lightning-solid
Berita :
Kerajaan Negeri Pantau Rapi Kes Influenza di Terengganu
Kerajaan Negeri Pantau Rapi Kes Influenza di Terengganu
Rohayati Ripin
13 Oct 25
94

KUALA NERUS, 13 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu memberi perhatian serius terhadap peningkatan kes influenza di negeri ini dan akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi merangka langkah susulan yang terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh serta nasihat rasmi daripada pihak kesihatan bagi memastikan tindakan yang bakal diambil selaras dengan keperluan semasa dan situasi sebenar di lapangan.

“Insya-Allah, saya akan mendapatkan maklumat terperinci berkenaan influenza daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan apa-apa cadangan atau nasihat yang diberikan akan diberi perhatian serius,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Program Hari Sayyidatina Aisyah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, semalam.

Sehubungan itu, Wan Sukairi menyeru masyarakat, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak kecil, agar lebih peka terhadap tahap kesihatan diri dan keluarga.

Beliau menasihatkan agar mereka segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat simptom seperti demam dan batuk berpanjangan.

“Sekiranya terdapat simptom seperti demam dan batuk berpanjangan, segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau yakin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengambil langkah sewajarnya sekiranya keadaan menjadi lebih kritikal, termasuk mempertimbangkan tindakan khas di sekolah-sekolah yang terlibat bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah terjamin.

“Kesihatan rakyat, khususnya pelajar, adalah keutamaan. Jika perlu, kementerian dan jabatan berkaitan akan menilai tindakan sementara yang bersesuaian berdasarkan nasihat daripada pihak kesihatan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan