Artikel "Komuniti" Terkini
Kem Anak Soleh 6.0 Didik Generasi Muda Jadi Anak Berbakti
MARANG, 21 Oktober – Kem Anak Soleh 6.0 anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN( Rhu Rendang dengan kerjasama Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Kampung Rhu Rendang berlangsung meriah dan menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Hassan Awang berkata, seramai 141 peserta berusia antara 7 hingga 12 tahun telah menyertai program ini yang bertujuan mendidik anak-anak mengenai nilai berbuat baik kepada ibu bapa serta membentuk sahsiah diri yang soleh dan berakhlak mulia.
"Kem ini merupakan salah satu pendekatan dakwah bagi menyampaikan mesej tentang kelebihan menjadi anak yang berbakti kepada ibu bapa.
“Di usia yang muda ini, mereka akan mendepani pelbagai cabaran dalam kehidupan. Justeru, kem ini menjadi inisiatif penting untuk menambah ilmu pengetahuan serta membentuk jati diri mereka,” ujarnya ketika berucap pada majlis penutup program berkenaan di Masjid Haji Ahmad Ibrahim, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Program, Mawardi Zulkifli berkata Kem Anak Soleh kini menjadi aktiviti tahunan yang berjaya mencapai sasaran penganjur.
“Program ini menunjukkan sambutan yang amat baik apabila ramai ibu bapa berminat untuk mendaftarkan anak mereka. Ini membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan rohani semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Akademi Kepimpinan Al-Fateh, khususnya kepada Haziq Sabri, atas pengisian yang amat bermanfaat sepanjang program berlangsung.
Dalam pada itu, penghargaan turut disampaikan kepada Pengerusi Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Hanapiah Sulong, atas kerjasama yang erat serta kepada AJK pelaksana, fasilitator dan semua pihak yang terlibat atas sumbangan tenaga dan masa bagi menjayakan program ini.
21 Oct 25
42
154 Ibu Tunggal Dirai
MARANG, 19 Oktober – Seramai 154 ibu tunggal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan dirai dalam Program Mahabbah Ibu Tunggal yang berlangsung di Pasar Pengkalan Berangan.
Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Pengkalan Berangan, Wan Zaitong Wan Nik berkata, keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong terhadap golongan ibu tunggal di kawasan berkenaan sangat dihargai.
Menurutnya, di sebalik kesibukan melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, ADUN Pengkalan Berangan itu tetap meluangkan masa dan usaha untuk menyumbang sesuatu kepada golongan berkenaan.
“Kita patut berasa bertuah kerana Yang Berhormat (YB) di kawasan ini sangat prihatin terhadap golongan ibu tunggal seperti kita.
“Saya dimaklumkan, YB sendiri yang turun ke kedai dan membeli hadiah-hadiah untuk cabutan bertuah program ini,” katanya.
Sementara itu, Sulaiman Sulong merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang hadiah bagi menjayakan program tersebut.
“Pertamanya, ini bukan peruntukan kerajaan tetapi sumbangan daripada pelbagai pihak. Terima kasih kepada para penyumbang, antaranya Ansar Mart, Kedai Runcit Temala Tanjung (KRTT), serta beberapa individu yang tidak dapat saya sebutkan nama mereka pada hari ini,” katanya.
18 Oct 25
37
'Mek Cina Ganu' Puji Keharmonian Masyarakat Islam di Terengganu
MARANG , 19 Oktober – Seorang peniaga Cina berusia 63 tahun yang mesra dikenali sebagai Mek Cina Ganu atau Auntie Amy Chua, memuji suasana harmoni dan nilai murni masyarakat Islam di Terengganu yang disifatkannya sebagai unik dan penuh dengan adab.
Pemilik restoran Jepun popular, Yes Corner itu berkata, beliau telah tinggal dan berniaga di negeri ini selama puluhan tahun, dan mengakui keindahan budaya Islam banyak memberi kesan positif terhadap cara hidup sehariannya.
“Saya memang suka tengok cara orang Islam di sini hidup saling hormat, bantu-membantu, dan jaga adab. Terutama bulan puasa, suasana sangat meriah dan penuh rasa syukur,” ujarnya.
Katanya lagi, selepas beberapa kali menghadiri kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau lebih memahami bagaimana Islam menekankan keadilan, kasih sayang dan kehidupan bermasyarakat.
“Bila saya dengar kuliah Tuan Guru, saya rasa tenang… banyak perkara yang membuka mata saya. Islam bukan agama yang keras, tapi sangat berperikemanusiaan,” ujarnya.
Auntie Amy turut menyatakan bahawa beliau sering dijemput ke majlis-majlis seperti kenduri kahwin, majlis doa selamat dan jamuan berbuka puasa oleh jiran-jiran Muslim.
“Kadang-kadang saya rasa macam dah jadi sebahagian daripada keluarga besar mereka,” tambahnya sambil tersenyum.
Sebagai warga bukan Islam, beliau melihat sistem pentadbiran Islam di negeri ini tidak pernah menindas, malah lebih menjaga keharmonian antara kaum.
“Terengganu aman sebab orang Islam sini jaga nilai dan hidup bersederhana. Kalau orang luar nak faham Islam, datanglah sini,” katanya lagi.
Pengalaman Auntie Amy menjadi contoh bagaimana perpaduan kaum dan agama dapat dibina atas dasar saling hormat dan kefahaman yang tulen.
18 Oct 25
256
Program 'Haji Cilik Marang' Tarik 862 Penyertaan
MARANG, 18 Oktober – Program Simulasi Haji Peringkat PASTI Kawasan Marang berjaya menarik 862 penyertaan.
Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol merakamkan penghargaan kepada barisan ahli jawatankuasa pelaksana kerana berjaya menganjurkan program yang begitu bermanfaat kepada anak-anak seawal usia prasekolah.
“Program seperti ini sangat menggalakkan. Pada usia begini, anak-anak sudah mula didedahkan dengan kefahaman asas ibadah haji. Semoga ia menjadi ikutan kepada PASTI-PASTI lain di seluruh negara,” katanya.
Beliau turut memuji usaha konsisten PASTI Malaysia dalam menganjurkan pelbagai program pembangunan sahsiah seperti Alam Ria PASTI, yang saban tahun mencatatkan pertambahan penyertaan.
Program ini turut disambut meriah oleh ibu bapa, guru-guru dan masyarakat setempat yang hadir memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak.
18 Oct 25
82
Pendekatan Menyeluruh Perlu Dalam Tangani Isu Moral dan Keselamatan Pelajar
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Susulan beberapa insiden tragis melibatkan pelajar sekolah yang berlaku akhir-akhir ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menyeru agar pendekatan menyeluruh dilaksanakan bagi menjamin keharmonian dan keselamatan pelajar di sekolah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri berkata, kejadian seperti kes bunuh diri, rogol dan insiden pelajar tingkatan empat ditikam hingga maut baru-baru ini wajar dijadikan iktibar, kerana ia mencerminkan krisis nilai dan moral yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar.
“Apa yang dilaporkan di media hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai isu lain yang mungkin masih berlaku tanpa disedari. Ini bukan sekadar soal disiplin, tetapi menyentuh soal akhlak, emosi dan kesejahteraan anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil langkah serius dan proaktif bagi memperkukuh serta memperbetulkan kelompongan yang wujud dalam sistem pendidikan sedia ada. Namun pada masa sama, beliau menegaskan bahawa isu ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah semata-mata.
“Masalah ini melibatkan keseluruhan ekosistem sokongan bermula dari ibu bapa, guru, masyarakat, persatuan penduduk serta pimpinan setempat di kawasan masing-masing,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar hubungan strategik diwujudkan antara pihak sekolah dengan kepimpinan tempatan, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Melalui jaringan ini, katanya, sebarang masalah pelajar yang dikenal pasti di peringkat kampung boleh disalurkan segera kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut, manakala maklumat daripada pihak sekolah mengenai pelajar atau keluarga yang berdepan kesukaran pula boleh disampaikan kepada JPKK bagi tujuan bantuan dan intervensi segera.
“Kita sudah mempunyai struktur komuniti yang tersusun melalui JPKK. Dari sinilah peranan kerjasama itu boleh dimulakan bagi memastikan tidak berlaku lagi insiden tidak diingini,” katanya.
Dalam konteks negeri Terengganu, beliau turut menegaskan bahawa urusan pendidikan tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha membina manusia dan masa depan negara.
“Saya sendiri pernah berdepan kesukaran untuk berhubung dengan pihak sekolah kerana wujud kebimbangan dalam kalangan guru untuk bekerjasama disebabkan faktor politik. Keadaan seperti ini tidak sihat dan perlu diperbetulkan,” katanya lagi.
Sebagai langkah permulaan, beliau memaklumkan bahawa Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam bersedia menjadi antara yang terawal melaksanakan jalinan kerjasama strategik ini bersama semua sekolah di kawasan berkenaan.
Inisiatif tersebut jelasnya, bertujuan memperkukuh hubungan antara sekolah dan masyarakat serta membina sistem sokongan yang lebih kukuh demi keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar.
“Marilah kita melihat pendidikan sebagai tanggungjawab bersama agar anak-anak kita dapat membesar dalam suasana yang aman, selamat dan berakhlak mulia dengan sokongan padu seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
15 Oct 25
73
8,000 Benih Ikan Baung Dilepaskan Di Sungai Pengkalan Berangan
MARANG, 14 September – Sebanyak 8,000 benih ikan baung dilepaskan ke Sungai Pengkalan Berangan dalam usaha memulihara dan meningkatkan sumber perikanan nelayan setempat.
Ketua Perikanan Marang, Maidatul Suhana Mohd berkata, program pelepasan benih ikan tersebut bertujuan meningkatkan sumber ikan di sekitar Kampung Pengkalan Berangan.
“Hari ini kami dari Pejabat Perikanan Negeri Terengganu melepaskan sebanyak 8,000 benih ikan baung yang bernilai kira-kira RM11,280 untuk nelayan di sekitar Kampung Pengkalan Berangan.
"Program pelepasan ikan di perairan umum ini dilaksanakan susulan permohonan daripada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan sendiri, Sulaiman Sulong. Jadi kami rasa mahu menyumbang ikan ini untuk kebaikan dan manfaat nelayan Sungai di Kawasan ini," ujarnya kepada pemberita selepas acara pelepasan benih ikan tersebut.
Sementara itu, Sulaiman amat menghargai sumbangan berkenaan.
“Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan, Industri Asas Tani dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim atas penganjuran program pelepasan benih ikan hari ini," ujarnya.
Terdahulu, sebanyak 33,300 benih dilepaskan termasuklah spesies ikan baung (5,000), ikan siakap (3,300) dan udang galah (25,000) di sungai yang sama pada 25 Ogos tahun lepas.
Pada majlis yang sama turut diadakan penyerahan sijil penyertaan kepada wakil peserta Program Peningkatan Kemahiran Teknikal Teknologi Perikanan Pembaikan Bot Gentian Kaca (IN-SITU).
14 Oct 25
46
278 Pelajar Cemerlang SRIDI Dirai
KUALA NERUS, 13 Oktober - Seramai 278 pelajar daripada 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) seluruh negeri yang mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2024 dirai sempena Majlis Haflu Takrim Syahadah Ibtidaiyyah Darul Iman yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Mohamed, berkata majlis tersebut diadakan bagi mengiktiraf usaha gigih para pelajar serta sokongan padu ibu bapa dan guru.
"Kita mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan anak-anak pelajar yang telah berusaha gigih dalam pelajaran mereka.
"Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha pelajar yang tidak pernah putus asa tetapi juga berkat doa ibu bapa serta bimbingan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik dan membimbing," ujarnya.
Menurut beliau, kejayaan melahirkan generasi rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak merupakan matlamat utama sistem pendidikan Islam negeri, seiring dengan hasrat melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing berteraskan nilai Islam.
Katanya, Majlis Haflu Takrim Syahadah Ibtidaiyyah Darul Iman dianjurkan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bukan sahaja untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar tetapi berusaha melahirkan generasi rabbani yang seimbang dari segi ilmu dunia dan akhirat.
13 Oct 25
61
Kerajaan Terengganu Tanggung Sehingga RM100,000 Kos Rumah Untuk Nelayan B40
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menanggung hampir RM100,000 kos pembinaan sebuah rumah bagi Skim Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) untuk diberikan kepada golongan nelayan berlesen B40 pada harga subsidi serendah RM54,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kos sebenar pembinaan setiap unit rumah adalah hampir RM150,000.
"Harga kos sebuah rumah adalah hampir RM150,000, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan kepada nelayan yang layak pada harga RM54,000 sahaja. Baki kos pembinaan itu sepenuhnya akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Khas PSN di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Projek PSN melibatkan kos keseluruhan sekitar RM33 juta, dengan Kerajaan Negeri membiayai kira-kira RM20 juta dan dibantu dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM13 juta.
"Kos keseluruhan ini tidak termasuk nilai tanah yang telah diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri," tambah beliau.
Menurut Dr Azman, terdapat tiga lokasi PSN yang sedang dibangunkan, iaitu di Pulau Skepeng Kemaman, Benting Lintang Besut, dan Seberang Penarik Setiu.
"Dua projek iaitu PSN Kemaman dan PSN Besut telah siap sepenuhnya. Dalam mesyuarat hari ini, kita telah menerima senarai cadangan peserta daripada kalangan nelayan berlesen B40. Insya-Allah, majlis penyerahan kunci rumah-rumah ini dijadualkan pada awal Disember 2025," jelasnya.
12 Oct 25
3244
Pengusaha Warung Aziz Satar Maut Dalam Nahas Jalan Raya
KEMAMAN, 11 Oktober - Pasangan pengusaha kedai makan Warung Aziz Satar di Kampung Geliga maut dalam nahas jalan raya di Maran, Pahang, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah pemandu, Aziz Awang, 68, dan isterinya, Hasnah Mat Nong, 64.
“Empat penumpang lain yang cedera dan kini dirawat di Hospital Temerloh ialah pekerja warung, Che Siti Suhaida Che Amat, 27; Rohani Chik, 65; Noraini Mamat, 45. serta seorang kanak-kanak, Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8, iaitu anak Noraini” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Kim Wai, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux itu sedang bergerak di lorong kiri ketika tiba-tiba terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam longkang selepas dipercayai hilang kawalan akibat permukaan jalan licin.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat menzahirkan rasa sedih di atas kejadian yang berlaku itu.
"Kami terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian ini, semalam. Kami berasa satu kehilangan yang besar memandangkan pasangan ini dikenali dalam dan luar daerah kerana mengusahakan kedai makan yang menjadi tarikan orang ramai di sini.
"Saya mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga mereka. Semoga Allahyarham Pok Aziz dan Allahyarhamah Hasnah ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh," ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, Aziz dan Hasnah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
11 Oct 25
599
Genjata senjata Gaza Kemenangan Hamas
MARANG, 10 Oktober – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa rejim Zionis Israel sedang mengalami kekalahan dalam peperangan semasa, meskipun dibantu oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan Jerman.
Dalam kuliah Dhuha yang disampaikan di Masjid Rusila pagi ini, beliau berkata kekuatan ketenteraan Israel hanyalah bersandarkan kepada bantuan senjata canggih dari kuasa besar, namun tetap gagal menundukkan pejuang Palestin di Gaza yang jauh lebih kecil dan serba kekurangan.
“Slogan tentera Israel ialah ‘al-jaisu la yughla’ – tentera yang tidak boleh dikalahkan. Tetapi dengan pertolongan Allah S.WT, wilayah sekecil Gaza dari Marang ke Kemaman saja, mampu menggugat mereka,” katanya.
Menurut beliau lagi, apa yang berlaku hari ini menunjukkan hakikat sebenar bahawa rejim Israel sedang terdesak dan mencari jalan keluar dengan memanggil negara-negara Islam dan kuasa besar untuk campur tangan.
“Israel kalah, cuma mereka malu untuk mengaku. Mereka ajak Amerika, ajak negara Islam hentikan perang. Tapi realitinya mereka tidak mampu mengalahkan Gaza. Kemenangan berpihak kepada pejuang Hamas,” tegasnya lagi.
Beliau turut menyeru umat Islam agar memahami politik semasa dengan pandangan yang lebih luas, dan tidak terpedaya dengan naratif yang dimainkan media antarabangsa.
Kuliah tersebut dihadiri ribuan jemaah yang memenuhi ruang masjid, sekali lagi menunjukkan sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
10 Oct 25
75