lightning-solid
Berita :
Exco Pertanian Saran Agensi Persekutuan Bekerja Dalam Satu Pasukan
Exco Pertanian Saran Agensi Persekutuan Bekerja Dalam Satu Pasukan
Hidayah Azlin
13 Oct 25
89

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Kerjasama antara agensi Kerajaan Pusat dalam sektor pertanian di Terengganu dengan Kerajaan Negeri didakwa mula terjejas apabila terdapat agensi yang bertindak bersendirian dan tidak melibatkan Kerajaan Negeri dalam program mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim menyarankan agar semua pihak termasuk agensi Persekutuan bekerja dalam satu pasukan demi mencapai matlamat yang sama untuk rakyat Terengganu.

Beliau mendakwa tindakan sesetengah agensi Kerajaan Pusat itu berlaku lantaran kerana arahan daripada Pengerusi Lembaga Pengarah mereka yang merupakan lantikan politik.

"Masih ada lagi di Terengganu Agensi Kerajaan Pusat dalam keluarga pertanian Terengganu yang bertindak sendiri-sendiri tanpa memaklumkan dan melibatkan Kerajaan Negeri dalam program-program lantaran kerana arahan dari Pengerusi Lembaga Pengarah mereka yang merupakan lantikan politik," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Dr. Azman menjelaskan, pendekatan yang digunakan Kerajaan Negeri setakat ini adalah dengan memberi nasihat serta menekankan kepentingan untuk bekerjasama demi matlamat bersama.

"Biarlah kita bekerja dalam satu pasukan menuju matlamat yang sama. Tak kisahlah siapa pun Pengerusi Lembaga kerana awak semua berpijak di bumi Terengganu. Kerajaan Negeri ingin membantu bagi memudahkan urusan.

"Kalau mereka yang memegang jawatan di atas inginkan keuntungan politik, silakan ambil. Saya tak berhajat dengan keuntungan politik murahan," tegasnya, sambil membandingkan situasi itu dengan penggal lepas di mana hubungan kerjasama adalah erat dan saling membantu.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, perubahan ini mula dirasai dalam era Madani ini. 

Namun katanya, situasi sedikit berbeza di Terengganu apabila Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan besar kepada agensi dan jabatan Persekutuan untuk pelaksanaan program pertanian.

"Contohnya, kita salurkan sehingga RM5 juta setahun kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk dana Skim Pinjaman Modal Tani. Jabatan Perikanan Malaysia disalurkan melebihi RM4 juta setahun untuk program tukun, unjam, lepas benih ikan dan pelbagai program bantuan," jelasnya.

Tambahnya, tujuan Kerajaan Negeri mempelawa kerjasama dan berbaik bukanlah untuk meminta dana sebaliknya adalah untuk saling membantu dan memanfaatkan sumber sedia ada demi manfaat rakyat.


Tag :

Artikel Berkaitan