KUALA NERUS, 13 Oktober - "Sentiasa ingat, kita ada maruah ibu bapa untuk dijaga," itu antara prinsip utama yang dipegang penyanyi dan selebriti terkenal, Wany Hasrita dalam mengharungi cabaran sebagai seorang wanita berkerjaya dalam industri hiburan tanah air.
Beliau berkongsi pandangan dan pengalaman peribadinya dalam program Bicara Selebriti yang diadakan sempena sambutan Hari Sayyidatina Aisyah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, semalam.
Menurut Wany, atau nama sebenarnya Nur Shahzwani Hasrita Hasbullah, di sebalik penampilan luaran, kekuatan sebenar seorang wanita berakar umbi daripada pegangan agamanya yang teguh.
"Bagi saya, apa-apa pun yang terjadi, kita kena cakap 'Allah ada'. Apa-apa pun, tak apa Allah ada. Dari situ sebenarnya sumber kekuatan kita. Bila kita dekat dengan agama kita, apabila kita pegang agama kita betul-betul, saya rasa semua yang kita lalui di dunia ini, kita akan lalui," katanya dalam sesi bicara tersebut.

Beliau turut menambah bahawa inspirasi daripada tokoh Saidatina Aisyah amat mendalam dalam hidupnya, sehinggakan beliau menamakan anak perempuannya, Aisyah, bersempena dengan isteri Rasulullah S.A.W itu.
Berkongsi tentang pengalamannya sebagai seorang selebriti, Wany mengakui bahawa mengekalkan amalan ibadah, terutamanya solat, dalam jadual kerja padat adalah satu perjuangan yang memerlukan keazaman tinggi.
Beliau menceritakan pengalaman paling mencabar ketika menjalani penggambaran di Busan, Korea dalam cuaca yang sangat sejuk, di mana beliau terpaksa berlari mencari tempat untuk berwuduk dan solat.
"Nak ambil wuduk, cuci tangan tiga kali pun dah tak rasa apa dah. Tangan, kaki, dah memang bergetar-getar. Solat pun sejuk juga, tapi itulah antara yang paling ‘struggle’," kongsinya.
Wany menegaskan bahawa untuk menjaga ibadah, ia bergantung kepada kemahuan diri sendiri untuk berusaha mencari jalan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Ketika ditanya mengenai cara beliau mengekalkan kesederhanaan dan prinsip hidup, Wany menekankan dua perkara utama iaitu memilih lingkungan sosial yang baik dan mendengar nasihat ibu.
"Pentingnya circle (lingkungan) yang bagus, yang mengejar akhirat. Secara tidak langsung ia akan mengingatkan saya sendiri. Apabila kawan-kawan yang baik, kita akan sendiri berjaga-jaga," jelasnya.
Beliau turut berpesan kepada para hadirin, terutamanya golongan muda, agar sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga serta mendengar nasihat ibu bapa.
"Dengarlah cakap ibu. Apa pun yang jadi, percayalah, selalunya apa yang dia cakap tu betul. Mereka lebih tahu," ujar beliau dengan nada sebak sambil menahan air mata.
Program Bicara Selebriti berkenaan berjaya menarik minat ramai hadirin dan dilihat sebagai satu platform yang efektif dalam menyebarkan mesej positif dan inspirasi kepada kaum wanita, selari dengan tema acara iaitu 'Wanita Inspirasi'.