SHAH ALAM, 17 Ogos - UONE Sport Centre, Shah Alam, telah menyaksikan Kejohanan Futsal Piala Presiden PERANTAU Terengganu edisi Merdeka 2025 yang telah mengukuhkan hubungan sesama anak perantau Terengganu, di sini, hari ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Anak Perantau Terengganu (PERANTAU) itu telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 120 anak Terengganu di pusat rekreasi di Selangor, pagi tadi.
Presiden PERANTAU, Prof. Madya Dr. Nuri Al-Amin Endut, berkata, program seperti itu sekali lagi membuktikan keutuhan semangat kekitaan anak-anak Terengganu walaupun berada jauh di perantauan.

Menurutnya, kejohanan ini bukan sekadar pertandingan sukan tetapi menjadi platform menghubungkan anak-anak Terengganu di rantauan, khususnya di Lembah Klang.
"Futsal ini hanyalah sebahagian daripada aktiviti kita sepanjang tahun. PERANTAU menganjurkan pelbagai program seperti 'fun run', 'kuca sura', sukan rakyat dan program kebajikan untuk merapatkan ukhuwah sesama anak-anak Terengganu.
"Kita mahu mereka kenal mengenal, saling menyokong, dan tidak terpisah daripada jati diri serta semangat kenegerian walaupun berada jauh dari negeri asal," katanya.
Tambah beliau, program seperti ini mendapat sambutan baik kerana ia menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana kekeluargaan dan muhibah.

Anak jati Marang yang merupakan peserta kejohanan itu tadi, Ahmad Azmi Razol, 46, bersetuju bahawa program seperti ini perlu dijalankan dari masa ke semasa bagi mengeratkan lagi hubungan antara anak perantau, khususnya dari Terengganu.
Berkongsi cerita, dia yang kini menyandang profesion sebagai eksekutif gudang di Muhibah Engineering, telah mula menjejakkan kaki ke Klang sejak 20 tahun yang lalu.
Meskipun kumpulannya tersingkir awal dalam pusingan pertama perlawanan, Azmi setia menunggu sehingga akhir program demi mencuri peluang untuk bergaul bersama peserta lain.
"Kita punya perasaan itu memang seronok sebab kita dapat berkumpul, pasukan PERANTAU Terengganu semua kan. Jadi kita dapat berkenalan dengan orang yang kita tak pernah jumpa, tapi sebenarnya sama-sama asal Terengganu.
"Maknanya kita boleh jumpa komuniti asal kita," kongsinya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas tamat kejohanan.

Muhd Izzul Syamin, 29, seorang jurutera pengeluaran di sebuah kilang di Klang juga menyatakan pendapat yang sama terhadap penganjuran program sedemikian.
"Saya rasa memang patut dianjurkan 'sokmo' (lebih kerap) sebab program macam ini merapatkan ukhuwah antara perantau-perantau. Macam saya, abang ini (merujuk kepada responden pertama, Azmi) pun saya baru kenal.
"Baru tahu duduk dekat sahaja rumahnya (di Marang)," ujarnya.
Sebanyak 16 pasukan termasuk satu pasukan daripada Permata USIM mengambil bahagian dalam kejohanan edisi kedua ini, selepas siri pertama diadakan di Bangi sejak sembilan tahun yang lalu.
Pertandingan bermula jam 9.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari menyaksikan aksi penuh semangat antara 16 pasukan dari setiap daerah di Terengganu.
Keputusan akhir menyebelahi Setiu A yang akhirnya merangkul kedudukan sebagai Johan, membawa pulang ganjaran berupa wang tunai bernilai RM 400, piala pusingan serta piala kejohanan.