Oleh: Zamarul Hisyam
HULU TERENGGANU, 13 Oktober – Lebih 1,500 calon peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di daerah Hulu Terengganu menerima manfaat daripada Bantuan One-Off Yayasan Terengganu (YT) bagi membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan serta memberi suntikan semangat menjelang musim peperiksaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan pendidikan Kerajaan Negeri Terengganu bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang dan sokongan yang sama dalam menuntut ilmu.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada ketiga-tiga agensi Yayasan Terengganu (YT), Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT)atas inisiatif murni membantu calon peperiksaan, khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu sentiasa menitikberatkan soal pendidikan. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban, tetapi juga memberi dorongan moral kepada calon untuk terus berusaha mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal dihadapi,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut di Dewan Tok Randok Ajil, di sini hari ini.

Dalam masa sama, bantuan yang disampaikan secara sekali bayaran (one-off) ini disambut baik oleh para penerima dan pihak sekolah yang menyifatkan langkah ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pelajar serta masa depan pendidikan di Terengganu.