Artikel "Komuniti" Terkini
Bukan Islam, Tapi Setia Hadir Kuliah Dhuha
MARANG, 10 Oktober – Dalam suasana kuliah dhuha yang biasa dihadiri ribuan jemaah muslim di Masjid Rusila, kehadiran seorang bukan Islam menarik perhatian ramai.
Alex Chan Foo Yew, 41, yang juga Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kuala Terengganu, bukan sahaja hadir, malah menjadi antara yang istiqamah mengikuti kuliah Tuan Guru Presiden PAS saban minggu.
Dalam temu bual bersama media selepas kuliah pagi tadi, Alex yang juga AJK DHPP Pusat dan Timbalan DHPP Terengganu, menjelaskan bahawa beliau bukan hadir sebagai simbolik, tetapi benar-benar menjiwai nilai-nilai yang dikupas dalam kuliah tersebut.
“Saya tertarik mengikuti kuliah Tuan Guru kerana mesejnya bukan sahaja menyentuh soal agama, tetapi nilai-nilai sejagat seperti keadilan, kejujuran dan tanggungjawab.
"Nilai-nilai ini penting untuk semua manusia, tanpa mengira agama,” ujarnya.
Beliau yang juga memegang jawatan sebagai Pengerusi JKKP Kampung Cina, Kuala Terengganu berkata, pendekatan Tuan Guru yang lemah-lembut, berhikmah dan tidak menghukum membuatkan beliau selesa mendengar dan belajar.
“Saya tidak pernah rasa terasing. Malah saya percaya ramai bukan Islam akan lebih memahami Islam jika mereka hadir dan mendengar sendiri kuliah seperti ini.
"Islam bukan agama yang menakutkan, bahkan menyeru kepada kesejahteraan dan kasih sayang," katanya.
Alex berkata, kehadirannya bukan untuk menukar agama, tetapi untuk menambah ilmu dan memahami prinsip perjuangan PAS serta konsep "Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera".
“Ramai yang terkejut pada awalnya, tapi akhirnya mereka faham. Kuliah ini bukan hanya untuk umat Islam, tapi ruang untuk semua mengenal nilai kemanusiaan dan menjalin perpaduan," ujarnya.
Beliau berharap agar lebih ramai masyarakat majmuk hadir ke majlis-majlis ilmu seperti ini untuk memperkukuh kefahaman dan keharmonian antara kaum di Malaysia.
10 Oct 25
213
31 Buah Rumah Rosak Dilanda Ribut di Cukai Dibaiki
KEMAMAN, 9 Oktober - Kira-kira 31 buah rumah dilaporkan rosak akibat ribut dan angin kencang yang melanda daerah ini, semalam mula dibaik pulih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat berkata kejadian itu menyebabkan kerosakan harta benda, terutama bumbung rumah yang tercabut.
"Setakat ini kami menerima laporan melibatkan beberapa kampung di DUN Cukai ini.
"Hari ini, melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing- masing, kami akan memulakan proses baik pulih.
"Insya-Allah, kami akan membantu seluruh keluarga yang terlibat bagi memastikan ianya dapat meringankan bebanan yang sedang mereka hadapi ketika musibah seperti ini berlaku," ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, dilaporkan 31 buah rumah yang mengalami kerosakan ini melibatkan Kampung Pengkalan Pandan, Jalan Dato', Kampung Gong Pauh, Kampung Gong Limau, Kampung Jaya, Kampung Jabur Kubur, Lot 144, Kampung Geliga Baru, Kampung Geliga, Kampung Kubang Kurus, Kg Paya Berenjut, Kampung Bakau Tinggi , Kampung Besut 2 dan Taman Perumahan Gong Pauh.
09 Oct 25
49
Wanita, Ibu Tunggal DUN Ladang Didedah Potensi Keusahawanan Agro
SETIU, 9 Oktober – Usaha memperkasakan wanita dan ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang diteruskan apabila seramai 36 peserta dibawa melawat ke dua lokasi pertanian dan pemprosesan makanan di Setiu bagi membuka peluang keusahawanan baharu.
Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu itu bertujuan memberi pendedahan sebenar kepada peserta terhadap potensi bidang agro makanan dan perusahaan kecil sederhana (PKS).
Zuraida berkata, lawatan tersebut diharap menjadi pencetus semangat kepada golongan wanita untuk meningkatkan taraf hidup melalui bidang keusahawanan.
“Semoga pengalaman ini menjadi pencetus semangat kepada peserta untuk berusaha memajukan diri dan keluarga,” katanya.
Dalam program berkenaan, peserta melawat Pusat Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran (3P) Langkap, yang menempatkan operasi usahawan tempatan, Puan Norainii, yang berjaya mengkomersialkan produk makanan tradisional. Peserta turut mengikuti demonstrasi penyediaan kuih akok dan bahulu.
Rombongan turut dibawa ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, yang mengusahakan ladang betik seluas 10 ekar dengan lebih 5,000 pokok varieti Amira milik seorang anak muda tempatan.
08 Oct 25
18
Rakyat Terengganu Kembali Terima Manfaat Kad Sejahtera
MARANG, 7 Oktober – Program Kad Sejahtera yang pernah dihentikan tahun lalu akibat kekangan kewangan negeri kini kembali diteruskan bagi memberi kemudahan rawatan kesihatan kepada rakyat berpendapatan rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Dato’ Ariffin Deraman meluahkan rasa syukur dan gembira apabila bantuan Kad Sejahtera kini disambung semula oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
“Pemberian Kad Sejahtera terpaksa dihentikan tahun lalu susulan sekatan terhadap royalti negeri yang menyebabkan kekangan sumber kewangan negeri.
“Namun, pada tahun ini kerajaan negeri tetap berusaha untuk membantu rakyat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.
Ariffin berkata demikian ketika berucap di Majlis Taklimat Kad Sejahtera Fasa Ke-5 Tahun 2025/2026 yang diadakan di Dewan Sivik Bukit Payung, semalam.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Shamsul Bahri Salleh, menjelaskan bahawa manfaat Kad Sejahtera sehingga RM500 setahun yang sebelum ini diterima oleh rakyat berpendapatan rendah terpaksa dikurangkan.
“Penerima yang layak boleh mendapatkan rawatan di klinik panel terpilih di seluruh negeri Terengganu dengan nilaian RM200 untuk tempoh enam bulan, bermula 1 Oktober 2025 hingga 31 Mac 2026,” katanya.
07 Oct 25
5296
Dua Anak Muda Sasar Kedai Kopi Sebaris Jenama Tersohor
SETIU, 2 Oktober - Bermula dari sebuah gerai kopi kecil di Pantai Kampung Mangkok, dua anak muda, Rabiatull Adawiyyah Mohd Kahar dan Nur Nadirah Mat Yunus, masing-masing berusia 23 tahun, kini mengimpikan untuk membawa jenama SNA Coffee sebaris dengan jenama-jenama kopi terkenal di pasaran.
Pengusaha, Rabiatull Adawiyyah, berkata gerai mereka mula beroperasi tiga bulan lalu dengan menawarkan pelbagai pilihan minuman berasaskan kopi dan pencuci mulut.
"Kami memulakan gerai jualan kopi sebelah petang dengan pelbagai jenis kopi berperisa antaranya americano, latte, caramel macchiato, chocolate dan minuman berasaskan soda dan yogurt.
"Selain minuman berasaskan kopi, kita juga ada makanan lain seperti kek batik, kek coklat, chicken tender, kerabu maggi dan vietnam rolls," katanya.
Menurut beliau, harga ditawarkan antara RM7 hingga RM11 mengikut jenis minuman, dan sambutan pelanggan semakin menggalakkan.
"Harga bagi setiap cawan kopi bermula RM7.00 hingga RM11.00.
"Purata jualan pada hari biasa sekitar 30 hingga 50 cawan dan meningkat sehingga 80 cawan pada hari minggu," jelasnya.
Rabiatull berkata mereka bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai tetap yang lebih selesa dan strategik.
"Insya-Allah suatu hari nanti jika diizinkan, kami bercadang untuk membuka kedai yang lebih selesa.
"Orang ramai boleh menikmati kopi dengan suasana angin pantai," ujarnya.
02 Oct 25
182
Usahawan Diseru Berdaftar Dengan YPU
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 2 Oktober - Usahawan di negeri ini diseru berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU) walaupun sudah berbuat demikian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan mereka merebut pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, tindakan sedemikian penting dalam mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.
" Kita agak kecewa kerana hanya 15,000 yang berdaftar dengan YPU sedangkan usahawan yang berdaftar dengan SSM seramai 80, 000 orang, jadi kita hendak mereka daftar macam SSM," ujarnya .
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sembang Usahawan Daerah Dungun di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Dungun, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Pegawai Daerah Dungun, Lizan Che Mat.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat itu turut menzahirkan rasa kecewa apabila kemudahan berkenaan seolah-olah kurang mendapat sambutan daripada golongan sasar.
“Kurangnya pengetahuan tentang peluang-peluang ini menjadi faktor utama. Namun, apabila kita adakan taklimat, ramai yang tidak berminat untuk hadir, itulah masalahnya,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil (MPUKPPK) di setiap daerah bagi menyelaras gerak kerja bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), koperasi serta agensi berkaitan.
“Pertemuan seperti hari ini diadakan bagi memaklumkan insentif yang ditawarkan kerajaan Persekutuan, YPU dan pelbagai agensi lain,” ujarnya.
Katanya, terdapat individu yang bijak memanfaatkan peluang sehingga mampu memperoleh bantuan bernilai hampir RM1 juta dalam bentuk geran tanpa perlu membuat pinjaman.
“Ini menunjukkan insentif itu memang ada, cuma ramai yang tidak ambil tahu. Jika dimanfaatkan dengan betul, ia mampu membantu meningkatkan taraf ekonomi peniaga dan usahawan kecil,” jelasnya.
02 Oct 25
57
Khalil Pantau Pembinaan Rumah PPRT Di Batu Burok
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi sentiasa memantau perkembangan projek pembinaan rumah dibawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Menurut beliau, pemantauan tersebut bertujuan memastikan kerja-kerja pembinaan rumah berjalan mengikut jadual yang ditetapkan selain meneliti sendiri kemudahan yang disediakan untuk bakal penerima.
“Tahun ini kita buat sebanyak lima buah rumah PPRT, dan perkembangan pembinaan rumah sangat positif. Saya berharap kita dapat meneruskan projek-projek sebegini untuk kebajikan dan manfaat rakyat pada masa akan datang,” katanya.
Muhammad Khalil berkata, projek PPRT ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah memperoleh kediaman lebih selesa dan teratur.
Beliau turut menekankan bahawa aspek kualiti pembinaan perlu diberi perhatian agar rumah yang siap nanti benar-benar memenuhi keperluan penghuni.
01 Oct 25
77
Mathurat Kubra, Mengaji dan Pahlawan Subuh Kukuhkan Rohani Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Usaha memperkukuh budaya al-Quran dan amalan kerohanian dalam kalangan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading terus diperkasakan menerusi tiga program utama iaitu Mathurat Kubra, Pahlawan Subuh dan DUN Buluh Gading Mengaji.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, ketiga-tiga program itu dilaksanakan secara berkala tanpa pertindihan antara satu sama lain.
“Program Mathurat Kubra telah diadakan sebanyak tiga kali, dan insya-Allah akan diteruskan pada pagi Jumaat setiap awal bulan seperti biasa. Pelaksanaannya pula akan digerakkan dari sebuah masjid ke masjid yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pahlawan Subuh 1.0 yang berlangsung di Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, baru-baru ini.
Dalam majlis sama, turut dilancarkan Program DUN Buluh Gading Mengaji yang menekankan bacaan Surah Al-Mulk dan Surah Al-Ikhlas selepas solat Isyak di seluruh masjid serta surau kawasan DUN berkenaan.
“Inisiatif ini diharap dapat memupuk istiqamah membaca surah-surah tersebut yang disunatkan dibaca sebelum tidur sebagai pelindung daripada azab kubur. Lebih mudah untuk diamalkan secara berjemaah selepas solat Isyak di masjid, berbanding dilakukan seorang diri di rumah,” ujarnya.
Menurut Ridzuan, Program Pahlawan Subuh yang julung kali dianjurkan itu juga akan diteruskan secara berkala, namun tempoh pelaksanaannya masih dalam perbincangan.
“Ketiga-tiga program ini adalah langkah strategik memperkukuh rohani masyarakat melalui pengisian yang seimbang antara ibadah, bacaan al-Quran dan zikir. Ia diharap dapat membentuk suasana masyarakat yang sentiasa dekat dengan Allah SWT serta melahirkan generasi berakhlak mulia,” katanya.
01 Oct 25
53
Usaha Anak Muda Inovasi Produk Tradisi Harus Dicontohi
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Penglibatan anak muda dalam bidang keusahawanan merupakan suatu perkembangan positif yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha anak muda tempatan yang berjaya mengekalkan makanan tradisi Terengganu dengan sentuhan baharu dari sudut pembungkusan, pemasaran dan penjenamaan wajar dicontohi.
“Keropok lekor adalah salah satu identiti Terengganu. Apabila ada anak muda yang mampu bawa warisan ini dengan pendekatan moden, ia bukan sahaja mengekalkan tradisi tetapi juga memberi nilai tambah kepada ekonomi masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perniagaan tempatan, Mister Leccor yang terkenal dengan produk keropok lekor di Chendering, baru-baru ini.
Lawatan tersebut memberi ruang kepada beliau untuk meninjau usaha anak muda tempatan yang berjaya menginovasikan makanan tradisi Terengganu.
Sementara itu, Pengusaha Mister Leccor, Mohd Zaman Muda turut menzahirkan penghargaan atas kesudian Dr Khalil meluangkan masa melawat serta memberi semangat untuk mereka terus mengembangkan perniagaan.
Lawatan tersebut turut disertai sesi ramah mesra bersama pekerja dan pengusaha, selain meninjau produk serta operasi pengeluaran keropok lekor yang dijalankan.
01 Oct 25
50
Erat Hubungan Melalui Program YB Cakna Komuniti
KUALA TERENGGANU, 30 Sept – Program YB Cakna Komuniti bersama penduduk UDM Gong Gemia berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian yang berjaya menarik penyertaan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah menjadi medium untuk mengukuhkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
Katanya, program berkenaan akan diadakan pada setiap bulan cuma berbeza tempat dan kampung.
"InsyaAllah kita akan adakan program sebegini setiap bulan pada kampung yang lain pula" katanya.
Acara dimulakan dengan aktiviti 'briskwalk', diikuti sarapan pagi di warung bersama orang kampung yang mencerminkan keakraban dan semangat kebersamaan.
Program turut diserikan dengan pertandingan memancing, bacaan yassin, ziarah komuniti serta diakhiri dengan jamuan rakyat.
30 Sep 25
30