lightning-solid
Berita :
8,000 Benih Ikan Baung Dilepaskan Di Sungai Pengkalan Berangan
8,000 Benih Ikan Baung Dilepaskan Di Sungai Pengkalan Berangan
Abdul Fattah Kamarudin
14 Oct 25
45

MARANG, 14 September – Sebanyak 8,000 benih ikan baung dilepaskan ke Sungai Pengkalan Berangan dalam usaha memulihara dan meningkatkan sumber perikanan nelayan setempat.

Ketua Perikanan Marang, Maidatul Suhana Mohd berkata, program pelepasan benih ikan tersebut bertujuan meningkatkan sumber ikan di sekitar Kampung Pengkalan Berangan.

“Hari ini kami dari Pejabat Perikanan Negeri Terengganu melepaskan sebanyak 8,000 benih ikan baung yang bernilai kira-kira RM11,280 untuk nelayan di sekitar Kampung Pengkalan Berangan.

"Program pelepasan ikan di perairan umum ini dilaksanakan susulan permohonan daripada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan sendiri, Sulaiman Sulong. Jadi kami rasa mahu menyumbang ikan ini untuk kebaikan dan manfaat nelayan Sungai di Kawasan ini," ujarnya kepada pemberita selepas acara pelepasan benih ikan tersebut.

 Sementara itu, Sulaiman amat menghargai sumbangan berkenaan.

“Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan, Industri Asas Tani dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim atas penganjuran program pelepasan benih ikan hari ini," ujarnya.

Terdahulu, sebanyak 33,300 benih dilepaskan termasuklah spesies ikan baung (5,000), ikan siakap (3,300) dan udang galah (25,000) di sungai yang sama pada 25 Ogos tahun lepas.

Pada majlis yang sama turut diadakan penyerahan sijil penyertaan kepada wakil peserta Program Peningkatan Kemahiran Teknikal Teknologi Perikanan Pembaikan Bot Gentian Kaca (IN-SITU).

 


Artikel Berkaitan