HULU TERENGGANU, 12 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menasihati pelajar khususnya pelajar perempuan agar tidak bergerak bersendirian walaupun dalam kawasan sekolah, sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kes jenayah seksual di institusi pendidikan.
Beliau berkata, tragedi melibatkan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini wajar menjadi peringatan serius kepada semua pihak, termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat, agar tidak leka dalam aspek keselamatan pelajar.
"Kita mesti menaruh kebimbangan. Jangan rasa selesa sangat. Walaupun di Terengganu belum berlaku, tapi kejadian di negeri lain seperti Melaka, Sabah dan Johor itu sudah cukup mengingatkan kita.
"Pelajar perempuan khususnya tidak boleh bersendirian, walaupun dalam sekolah. Kalau nak ke tandas, biar berteman, supaya perkara di luar jangka tidak berlaku," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Yayasan Salim, RAKR Tok Randok, Ajil.
Menyokong cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah sebagai sebahagian daripada langkah memperketat kawalan keselamatan, Maliaman turut menegaskan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dalam mencegah tragedi tidak diingini.
Beliau turut menekankan bahawa kesedaran tentang keselamatan bermula daripada rumah, dengan ibu bapa memainkan peranan utama menanam sikap berhati-hati dan bertanggungjawab dalam diri anak-anak.
"Saya setuju dengan cadangan pemasangan CCTV, sebab ia boleh membantu kawalan. Tapi yang paling penting ialah kawalan dan kesedaran kita sendiri, khususnya ibu bapa dan pelajar.
"Pelajar-pelajar mesti merasa patut diawasi. Pelajar-pelajar perempuan khususnya," jelasnya.
Tambahnya, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) turut digesa memperkukuh usaha kesedaran dan pemantauan bagi memastikan sekolah sentiasa menjadi tempat selamat dan kondusif untuk pelajar.
"Jadi kita pakat-pakat jagalah. JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), JPINT sendiri dan juga Yayasan (Yayasan Terengganu) maknanya kita mengambil peringatan.
"Peringatkan kepada pihak pengetua dan juga rakan-rakan pentadbiran supaya tidak mengambil isu ini dengan sambil lewa," ujarnya.