lightning-solid
Berita :
Ahmad Amzad Sumbang RM10,000 Kepada Imam Dan Bilal
Ahmad Amzad Sumbang RM10,000 Kepada Imam Dan Bilal
Izzat Muslim
17 Aug 25
57

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim telah menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Imam & Bilal Masjid-Masjid Mukim Negeri Terengganu sempena Mesyuarat Agung Kali Ke-24 Tahun 2025 yang diadakan di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan seramai 83 orang imam dan bilal dari seluruh mukim Negeri Terengganu yang menjadi tonggak utama dalam mengimarahkan rumah Allah serta memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah dan kebajikan masyarakat.

Dalam sesi berkenaan, para imam dan bilal menzahirkan rasa kecewa apabila caruman PERKESO yang sebelum ini ditanggung oleh pihak kerajaan kini telah tiada. Walaupun skim itu masih berkuat kuasa, mereka kini perlu mencarum sendiri setiap tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kebajikan golongan berkenaan.

Ahmad Amzad berkata, isu tersebut wajar dipertimbangkan semula oleh pihak kerajaan demi membela kebajikan imam dan bilal.

“Semoga usaha murni ini dapat memperkukuh peranan imam dan bilal dalam menghidupkan syiar Islam serta memperkasa institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kebajikan ummah,” katanya.


Artikel Berkaitan