengadakan pertandingan Penalti 3 Lawan 3. Selain itu, penalti gol kecil tidak memerlukan kudrat yang kuat, maka semua lapisan masyarakat boleh turut serta," katanya ketika ditemui pemberita semasa program berlangsung di Perkarangan Pasar Pengkalan Berangan, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang anak muda dari Kampung Pengkalan Berangan, Ali Iman, 19, berkata, program sebegini sangat bermanfaat untuk golongan belia dan masyarakat kampung secara amnya.

“Program begini memang baik untuk orang kampung. Selama ini, budak-budak asyik main telefon atau lumba motor, semua itu tiada faedah,” katanya.

Ali Iman juga berpandangan bahawa aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara komuniti setempat.

“Sebaiknya kita sertai program seperti ini. Ada suasana yang positif dan dapat merapatkan silaturahim,” ujarnya.

Program Penalti 3 Lawan 3 tersebut merupakan salah satu pengisian dalam inisiatif YB Cakna Komuniti Sejahtera DUN Pengkalan Berangan, yang turut merangkumi pelbagai aktiviti lain seperti sarapan pagi di warung terpilih, solat dhuha dan munajat, rawatan syifa, ziarah, mahabbah, aktiviti 1 Shoot 1 Ringgit, serta kuliah Maghrib.


Artikel Berkaitan