KUALA NERUS, 13 Oktober – Kerajaan Terengganu menjadikan pemerkasaan suri rumah sebagai agenda utama pembangunan wanita negeri melalui penubuhan Kelab Suri Terengganu di setiap daerah.
Katanya, pelaksanaan menyeluruh Dasar Wanita Terengganu yang menumpukan aspek ilmu, ekonomi dan kesejahteraan emosi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Zuraida Md Noor berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk mengiktiraf peranan besar suri rumah yang merangkumi 57 peratus daripada populasi wanita di Terengganu.
"Oleh itu, kita perlu mewujudkan satu inisiatif atau platform bagi melahirkan suri rumah bermanfaat, suri rumah yang berilmu, berakhlak dan memiliki keupayaan menyeluruh sebagai satu pakej lengkap.
"Bukan sekadar menjaga rumah tangga, tetapi turut berperanan memelihara komuniti, menyumbang kepada masyarakat serta membantu membangunkan negeri Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Simposium Suri Sejahtera di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, di sini semalam.

Menurut beliau, dasar wanita yang telah digazet dan digunakan secara rasmi kerajaan negeri itu menggariskan empat segmen utama iaitu pembangunan, pemerkasaan, perlindungan dan pemberdayaan wanita.
Selain itu, kerajaan turut melaksanakan 13 bidang program termasuk pendidikan, agama, sosial dan ekonomi bagi memperkukuh peranan wanita dalam keluarga serta masyarakat.
Beliau turut mengumumkan penubuhan Kelab Suri Terengganu di lapan daerah dan 32 DUN bagi memperluas jaringan komuniti wanita hingga ke peringkat akar umbi.
"Antara yang ramai kesihatan mental di kalaangan suri rumah, tidak dinafikan kenapa mereka tidak ada ilmu untuk mengurus masa.
"Bagaimana nak urus diri. Inilah salah satu cara kita nak sampaikan ilmu kepada masyarakat, melalui medium, pempengaruh, pendakwah, medium kerajaan, ia ada medium yang membantu kami untuk menyampaikan risalah ini," katanya.
Beliau menambah, ini merupakan satu pelan yang jelas hasil daripada Simposium hari ini.
"Kita mahu memastikan pelan ini digarap dan dilaksanakan hingga ke peringkat akar umbi bukan sekadar di peringkat atasan, tetapi turut sampai ke peringkat DUN dan kampung.
"JPKK lebih rapat dengan para suri rumah berbanding pegawai kerajaan kerana mereka hidup dalam komuniti yang sama. Tidak mustahil, insya-Allah, inisiatif ini akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain, khususnya dalam kelompok SG4," ujar beliau.