KUALA NERUS, 13 Oktober - Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah di sini bergema dengan laungan takbir penuh semangat, menyahut seruan aktivis kemanusiaan terkenal, Heliza Helmi, sebagai tanda solidariti yang tidak berbelah bahagi untuk perjuangan rakyat Palestin.
Momen penuh emosi itu menjadi kemuncak ‘Slot Khas Wirawati Global Sumud Flotilla’ yang menampilkan beliau dan adindanya, Hazwani Helmi.
Segmen khas itu merupakan sebahagian daripada pengisian utama program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 yang bertemakan "Wanita Inspirasi".
Dalam perkongsian mereka, pasangan wirawati itu membawa para hadirin menyelami realiti dan cabaran misi kemanusiaan di peringkat global, terutamanya dalam usaha membantu dan menyuarakan nasib rakyat Palestin yang ditindas.
Melalui penceritaan yang berkesan, Heliza dan Hazwani menyuntik kesedaran dan menggesa orang ramai agar tidak pernah melupakan saudara seagama di sana dan terus menghulurkan sokongan dalam apa jua bentuk.
Kedua-duanya telah berkongsi pengalaman mendebarkan mereka menyertai Misi Global Sumud Flotilla dalam usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza, Palestin.
Heliza menjelaskan bahawa nama misi "Sumud" diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud teguh, kuat, cekal dan tabah, yang menggambarkan sifat sebenar rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka.
"Misi ini bukan semata-mata misi bantuan untuk bagi makanan, tapi ini adalah misi untuk buat bising," tegas Heliza, menjelaskan bahawa tujuan utama flotilla tersebut adalah untuk memastikan isu Palestin tidak dilupakan oleh dunia selepas lebih dua tahun peperangan.
Walaupun berdepan pelbagai kesukaran termasuk keadaan kapal yang tidak sempurna dan ditawan oleh tentera Israel, kedua-dua beradik itu menekankan bahawa kekuatan mereka datang daripada doa dan keyakinan kepada Allah.
"Kadang-kadang kita doa tapi kita punya keyakinan tu tak sepenuh hati... tapi ketika kita tidak ada apa-apa, kita nak sangat, Allah je yang kita tempat bergantung," ujarnya.
Bagi mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti mereka yang tidak ternilai dalam arena kemanusiaan, majlis turut menganugerahkan Anugerah Khas Khidmat Bakti kepada Heliza dan Hazwani Helmi.
Penganugerahan tersebut sebagai satu simbol penghargaan atas keberanian dan dedikasi mereka dalam memperjuangkan isu-isu global.