Artikel "Komuniti" Terkini
Program Hulu Besut Bersih Dilancar Serentak
Hulu Besut, 12 Ogos – Majlis Pelancaran Program Hulu Besut Bersih telah berlangsung dengan jayanya dan dilancarkan serentak di 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membabitkan seluruh DUN Hulu Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, majlis ini bukan sekadar himpunan biasa, tetapi menjadi titik tolak kepada satu gerakan yang membawa harapan baharu untuk Hulu Besut.
"Program ini adalah permulaan, dan ia tidak akan terhenti di sini. Selepas ini, akan diadakan pelbagai aktiviti susulan seperti gotong-royong kampung, kempen kesedaran, pertandingan keceriaan, dan lain-lain usaha bagi menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup masyarakat Hulu Besut," katanya.
Tambah beliau, program ini tidak seharusnya menjadi kempen bermusim yang dilupakan selepas sebulan, sebaliknya perlu dijadikan cara hidup sepanjang masa.
"Apabila kita bercakap tentang kebersihan, jangan sempitkan pemahaman hanya kepada 'bebas sampah'. Kebersihan yang dimaksudkan adalah menyeluruh merangkumi kebersihan fizikal, rohani, jiwa, tutur kata, pemikiran, dan hati. Jika semua aspek ini kita pelihara, Hulu Besut bukan sahaja bersih di mata manusia, malah mulia di sisi Allah SWT," ujarnya.
Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, YB Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah di Dataran Kampung Keruak, pada kemarin.
Husaimi turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Besut sebagai rakan utama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut dalam menjayakan program ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, pertubuhan, NGO, sukarelawan, dan seluruh JPKK DUN Hulu Besut yang telah memberi komitmen dalam menjayakan inisiatif ini.
12 Aug 25
104
Siang Pandu Grab, Malam Jual Nasi Lemak
Bertahun-tahun mengerah tenaga siang dan malam, memandu Grab pada waktu siang dan membungkus nasi lemak pada waktu malam, akhirnya penantian seorang ibu tunggal untuk memiliki tanah bagi membina kediaman sendiri berakhir dengan senyuman penuh kesyukuran.
11 Aug 25
41
518 Penduduk Tak Sangka Terima Tanah daripada MB
Seramai 518 penduduk Rhu Rendang hari ini pulang dengan senyuman apabila menerima dokumen tanah yang dinantikan sejak sekian lama.
11 Aug 25
21
Siang Pandu Grab, Malam Jual Nasi Lemak - Ibu Tunggal Akhirnya Miliki Tanah
MARANG, 10 Ogos – Bertahun-tahun mengerah tenaga siang dan malam, memandu Grab pada waktu siang dan membungkus nasi lemak pada waktu malam, akhirnya penantian seorang ibu tunggal untuk memiliki tanah bagi membina kediaman sendiri berakhir dengan senyuman penuh kesyukuran.
Hazlina Jusoh, 48, yang membesarkan empat anak sendirian, berkata pemberian tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) oleh kerajaan negeri itu umpama hadiah paling berharga dalam hidupnya selepas sekian lama hanya mampu menyewa rumah.
“Syukur Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Dengan tanah ini, saya akhirnya dapat memulakan pembinaan rumah sendiri,” katanya sebak.
Majlis penyerahan dokumen RTB tersebut melibatkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang, semalam.
Bagi Mohd Aizulhairi Yahaya, 38, yang bekerja sebagai pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula, pemberian tanah itu umpama membuka pintu rezeki baru.
“Sejak memohon lima tahun lalu, saya sentiasa berdoa.
“Dengan harga tanah yang tinggi sekarang, agak mustahil untuk saya beli sendiri. Alhamdulillah, kerajaan negeri bukan sekadar berjanji, tetapi menunaikan janji itu. Terima kasih juga kepada Pejabat Daerah Marang dan pihak JPKK yang banyak membantu,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Nurul Ashikin Ariffin pula mengakui kehidupannya bersama suami yang bekerja biasa-biasa sahaja tidak pernah mudah.
Katanya, bekerja sebagai tukang jahit, dia memahami betapa sukar untuk memiliki tanah sendiri.
“Pemberian ini sangat-sangat bermakna. Ia hadiah terbesar buat keluarga kami. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.
Penyampaian dokumen RTB ini sekali lagi membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, tidak ketinggalan memiliki tanah dan kediaman sendiri demi masa depan yang lebih terjamin.
10 Aug 25
2621
518 Penduduk Tak Sangka Terima Tanah daripada MB
MARANG, 10 Ogos – Seramai 518 penduduk Rhu Rendang hari ini pulang dengan senyuman apabila menerima dokumen tanah yang dinantikan sejak sekian lama.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata agihan itu meliputi 425 surat hak milik dan 93 notis Borang 5A.
“Alhamdulillah, sejak 2018 kerajaan negeri telah meluluskan 3,784 lot tapak rumah dan pertanian di Marang, dan khusus di DUN Rhu Rendang sahaja 1,830 lot tanah telah berjaya diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis agihan dokumen Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) membabitkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang hari ini.
Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang mengucapkan tahniah kepada semua penerima, sambil mendoakan tanah tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan keluarga dan generasi akan datang.
10 Aug 25
153
Kembar Tiga Curi Perhatian, Ambil Kursus Sama
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 9 Ogos - Tiga beradik kembar seiras mencuri perhatian sempena hari pendaftaran pelajar baharu di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) baru-baru ini apabila sepakat mendaftar program Diploma Kejuruteraan Elektrik.
Fakhrul Amri, Fakhrul Adli dan Fakhrul Asri, 19, dari Puchong , Selangor menjadikan kedua ibu bapa mereka yang merupakan jurutera sebagai inspirasi untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.
“Kami kagum dengan semangat ibu bapa sejak kecil, jadi kami pilih bidang ini untuk ikut jejak mereka,” kata Fakhrul Adli.
Mereka sebelum ini pernah tular pada 2023 ketika mendaftar di Kolej Komuniti Kuala Langat bagi Sijil Teknologi Maklumat dan kini mereka melangkah ke peringkat diploma bersama-sama.
Pengarah PSMZA, Zamra Derahman berkata, kisah mereka membuktikan laluan TVET memberi peluang berkembang mengikut minat dan keperluan industri.
Seramai 120 pelajar baharu mendaftar bagi ambilan kedua Sesi 1:2025/2026. Bersama 659 pelajar ambilan pertama, jumlah keseluruhan pelajar baharu PSMZA kini mencecah 779 orang.
09 Aug 25
131
Portal Jodoh Darul Iman Tangani Trend Lewat Kahwin
Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam menangani trend peningkatan golongan muda lewat mendirikan rumah tangga dengan melancarkan Portal Jodoh Darul Iman (PJDI) sebagai platform pencarian pasangan hidup yang selamat dan mematuhi syariah.
07 Aug 25
111
Tarif Air Terengganu Masih Terendah Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Tarif air baharu di Terengganu kekal antara tiga negeri di Malaysia sebagaimana yang digazetkan pada Julai 2025.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya telah mendengar penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut ketika mengadakan pertemuan.
"Saya sempat mendapatkan penjernihan tentang isu tarif air SATU yang berlegar dalam media sosial, beliau memaklumkan memang tarif air disemak setiap tiga tahun dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Terengganu (SPAN) untuk semua negeri.
"Ternyata tarif air SATU, Terengganu yang baru adalah dalam kelompok tiga yang paling rendah sebagaimana yang saya lampirkan pada carta (dalam gambar)," ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Terengganu juga masih kekal dengan dasar memberikan subsidi air percuma untuk rakyat dalam kategori B40 selain untuk institusi seperti masjid.
"Saya (juga) mengingatkan beliau dengan tarif yang baru, rakyat mengharapkan SATU meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air.
"Alhamdulillah banyak masalah bekalan telah diselesaikan tapi masih banyak penambahbaikan perlu kepada ikhtiar gigih semua yang terlibat,"ujarnya.
07 Aug 25
461
Tangani Vape Peranan Bersama
Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 6 Ogos – Kerajaan Terengganu mengambil langkah drastik dan bertanggungjawab dengan menguatkuasakan pengharaman penjualan vape sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, statistik semasa menunjukkan trend membimbangkan apabila ketagihan vape dalam kalangan remaja dan kanak-kanak semakin meningkat dengan ketara.
"Lebih memburukkan keadaan, ada laporan menyatakan bahawa kanak-kanak seawal usia darjah satu telah mula terjebak dengan penggunaan vape, terpengaruh dengan rekaan bekas yang menarik dan perisa-perisa yang menggoda.
“Berdasarkan data, ketagihan merokok menunjukkan penurunan, namun ketagihan terhadap vape meningkat berkali ganda. Ini satu perkembangan yang amat membimbangkan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum Bicara Santai Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan Dewan Arena Merdeka di sini baru -baru ini.
Menurutnya, vape bukan sahaja mudah diakses, tetapi kandungannya yang menggunakan cecair nikotin boleh dimanipulasi untuk dicampurkan dengan pelbagai bahan terlarang termasuk dadah berbahaya.
“Tidak seperti rokok yang memerlukan tembakau dan mengeluarkan bau, vape lebih sukar dikesan. Penggunaannya boleh menyembunyikan pelbagai bentuk bahan kimia yang merosakkan,” jelas beliau.
Lebih mengejutkan, kerajaan turut menerima maklumat tentang kewujudan perisa vape berasaskan ‘mushroom’ yang mengandungi bahan psikoaktif dan berpotensi tinggi merosakkan otak. “Jika diambil secara berlebihan, ia boleh menyebabkan kerosakan saraf otak dan gangguan mental. Ramai anak muda menjadi ‘gila’ akibat perisa ini,” tambahnya.
Oleh itu, pengharaman ini adalah satu bentuk kasih sayang dan tanggungjawab kerajaan terhadap generasi muda supaya mereka tidak terus terjerumus dalam kancah kerosakan.
“Kita mahu anak-anak kita menjadi generasi yang soleh dan solehah, bukan menjadi mangsa kepada vape yang merosakkan,” ujarnya.
Katanya, pemilik dan pengusaha premis vape dinasihatkan agar tidak mementingkan keuntungan semata-mata, hingga sanggup melihat generasi muda rosak hanya kerana sifat tamak.
“Semua pihak diminta memberi kerjasama penuh dalam usaha membanteras penggunaan vape ini secara menyeluruh.
“Jangan sampai kerana ingin mengaut untung, kita mengorbankan masa depan anak bangsa.”
Katanya, kerajaan komited untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini.
06 Aug 25
35
UBSNT Sokong Usaha Wujudkan Padanan Kerja Tangani Pengangguran
SENAI, 3 Ogos – Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berterusan Kerajaan Terengganu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia melalui program padanan kerja bersama pelbagai pihak industri.
Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq berkata, program padanan kerja yang dilaksanakan menerusi Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) sejak penubuhannya pada tahun 2019 telah membuktikan keberkesanan dalam menangani masalah pengangguran di negeri ini.
Menurut beliau, ramai anak muda Terengganu telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor termasuk industri berteknologi tinggi seperti di Syarikat FOZ One yang beroperasi di Johor.
“Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi terus memainkan peranan secara aktif dan menyeluruh dalam mencari serta mencipta peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Terengganu.
“Kita tidak hanya tertumpu kepada sektor pekerjaan tradisional, sebaliknya turut memberi perhatian terhadap bidang baharu seperti teknologi digital, industri kreatif, keusahawanan sosial dan ekonomi gig yang kian berkembang,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan program padanan kerja yang telah membolehkan seramai 400 anak Terengganu bekerja di syarikat tersebut menjadi bukti bahawa golongan muda negeri ini berpotensi besar untuk menguasai pelbagai bidang pekerjaan sekiranya diberikan pendedahan dan peluang secukupnya.
“Usaha ini bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka minda mereka terhadap dunia luar serta memperkukuh kemahiran agar mereka mampu menjadi pemimpin dan mencorakkan masa depan negeri,” jelas beliau.
03 Aug 25
169