MARANG, 19 Oktober – Seramai 154 ibu tunggal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan dirai dalam Program Mahabbah Ibu Tunggal yang berlangsung di Pasar Pengkalan Berangan.
Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Pengkalan Berangan, Wan Zaitong Wan Nik berkata, keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong terhadap golongan ibu tunggal di kawasan berkenaan sangat dihargai.

Menurutnya, di sebalik kesibukan melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, ADUN Pengkalan Berangan itu tetap meluangkan masa dan usaha untuk menyumbang sesuatu kepada golongan berkenaan.
“Kita patut berasa bertuah kerana Yang Berhormat (YB) di kawasan ini sangat prihatin terhadap golongan ibu tunggal seperti kita.
“Saya dimaklumkan, YB sendiri yang turun ke kedai dan membeli hadiah-hadiah untuk cabutan bertuah program ini,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman Sulong merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang hadiah bagi menjayakan program tersebut.
“Pertamanya, ini bukan peruntukan kerajaan tetapi sumbangan daripada pelbagai pihak. Terima kasih kepada para penyumbang, antaranya Ansar Mart, Kedai Runcit Temala Tanjung (KRTT), serta beberapa individu yang tidak dapat saya sebutkan nama mereka pada hari ini,” katanya.
