MARANG, 21 Oktober – Kem Anak Soleh 6.0 anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN( Rhu Rendang dengan kerjasama Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Kampung Rhu Rendang berlangsung meriah dan menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Hassan Awang berkata, seramai 141 peserta berusia antara 7 hingga 12 tahun telah menyertai program ini yang bertujuan mendidik anak-anak mengenai nilai berbuat baik kepada ibu bapa serta membentuk sahsiah diri yang soleh dan berakhlak mulia.
"Kem ini merupakan salah satu pendekatan dakwah bagi menyampaikan mesej tentang kelebihan menjadi anak yang berbakti kepada ibu bapa.
“Di usia yang muda ini, mereka akan mendepani pelbagai cabaran dalam kehidupan. Justeru, kem ini menjadi inisiatif penting untuk menambah ilmu pengetahuan serta membentuk jati diri mereka,” ujarnya ketika berucap pada majlis penutup program berkenaan di Masjid Haji Ahmad Ibrahim, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Program, Mawardi Zulkifli berkata Kem Anak Soleh kini menjadi aktiviti tahunan yang berjaya mencapai sasaran penganjur.
“Program ini menunjukkan sambutan yang amat baik apabila ramai ibu bapa berminat untuk mendaftarkan anak mereka. Ini membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan rohani semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Akademi Kepimpinan Al-Fateh, khususnya kepada Haziq Sabri, atas pengisian yang amat bermanfaat sepanjang program berlangsung.
Dalam pada itu, penghargaan turut disampaikan kepada Pengerusi Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Hanapiah Sulong, atas kerjasama yang erat serta kepada AJK pelaksana, fasilitator dan semua pihak yang terlibat atas sumbangan tenaga dan masa bagi menjayakan program ini.