KUALA LUMPUR, 13 Oktober — Dewan Rakyat hari ini dikejutkan dengan pendedahan Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berhubung satu insiden tragis melibatkan seorang murid Tahun 4 yang ditemui tergantung dengan skaf pengakap di sekolahnya baru-baru ini.
Menurut beliau, siasatan polis terhadap kes tersebut hanya dibuka di bawah Seksyen 503C, kes buli, sedangkan pelajar berkenaan telah disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke klinik.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk kanak-kanak. Tapi hari ini, sekolah sudah tidak lagi selamat. Kes Zara belum selesai, berlaku pula kes rogol pelajar Tingkatan 3, dan kini seorang murid Tahun 4 ditemui tergantung dengan skaf pengakap,” katanya ketika mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri hamzah Zainuddin, di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin menyifatkan siri kejadian yang berlaku termasuk kes buli, gangguan seksual, rogol serta kematian mengejut pelajar di sekolah sebagai bukti jelas kegagalan sistem pendidikan negara melindungi keselamatan anak-anak rakyat.
Beliau dengan nada tegas mempersoalkan sikap kementerian yang seolah-olah mengambil mudah isu keselamatan pelajar.
“Adakah menteri akan terus kata, ‘jangan kacau sekolah kami, jangan kacau murid kami’?. Anak rakyat mati, tuan-tuan. Ini bukan soal kecil. Ini soal nyawa. Rakyat sedang mendengar,” tegasnya disambut perhatian penuh sidang Dewan
Dalam celahannya, Takiyuddin turut meminta penjelasan dan pandangan Ketua Pembangkang mengenai isu keselamatan pelajar yang semakin membimbangkan di sekolah-sekolah seluruh negara, terutama apabila sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan negara.
“Saya mahu dengar pandangan Ketua Pembangkang. Dengan peruntukan pendidikan paling besar, adakah ini hasilnya?,” soal beliau mengakhiri celahan.