lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Empty Image
Cara Berbuka Puasa Tidak Betul Undang Padah
  Prof Dr Harmy Mohamed Yusoff KUALA TERENGGANU, 17 April - Cara berbuka puasa tidak menepati amalan Rasulullah SAW boleh menyebabkan berlaku pertambahan penyakit di bulan Ramadan.   Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Harmy Mohamed Yusoff berkata, amalan berbuka yang salah ialah mengumpulkan makan dan minum sekali gus untuk sehari di waktu berbuka puasa.   "Ini menyebabkan keseluruhan pengambilan makanan kita bertambah ketika bulan Ramadan.   "Sebab itulah sebenarnya puasa tidak memberi kesan kepada kesihatan tubuh malah dia membebankan tubuh kita disebabkan oleh pengambilan makanan yang terlampau banyak," jelasnya.   Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini semalam.   Menurutnya, amalan puasa yang tidak sihat ialah pengambilan makanan di bulan selain Ramadan dibuat tiga atau empat jam sebelum tidur tetapi pada bulan puasa, kadang kala selepas solat sunat tarawih terus sambung makan dan minum semula.   Katanya. kajian yang dijalankan oleh pakar perubatan menunjukkan bahawa puasa memang merupakan amalan kesihatan tertua dan terbaik.   "Sejak zaman Hippokrates (seorang pakar perubatan Yunani) sudah disebutkan bahawa amalan berpuasa merupakan amalan kesihatan yang paling efektif.   "Kajian juga menunjukkan bahawa puasa memang memberi manfaat kesihatan termasuk boleh mengurangkan kenyanyukan, melambatkan proses penuaan, boleh mengurangkan penyakit jantung, diabetes, kanser dan sebagainya," jelas beliau lagi.   Bagaimanapun katanya, kajian juga menunjukkan bahawa umat Islam  tidak dapat manfaat tersebut disebabkan cara berpuasa mereka tidak menepati amalan Rasulullah SAW.   "Maksudnya, apabila kita berpuasa secara automatik kadar pengambilan makanan kita berkurang.   "Sebab kita mengambil makanan hanya dua kali sahaja sehari termasuk di waktu sahur dan berbuka.   Sepatutnya kata beliau kadar pengambilan makanan itu tidak bertambah serupa macam biasa dan jumlahnya berkurang disebabkan puasa tersebut.   "Kalau tidak, kita kena ambil sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam, sekurang-kurangnya empat kali sehari. Tetapi bulan puasa hanya dua kali sahaja kita makan.   "Jadi sepatutnya tubuh kita berehat di waktu siang tetapi dikerah semula untuk bekerja lebih keras di waktu malam dengan cara pemakanan yang salah tersebut," ujarnya.  
16 Apr 19
998
Program MyHeSs Pastikan Pemimpin, Pegawai Kerajaan Sihat
Program MyHeSs Pastikan Pemimpin, Pegawai Kerajaan Sihat
Ahmad Samsuri bergambar kenangan bersama pegawai terlibat selepas melakukan saringan kesihatan. KUALA TERENGGANU, 17 April - Program Malaysian Health Status Surveillance System (MyHeSs) Eksekutif diadakan bertujuan untuk memastikan semua anggota pentadbiran kerajaan negeri berada pada tahap kesihatan terbaik. Penolong Setiausaha Kerajaan Terenganu Bahagian Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan & Alam Sekitar, Mohd Nazir Mat Said berkata, kakitangan pentadbiran adalah golongan sasar yang penting untuk dipantau kesihatan mereka secara berterusan.   Katanya, ini bagi memastikan mereka mempunyai tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam tugasan harian mereka.   “Kerana sebagai seorang anggota kerajaan, tahap kesihatan yang tinggi memang diperlukan untuk mentadbir dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. “Selepas ini program akan dilaksanakan di semua peringkat daerah dengan kerjasama pejabat kesihatan daerah masing-masing, bagi memastikan semua dalam keadaan baik,” katanya.   Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita semasa Program MyHeSs Eksekutif di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.   Mohd Nazir Mat Said. Sementara itu Ketua Penolong Pengarah Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Wan Nor Hafizah Wan Baharuddin berkata, pemeriksaan kesihatan itu tertumpu kepada saringan wabak yang boleh mengganggu organ dalaman dan luaran badan.   Tambah beliau, program itu perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan tiada penularan wabak yang serius.   “Hari ini kita telah membuat saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, paras gula dan kolestrol dalam darah serta saringan untuk kanser servik dan payudara.   “Semoga program dapat dilaksanakan secara berkala setiap tahun supaya pemimpin negeri mempunyai kesihatan pada tahap tertinggi,” tambah beliau.   Dr Wan Nor Hafizah Wan Baharuddin. Program anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Terenganu itu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut hadir bagi membuat pemeriksaan kesihatan.
16 Apr 19
342
Kerajaan Pusat Digesa Tangani Isu Doktor Duka Lara Dan Vaksin
Kerajaan Pusat Digesa Tangani Isu Doktor Duka Lara Dan Vaksin
  Ahmad Amzad Hashim. Oleh: Syed Kamal   KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Kerajaan Pusat digesa untuk menyelesaikan masalah berkaitan doktor duka lara dan salah faham terhadap penggunaan vaksin yang kian membarah dalam masyarakat. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, masalah itu menyebabkan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan yang penuh dengan kebimbangan.   Jelasnya, paling merisaukan apabila isu berkaitan doktor pelatih yang ditempatkan berjauhan dengan keluarga dan keengganan segelintir masyarakat menggunakan vaksin akan mengakibatkan kesan buruk.   “Doktor pelatih terutama bagi yang sudah berkahwin terpaksa berkejar antara tempat kerja dengan rumah dengan mengejar masa hingga keletihan termasuk sesudah ‘on call’, ada yang kemalangan jalan raya sehingga maut.   “Mengenai vaksin pula, ia menjadi masalah dalam kalangan segelintir umat Islam,” ujarnya.   Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Titah DiRaja oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, di Dewan Rakyat, kelmarin.   Mengulas lanjut tentang masalah tersebut, beliau berkata, kementerian serta pihak berkuasa harus mengambil perhatian yang serius.   Ujarnya, beliau berharap agar pekeliling Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan doktor pelatih disemak kembali agar tidak merugikan negara dan rungutan doktor duka lara dapat diselesaikan segera.   Dalam menyelesaikan isu vaksin pula, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama KKM digesa duduk semeja bagi memberi penerangan sebenar tentang vaksin.   “Soal pekeliling Kementerian Kesihatan mengenai penempatan doktor pelatih (houseman) perlu ada budi bicara bila melibatkan soal kebajikan kehidupan doktor.   “Amat merugikan negara, para doktor yang dihasilkan dengan pelaburan besar, meninggal kerana kemalangan jalan raya berpunca daripada kegagalan Kementerian mengambil cakna isu kebajikan dalam penempatan doktor.   “Saya minta JAKIM dan pihak berkuasa agama yang lain membantu dengan membuat penjernihan isu ini agar tidak berbangkit lagi keraguan,” tambah beliau.    
20 Mar 19
124
Segera Isytihar Darurat Di Pasir Gudang
Segera Isytihar Darurat Di Pasir Gudang
    Dato' Dr Mohd Khairuddin   KUALA NERUS, 14 Mac - Kerajaan Pusat perlu segera mengisytiharkan darurat di kawasan bencana pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, Johor supaya kawasan berkenaan segera dikosongkan sekali gus memindahkan penduduk terbabit ke luar dari kawasan berbahaya itu.   Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata kelewatan kerajaan bertindak dalam isu pencemaran tersebut sangat dikesali sedangkan ia melibatkan risiko nyawa dan kesihatan ribuan mangsa.   "Pencemaran ini telah dikesan sejak 7 Mac lagi dan hari ini telah cukup seminggu bencana itu berlaku.   "Kerajaan tidak perlu menunggu supaya lebih ramai lagi mangsa datang mengadu sakit akibat terhidu gas metana di hospital-hospital untuk mengumumkan tindakan pencegahan secara drastik, bukan hanya sekadar tindakan rawatan kesihatan semata-mata," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.   Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek mengumumkan, sebanyak 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup berbanding 34 buah sekolah sahaja diarah tutup sebelumnya.   Sementara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad pula menyatakan bahawa semalam seramai 506 orang individu dirawat akibat pencemaran tersebut.   Dr Mohd Khairuddin seterusnya, berkata dengan kejadian tersebut menunjukkan bahawa tahap kritikal sedang berlaku di kawasan terbabit.   Beliau turut menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor, Dato' Osman Sapian berhubung dengan insiden tersebut sebagai tidak serius, satu sikap memandang ringan kejadian itu.   "Menteri Besar Johor pula lewat petang tadi (petang semalam) memandang ringan isu ini dengan menyifatkannya sebagai masih terkawal dan tidak jejas begitu teruk.   "Dalam keadaan ada pengkaji yang menimbulkan persoalan sama ada gas metana boleh dihalang penyebarannya dengan memakai penutup muka sahaja, maka saya merasakan sangat wajar perisytiharan darurat dibuat segera oleh kerajaan bagi mengosongkan kawasan terbabit dan mengarahkan perpindahan segera penduduk." tegasnya.   Katanya, tindakan pencegahan sebegini lebih baik berbanding risiko nyawa dan kesihatan yang mungkin timbul selagi kawasan tersebut belum disahkan benar-benar selamat.   Sementara itu dilaporkan bahawa terdapat ramai pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan yang mengalami simptom loya, muntah muntah dan pening dipercayai terhidu bahan kimia itu dari Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.   Bagaimana pun setakat ini, tidak ada mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat terhidu bahan kimia tersebut.  
13 Mar 19
36
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Jadikan 'Terengganu Bebas Asap Rokok'
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Jadikan 'Terengganu Bebas Asap Rokok'
Haji Ahmad Amzad (tengah) ketika merasmikan program "Training of Trainers, Terengganu Bebas Asap Rokok dan Terengganu Bersih. KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh usaha membudayakan tabiat tidak merokok sebagai satu agenda kempen 'Terengganu Bebas Asap Rokok dan Terengganu Bersih' di seluruh negeri ini.   Justeru, program "Training of Trainers, Terengganu Bebas Asap Rokok dan Terengganu Bersih" telah berlangsung di TD 1303, di sini semalam dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim dengan mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai.   Haji Ahmad Amzad dalam satu kenyataan medianya berkata, program ini melibatkan sesi ceramah bagi meningkatkan pengetahuan peserta dan sesi praktikal di kawasan Batu Buruk, di sini.   Ia juga membabitkan penyebaran risalah bagi menambahkan kesedaran pengunjung, kutipan puntung rokok dan sampah sarap serta diakhiri dengan "flashmob".   'Flashmob' turut diadakan di Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu. Katanya, pada kali ini, program telah dihadiri oleh peserta dari pelbagai NGO termasuk Pertubuhan Amal Perubatan  Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Majlis Belia Kuala Terengganu, i-Medik, Terengganu Bersih, serta staf dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.   "Sesungguhnya inisiatif Terengganu Bebas Asap Rokok ini telah bermula sejak diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 19 Februari 2014, dengan diwartakan Jalan Haji Busu, Jalan Persinggahan, Jalan Kelab Kerajaan dan Pantai Batu Buruk sebagai kawasan Bebas Asap Rokok seperti dalam peta P.W. 1009 pada 1 Julai 2017," ujarnya.   Usaha pewartaan kawasan bebas rokok katanya, adalah usaha yang telah berlangsung di Melaka, Kelantan, Pulau Pinang selain melibatkan usaha di peringkat antarabangsa seperti New York (USA), Hillsborough (United Kingdom), Luang Prabang (Laos), Davao City (Filipina) dan Tobacco Free Singapore.   "Umum telah mengetahui keburukan rokok yang boleh menyebabkan kanser paru-paru, kanser tekak, kanser usus, kanser pangkal rahim, leukemia dan sakit jantung malah ia juga mendatangkan kesan negatif pada ekonomi dan juga sosial masyarakat serta negara.   Peserta menampal pelekat anti merokok di tempat awam. "Ia juga menimbulkan isu kebersihan kerana puntung rokok adalah diperbuat dari Cellulose Acetate yang apabila dibuang merata-rata bukan sahaja mengotorkan, bahkan memakan masa berdekad lamanya untuk reput," jelasnya lagi.   Menurut beliau, sebelum ini, beberapa siri "plogging" telah dijalankan dalam Kempen Terengganu Bersih sebagai usaha meningkatkan kebersihan di Kuala Terengganu.   "Maka, dengan demikian saya menyokong penuh usaha penganjur program iaitu PAPISMA dan Terengganu Bersih, serta menyeru semua agensi kerajaan dan masyarakat turut bersama mendokongnya," ujarnya lagi.
09 Mar 19
236
Aset Dikerah Perangi Aedes Di Kuala Nerus
Aset Dikerah Perangi Aedes Di Kuala Nerus
  Oleh: Nizam at-Takiri     KUALA NERUS,  9 Mac - Rakyat dan kerajaan negeri melalui agensi terbabit saling berganding bahu menangani wabak denggi di sini dengan mengadakan program gotong royong membersih kampung daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.     Serentak itu,  Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus mengerahkan asetnya dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Nerus, Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) dan  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batin, bagi menjayakan Program Gotong Royong Mega, di Perkarangan Masjid Kampung Batin, Seberang Takir, di sini hari ini.    Kira-kira 200 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat menjayakannya termasuk 50 orang mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).    Pegawai PKAPKN, Zulkefli Ngah berkata, program ini penting bagi mencegah penularan penyakit yang berbahaya seperti demam denggi akibat pembawaan nyamuk Aedes.     Seorang peserta, Mohd Ridwan Nizam Mohd Farid berkata, program ini memberi kesedaran kepada penduduk sekitar berhubung dengan bahaya demam denggi dan cara menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk tersebut.   Nyamuk aedes dipercayai membiak dengan banyaknya selepas musim tengkujuh.  Justeru orang ramai dinasihatkan menjaga kebersihan di sekitar kawasan rumah masing-masing dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk.     Mereka perlu mengikut panduan menghapus tempat pembiakan serangga tersebut sebagaimana disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Maklumatnya boleh diperolehi di pusat kesihatan berdekatan rumah masing-masing.   
09 Mar 19
261