lightning-solid
Berita :
Briskwalk Jiwa Merdeka Pupuk Patriotisme Komuniti Batu Buruk
Briskwalk Jiwa Merdeka Pupuk Patriotisme Komuniti Batu Buruk
Ahmad Zaeem Zainudin
25 Aug 25
63

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Suasana penuh semangat patriotik mewarnai Program Briskwalk Jiwa Merdeka 2025, senaman kardio 'jalan cepat' sambil mengibarkan Jalur Gemilang sejauh dua kilometer di sekitar Dataran Batu Buruk, pagi ini.

Program anjuran bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Batu Buruk itu menghimpunkan 250 peserta daripada agensi, jabatan, pelajar sekolah menengah serta 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan tersebut. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran aktiviti berbentuk riadah ini bertepatan dengan usaha menggalakkan masyarakat menghargai dan menghayati makna kemerdekaan secara sihat.

Dr. Muhammad Khalil

"Hari ini adalah satu hari untuk kita memanaskan badan bagi kita melakukan persediaan untuk menyambut satu hari besar kepada negara kita, disambut setiap tahun. Iaitu hari Kemerdekaan yang jatuh pada tanggal 31 Ogos yang akan datang.

"Kemerdekaan sesebuah negera adalah nikmat daripada Allah SWT yang kita mesti syukuri. Bersyukur kepada Allah bukan sahaja bersyukur dalam konteks kesihatan tubuh badan.

"Nikmat Allah SWT itu juga ialah bila sesebuah negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah-penjajah," katanya dalam satu ucapan.

Beliau turut menegaskan tiga perkara dalam menyambut dan mensyukuri nikmat kemerdekaan - mengingati jasa pejuang kemerdekaan, mengisi kemerdekaan dengan perkara yang bermanfaat serta mengingati umat Islam di negara lain yang belum merdeka.

Mohd Harun Esa

Dalam pada itu, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa menjelaskan program tersebut juga merupakan satu inisiatif yang menjadi medium untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara kerajaan dan komuniti setempat.

"Kehadiran semua pihak membuktikan komitmen kita dalam menjayakan usaha untuk kita membina masyarakat yang sihat. Bahkan kita membina masyarakat yang berdisiplin.

"Selain kita menyemarakkan semangat patriotik kita, Insya-Allah, seterusnya, untuk mengukuhkan jalinan kerjasama antara jabatan-jabatan, antara sekolah, agensi kerajaan dan komuniti setempat," ujarnya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor serta Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah.

Acara turut diserikan dengan penyerahan bendera kepada JPKK serta sekolah-sekolah terlibat untuk diagihkan kepada orang awam.


Artikel Berkaitan