KUALA NERUS, 13 Oktober - Seramai 278 pelajar daripada 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) seluruh negeri yang mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2024 dirai sempena Majlis Haflu Takrim Syahadah Ibtidaiyyah Darul Iman yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Mohamed, berkata majlis tersebut diadakan bagi mengiktiraf usaha gigih para pelajar serta sokongan padu ibu bapa dan guru.

"Kita mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan anak-anak pelajar yang telah berusaha gigih dalam pelajaran mereka.
"Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha pelajar yang tidak pernah putus asa tetapi juga berkat doa ibu bapa serta bimbingan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik dan membimbing," ujarnya.

Menurut beliau, kejayaan melahirkan generasi rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak merupakan matlamat utama sistem pendidikan Islam negeri, seiring dengan hasrat melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing berteraskan nilai Islam.
Katanya, Majlis Haflu Takrim Syahadah Ibtidaiyyah Darul Iman dianjurkan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bukan sahaja untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar tetapi berusaha melahirkan generasi rabbani yang seimbang dari segi ilmu dunia dan akhirat.