lightning-solid
Berita :
'Mek Cina Ganu' Puji Keharmonian Masyarakat Islam di Terengganu
'Mek Cina Ganu' Puji Keharmonian Masyarakat Islam di Terengganu
Amirul Aizab Mohd
18 Oct 25
255

MARANG , 19 Oktober – Seorang peniaga Cina berusia 63 tahun yang mesra dikenali sebagai Mek Cina Ganu atau Auntie Amy Chua, memuji suasana harmoni dan nilai murni masyarakat Islam di Terengganu yang disifatkannya sebagai unik dan penuh dengan adab.

Pemilik restoran Jepun popular, Yes Corner itu berkata, beliau telah tinggal dan berniaga di negeri ini selama puluhan tahun, dan mengakui keindahan budaya Islam banyak memberi kesan positif terhadap cara hidup sehariannya.

“Saya memang suka tengok cara orang Islam di sini hidup saling hormat, bantu-membantu, dan jaga adab. Terutama bulan puasa, suasana sangat meriah dan penuh rasa syukur,” ujarnya.

Katanya lagi, selepas beberapa kali menghadiri kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau lebih memahami bagaimana Islam menekankan keadilan, kasih sayang dan kehidupan bermasyarakat.

“Bila saya dengar kuliah Tuan Guru, saya rasa tenang… banyak perkara yang membuka mata saya. Islam bukan agama yang keras, tapi sangat berperikemanusiaan,” ujarnya.

Auntie Amy turut menyatakan bahawa beliau sering dijemput ke majlis-majlis seperti kenduri kahwin, majlis doa selamat dan jamuan berbuka puasa oleh jiran-jiran Muslim.

“Kadang-kadang saya rasa macam dah jadi sebahagian daripada keluarga besar mereka,” tambahnya sambil tersenyum.

Sebagai warga bukan Islam, beliau melihat sistem pentadbiran Islam di negeri ini tidak pernah menindas, malah lebih menjaga keharmonian antara kaum.

“Terengganu aman sebab orang Islam sini jaga nilai dan hidup bersederhana. Kalau orang luar nak faham Islam, datanglah sini,” katanya lagi.

Pengalaman Auntie Amy menjadi contoh bagaimana perpaduan kaum dan agama dapat dibina atas dasar saling hormat dan kefahaman yang tulen.


Artikel Berkaitan