KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Susulan beberapa insiden tragis melibatkan pelajar sekolah yang berlaku akhir-akhir ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menyeru agar pendekatan menyeluruh dilaksanakan bagi menjamin keharmonian dan keselamatan pelajar di sekolah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri berkata, kejadian seperti kes bunuh diri, rogol dan insiden pelajar tingkatan empat ditikam hingga maut baru-baru ini wajar dijadikan iktibar, kerana ia mencerminkan krisis nilai dan moral yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar.
“Apa yang dilaporkan di media hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai isu lain yang mungkin masih berlaku tanpa disedari. Ini bukan sekadar soal disiplin, tetapi menyentuh soal akhlak, emosi dan kesejahteraan anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil langkah serius dan proaktif bagi memperkukuh serta memperbetulkan kelompongan yang wujud dalam sistem pendidikan sedia ada. Namun pada masa sama, beliau menegaskan bahawa isu ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah semata-mata.
“Masalah ini melibatkan keseluruhan ekosistem sokongan bermula dari ibu bapa, guru, masyarakat, persatuan penduduk serta pimpinan setempat di kawasan masing-masing,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar hubungan strategik diwujudkan antara pihak sekolah dengan kepimpinan tempatan, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Melalui jaringan ini, katanya, sebarang masalah pelajar yang dikenal pasti di peringkat kampung boleh disalurkan segera kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut, manakala maklumat daripada pihak sekolah mengenai pelajar atau keluarga yang berdepan kesukaran pula boleh disampaikan kepada JPKK bagi tujuan bantuan dan intervensi segera.
“Kita sudah mempunyai struktur komuniti yang tersusun melalui JPKK. Dari sinilah peranan kerjasama itu boleh dimulakan bagi memastikan tidak berlaku lagi insiden tidak diingini,” katanya.
Dalam konteks negeri Terengganu, beliau turut menegaskan bahawa urusan pendidikan tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha membina manusia dan masa depan negara.
“Saya sendiri pernah berdepan kesukaran untuk berhubung dengan pihak sekolah kerana wujud kebimbangan dalam kalangan guru untuk bekerjasama disebabkan faktor politik. Keadaan seperti ini tidak sihat dan perlu diperbetulkan,” katanya lagi.
Sebagai langkah permulaan, beliau memaklumkan bahawa Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam bersedia menjadi antara yang terawal melaksanakan jalinan kerjasama strategik ini bersama semua sekolah di kawasan berkenaan.
Inisiatif tersebut jelasnya, bertujuan memperkukuh hubungan antara sekolah dan masyarakat serta membina sistem sokongan yang lebih kukuh demi keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar.
“Marilah kita melihat pendidikan sebagai tanggungjawab bersama agar anak-anak kita dapat membesar dalam suasana yang aman, selamat dan berakhlak mulia dengan sokongan padu seluruh lapisan masyarakat,” katanya.