lightning-solid
Berita :
Kembara Semarak Merdeka Warnai DUN Bukit Besi
Kembara Semarak Merdeka Warnai DUN Bukit Besi
Muhammad Amiruddin Zamri
14 Aug 25
88

DUNGUN, 16 Ogos – Program Kembara Semarak Merdeka mewarnai Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi dengan penyerahan simbolik Jalur Gemilang ke seluruh 23 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan tersebut, pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman memaklumkan, program berkenaan diadakan bagi menggalakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di setiap kampung.

“Kita mahu setiap kampung di DUN Bukit Besi dihiasi Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada tanah air. JPKK berperanan penting dalam menceriakan suasana dan memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan di peringkat komuniti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran.

Program yang berlangsung penuh semangat itu turut disertai oleh seluruh staf Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS) DUN Bukit Besi.

Konvoi kembara berarak ke setiap kampung untuk menyerahkan bendera sambil menyeru penduduk setempat bersama-sama menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan tahun ini.

Kembara ini dijangka mampu memperkukuh semangat perpaduan dan menyuburkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi sambutan Bulan Kebangsaan 2025.
 


Artikel Berkaitan