lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Ahmad Amzad Bawa Usul Tergempar Di Dewan Rakyat Berhubung Jemputan Trump
Ahmad Amzad Bawa Usul Tergempar Di Dewan Rakyat Berhubung Jemputan Trump
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, telah mengemukakan satu usul tergempar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi membahaskan tindakan kerajaan menjemput bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini. Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) itu dikemukakan secara rasmi semalam (6 Oktober) dan menuntut agar perkara tersebut disegerakan untuk perbahasan memandangkan ia melibatkan kepentingan awam dan maruah negara. Menurut Ahmad Amzad, usul itu didorong oleh keperluan mendesak untuk Dewan Rakyat menyatakan pendirian rasmi berhubung jemputan kepada seorang tokoh yang terkenal dengan dasar pro-Israel, termasuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan menyokong penempatan haram Zionis. "Usul ini adalah perkara tertentu kerana ia melibatkan tindakan rasmi Kerajaan Malaysia menjemput individu yang secara terbuka menyokong rejim zionis Israel," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Beliau menegaskan bahawa isu ini turut melibatkan kepentingan awam kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam, terutamanya selepas insiden kekejaman rejim Zionis terhadap Global Sumud Flotilla yang turut disertai sukarelawan dari Malaysia. "Kehadiran Trump boleh menimbulkan persepsi bahawa Malaysia mengabaikan penderitaan rakyat Palestin dan tunduk kepada kuasa yang secara terbuka melindungi Zionis," ujar beliau. Gesaan untuk menyegerakan perbahasan ini dibuat kerana Sidang Kemuncak ASEAN akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober, iaitu kurang dari sebulan lagi. Menurut Ahmad Amzad, tanpa ketetapan daripada Parlimen, tindakan kerajaan itu berisiko menjejaskan imej dan prinsip dasar luar Malaysia di persada antarabangsa, khususnya di mata dunia Islam. "Saya memohon agar Dewan yang mulia ini membahas perbahasan ini dengan segera bagi menyatakan pendirian rasmi bahawa Malaysia menolak sebarang penghormatan terhadap individu yang menyokong kezaliman Zionis serta menegaskan komitmen negara terhadap perjuangan kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin," tambahnya. Beliau berharap agar Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' (Dr.) Johari bin Abdul, akan meluluskan usul tersebut untuk dibahaskan demi menjaga pendirian tegas negara terhadap isu Palestin dan keadilan global. "Malaysia mesti berdiri di sisi kebenaran walau siapa pun tetamu yang datang," tegasnya.
07 Oct 25
79
Terengganu Antara Enam Negeri Berisiko Gempa Bumi
Terengganu Antara Enam Negeri Berisiko Gempa Bumi
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Terengganu termasuk antara enam negeri di Malaysia yang dikenal pasti terdedah kepada ancaman gempa bumi berdasarkan kajian terkini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Peta Seismotektonik Malaysia. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato' Sri Huang Tiong Sii, berkata selain Terengganu, negeri lain yang turut berada dalam zon berisiko ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. Menurut beliau, pemetaan sesar aktif oleh JMG menunjukkan kewujudan zon sesar di enam negeri tersebut yang berpotensi mencetuskan gegaran bumi, meskipun dalam skala rendah hingga sederhana. "Pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia dengan mengambil kira maklumat terkini seperti kejadian gempa bumi yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini, kewujudan sesar aktif bahan geologi dan maklumat siasatan tanah," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini. Antara yang turut bekerjasama dalam pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia terbitan JMG itu termasuklah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan serta agensi berkaitan. Menjawab pertanyaan mengenai gegaran berulang di Segamat dan Batu Pahat, Huang menjelaskan kejadian itu merupakan proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar kuno bagi menstabilkan kerak bumi. "Berdasarkan data sedia ada dan terbaharu, Segamat khususnya dan Johor amnya masih berada dalam zon selamat," jelasnya. Dalam masa sama, kerajaan melalui JMG dan MetMalaysia terus bekerjasama dalam pemantauan aktiviti seismik bagi memastikan sistem amaran dan tindak balas bencana berfungsi dengan berkesan. Huang turut memaklumkan bahawa Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang merangkumi pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara serta pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor. "Projek itu merangkumi pengukuhan 12 stensen seismik di seluruh negara termasuk pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor serta menaik taraf empat stesen sedia ada di Johor Bahru, Batu Pahat dan Gelang Patah daripada jenis 'strong to weak motion' untuk mengesan gegaran bermagnitud lemah," katanya.
06 Oct 25
2350
Perkukuh Pengupayaan Wanita Melalui Hari Sayyidatina Aisyah
Perkukuh Pengupayaan Wanita Melalui Hari Sayyidatina Aisyah
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkukuh agenda pengupayaan wanita dengan menganjurkan Program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 yang bakal berlangsung pada 12 Oktober ini di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Al-Watiqu Billah, Kuala Nerus. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, berkata program ini berteraskan semangat tokoh agung Islam, Sayyidatina Aisyah R.A, yang dikenali sebagai simbol keilmuan, keberanian dan kepimpinan. “Wanita merupakan tunjang penting dalam pembangunan masyarakat. Sayyidatina Aisyah bukan sahaja seorang isteri Rasulullah SAW, tetapi juga perawi hadis, guru ummah dan ilmuwan wanita yang menjadi teladan terbaik bagi Muslimah sepanjang zaman,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi, pada hari ini. Menurut bancian penduduk 2020, hampir 50 peratus daripada 1.2 juta penduduk Terengganu adalah wanita. “Meskipun wanita Terengganu memainkan peranan besar dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan dakwah, masih ramai yang berdepan cabaran dari segi keyakinan diri, akses ilmu serta sokongan moral,” ujar Roslina. Justeru itu, program ini sebagai platform untuk meningkatkan kefahaman, menyemai kesedaran serta melahirkan ikon wanita negeri dalam pelbagai sektor. Dengan penyertaan lebih 2,000 peserta termasuk kakitangan kerajaan, GLC, NGO, mahasiswa dan orang awam, Hari Sayyidatina Aisyah 2025 bertemakan “Sayyidatina Aisyah: Wanita Inspirasi” serta berkonsepkan batik. “Antara objektif utama penganjuran ini ialah meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan wanita dalam pembangunan ummah dan menyemai kesedaran kepimpinan wanita dalam keluarga serta masyarakat. “Selain itu, mewujudkan ruang interaksi serta perkongsian ilmu sesama wanita dan melahirkan ikon wanita Terengganu dalam bidang strategik,” katanya. Tambah beliau, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional komited menjadikan program ini sebagai wadah memperkukuh jati diri wanita agar mereka lebih berilmu, berdaya saing dan berperanan aktif di peringkat negeri serta negara. “Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar hadir memeriahkan Program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 sebagai tanda sokongan terhadap usaha mengangkat martabat wanita di Terengganu. “Kehadiran masyarakat bukan sahaja memberi semangat kepada kaum wanita, malah menjadi bukti kebersamaan dalam membina generasi berilmu, berdaya saing dan berjati diri Islam,” tambahnya lagi.
06 Oct 25
121
Terengganu Salur Bantuan RM1.99 Juta Buat Calon Peperiksaan Awam
Terengganu Salur Bantuan RM1.99 Juta Buat Calon Peperiksaan Awam
KUALA NERUS, 6 Oktober – Kerajaan Terengganu terus komited memperkukuh masa depan pendidikan negeri dengan menyalurkan bantuan one-off berjumlah RM1.99 juta kepada 19,932 calon peperiksaan awam di seluruh negeri sebagai dorongan semangat menjelang peperiksaan tahun 2025. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, inisiatif di bawah Yayasan Terengganu itu mencerminkan keprihatinan dan kebersamaan kerajaan negeri dalam memastikan calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM bersedia menghadapi cabaran akademik dengan penuh keyakinan dan iltizam. "Program ini salah satu usaha untuk membuktikan kebersamaan kita bersama-sama dengan calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM supaya mereka mempersembahkan yang terbaik untuk peperiksaan serta memperoleh keputusan cemerlang nanti. "Itu doa kami daripada pihak kerajaan negeri kepada semua calon-calon yang terlibat," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Majlis Penyampaian Bantuan One-Off kepada Calon Peperiksaan Awam Negeri Terengganu Tahun 2025 peringkat Kuala Nerus, di sini, hari ini. Menurutnya, seramai 2,605 calon daripada 17 buah sekolah menengah di daerah Kuala Nerus turut menerima bantuan pendidikan berjumlah RM260,500 dengan kadar RM100 seorang, melibatkan 2,424 calon SPM, 169 calon STPM dan 12 calon STAM. "Gunakanlah bantuan bernilai RM100 ini secara bijaksana dan bertanggungjawab. "Ia bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, tetapi tanda kasih serta dorongan moral agar anda lebih bersemangat menghadapi detik penting ini," tambahnya. Hishamuddin turut menzahirkan harapan agar semua calon menjadikan peperiksaan yang bakal diduduki sebagai langkah awal membina masa depan yang lebih cemerlang dan bermakna. "Jadikanlah peperiksaan ini sebagai permulaan ke arah menara gading serta kehidupan yang gemilang. "Ingatlah, setiap kejayaan anda adalah hadiah paling berharga buat ibu bapa dan guru yang tidak pernah jemu berkorban demi memastikan anda berjaya," ujarnya. Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon peperiksaan awam di negeri ini agar terus melangkah dengan penuh keyakinan dan membawa nama Terengganu sebagai negeri yang unggul dalam kecemerlangan pendidikan.  
06 Oct 25
449
RXZ Members Terus Bersolidariti Bersama Bumi Al-Quds
RXZ Members Terus Bersolidariti Bersama Bumi Al-Quds
KUALA NERUS, 7 Oktober – Ratusan anak muda berhimpun di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad, bagi menyatakan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis. Program anjuran komuniti RXZ Members itu menjadi simbol kebangkitan kesedaran anak muda terhadap isu kemanusiaan sejagat, khususnya mempertahankan bumi suci Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam. Isu Palestin bukanlah isu politik kepartian, sebaliknya ia menjadi titik penyatuan umat Islam seluruh dunia dalam mempertahankan maruah dan tanah suci yang diberkati. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat pertama yang bermaksud: “Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Isra’: 1) Ayat ini menjadi bukti jelas bahawa Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam bukan sekadar tapak sejarah, tetapi lambang aqidah dan keimanan yang wajib dipertahankan oleh seluruh umat Muhammad SAW. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi, yang turut hadir berkata, setiap individu memiliki kelebihan dan peranan tersendiri untuk menyumbang kepada perjuangan rakyat Palestin. “Gunakanlah apa jua ruang dan kemampuan yang kita ada suara, tulisan, doa, bahkan media sosial untuk terus bercakap dan menuntut hak rakyat Palestin. Jangan sesekali kita diam terhadap kezaliman,” tegasnya. Beliau turut menyeru agar umat Islam tidak pernah lupa untuk terus berdoa buat saudara seagama di bumi Al-Quds, kerana doa orang beriman adalah senjata yang paling kuat untuk mematahkan keangkuhan musuh. “Selagi ada yang bersujud dan menadah tangan, selagi itu Al-Quds tidak akan sunyi daripada harapan,” ujarnya lagi.  
06 Oct 25
101
LTdL 2025: Prestasi TSG Membanggakan
LTdL 2025: Prestasi TSG Membanggakan
KUALA NERUS, 6 Oktober – Penampilan Terengganu Cycling Team (TSG) dalam PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 membuktikan keupayaan pasukan itu terus berada pada tahap membanggakan meskipun berdepan pasukan elit dunia. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Rosli, menamatkan Peringkat Ketujuh Melaka–Medini di tempat kedua menjadi detik manis selepas lima tahun pasukan itu tidak menaiki podium dalam kejohanan berprestij tersebut. "Dalam tempoh beberapa hari perlumbaan, TSG berjaya beberapa kali menaiki podium, dan yang terakhir di Stage 7 apabila Aiman menamatkan saingan di tempat kedua. "Ini satu pencapaian yang cukup manis kerana sudah lima tahun kita tidak mencapai kejayaan seperti itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian One-Off kepada Calon Peperiksaan Awam Negeri Terengganu Tahun 2025 peringkat Kuala Nerus, di sini, hari ini. Menurutnya, walaupun TSG tidak meraih kejuaraan keseluruhan, kemampuan pasukan menyaingi kelab profesional antarabangsa membuktikan kekuatan dan daya saing tinggi pelumba tempatan. "Dengan persaingan hebat bersama kelab-kelab elit dunia, prestasi ini sudah cukup membanggakan dan menunjukkan TSG kekal sebagai antara pasukan terbaik rantau ini," ujarnya.
06 Oct 25
2003
Prostrated on Tar for Three Hours - Reveals GSF Activist
Prostrated on Tar for Three Hours - Reveals GSF Activist
KUALA TERENGGANU, 6 October - Global Sumud Flotilla (GSF) activist, Mohd Asmawi Mukhtar, has revealed the inhumane treatment he endured when he was forced to prostrate on scorching tar under the blazing sun after being detained and beaten by Israeli forces. "We were forced to kneel, face down on the tar, all of this directly under the hot sun," he recalls the ordeal whilst detained by the regime. According to Asmawi, the activists were abducted immediately after their flotillas were intercepted and ordered to dock at the port of Ashdod before being taken about 200 meters away from the harbor area. "When we arrived at this specific location, the regime's soldiers told us to prostrate on the asphalt. "I quickly slide my passport where my face was going to face down. "Most of the others didn't have time to react, and their faces were pressed directly onto the burning surface," he said. He added, they were positioned with their hands on their back, although not restricted, forced to stay in that humiliating position for three grueling hours under the intense heat. Throughout the ordeal, armed commandos closely guarded them, preventing any movement. "The women were cying in pain. The soldiers showed no sense of remorse at all," Asmawi lamented. After hours under the sun, the detainees were transferred to another location resembling an immigration control centre, where their personal belongings were thoroughly searched and confiscated. "The Zionist soldiers took our personal items, including documents and clothing, to look for any information related to the flotilla mission," he added.
06 Oct 25
66
Hanafiah Rai Kontinjen SUTERA Kemaman
Hanafiah Rai Kontinjen SUTERA Kemaman
KEMAMAN, 6 Oktober- Semua pegawai dan atlet Kontinjen Daerah Kemaman sempena Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) III, diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, baru-baru ini. Ketua Misi Kontinjen, Dato' Hanafiah Mat menyifatkan majlis tersebut mencerminkan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap para atlet dan pegawai seluruh kontinjen. "Majlis ini bagi menghargai semua pegawai dan atlet yang telah berkorban masa, tenaga dan komitmen dalam menjayakan penyertaan sukan kali ini. "Kejayaaan yang dicapai tidak hanya diukur melalui kemenangan pingat, tetapi lebih besar daripada itu ialah nilai semangat kesukanan, disiplin, kerjasama berpasukan dan kegigihan yang telah ditunjukkan,'katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Tambahnya lagi, pengiktirafan itu adalah simbol penghargaan terhadap usaha keras para atlet yang telah membawa nama daerah Kemaman ke pentas SUTERA III bagi tahun ini. "Kalian telah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus aktif, berdaya saing dan menjadikan sukan sebagai wadah membina sahsiah diri," ujarnya lagi. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, turut mengharapkan majlis penghargaan tersebut menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berjuang pada temasya sukan akan datang, terutamanya kepada mereka yang akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Selangor, tahun depan. Untuk rekod, Kontinjen daerah Kemaman berjaya membawa pulang 10 emas, 17 perak dan 20 gangsa menjadikan keseluruhannya sebanyak 47 pingat bagi kebanyakan acara sukan yang dipertandingkan dalam temasya kali ini. Dalam majlis tersebut, Hanafiah  turut menyampaikan hadiah insentif berbentuk wang tunai kepada semua atlet yang telah berjaya membawa pulang pingat.  
06 Oct 25
40
70 Penduduk DUN Cukai Terima Geran, Borang 5A
70 Penduduk DUN Cukai Terima Geran, Borang 5A
KEMAMAN, 6 Oktober - Seramai 70 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai menerima dokumen hak milik dan borang 5A dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Aras 3, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat menyifatkan penyerahan geran itu tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyediakan tapak kediaman yang teratur dan memberi masa depan yang baik kepada rakyat.  Beliau turut mengingatkan bahawa hak milik yang diperoleh adalah satu amanah besar yang perlu dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab. "Gunakanlah tanah ini untuk membina kehidupan yang lebih sejahtera, menambah nilai ekonomi keluarga, serta menjadi tapak bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. "Kami berharap agar usaha murni ini akan terus memberi manfaat besar kepada semua peserta," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis itu.   Dalam masa sama beliau berharap tanah tersebut menjadi asas kesejahteraan hidup serta menyumbang kepada kemajuan DUN Cukai khususnya, dan daerah Kemaman amnya.
06 Oct 25
49
Ahli Parlimen Dungun Gesa Kerajaan Tarik Balik Kerjasama Starbucks
Ahli Parlimen Dungun Gesa Kerajaan Tarik Balik Kerjasama Starbucks
DUNGUN, 6 Oktober - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dengan tegas menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) supaya menarik balik keputusan Tourism Malaysia menjalin kerjasama rasmi dengan syarikat Starbucks sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.  Wan Hassan menuntut penjelasan segera, justifikasi MOTAC bekerjasama dengan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Israel serta menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia. "Langkah ini amat mengecewakan kerana syarikat tersebut secara konsisten dikaitkan dengan sokongan terhadap rejim Zionis Israel yang terus menindas dan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa," jelasnya. Katanya, dalam suasana rakyat Malaysia kini bersatu hati memperjuangkan solidariti terhadap Palestin termasuk memboikot produk dan jenama yang menyokong Israel, keputusan kerajaan untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat yang terang-terangan menyokong rejim penindas itu adalah amat tidak wajar dan menyinggung hati nurani rakyat. "Kerajaan sepatutnya menjadi teladan kepada rakyat, mempamerkan kepekaan terhadap nilai kemanusiaan, prinsip kenegaraan serta sentimen umat Islam, bukannya bertindak membelakangkan aspirasi rakyat dan mengundang kemarahan umum," tempelaknya. Beliau dengan tegas menggesa kementerian itu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia serta menarik balik kerjasama dan pelaburan dengan syarikat Starbucks sebagai tanda menghormati sensitiviti rakyat.  Di masa yang sama beliau turut mempersoalkan asas atau keperluan untuk menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan, sedangkan perkara tersebut jelas bertentangan dengan pekeliling kerajaan, norma budaya, dan nilai asas negara. "Tindakan menghidangkan arak secara terbuka dalam majlis rasmi pelancaran Kalendar Acara 2026 Tourism Malaysia yang turut dihadiri oleh Menteri.  "Perbuatan ini bukan sahaja bertentangan dengan sensitiviti umat Islam sebagai majoriti rakyat Malaysia, malah tidak menghormati Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan," tegasnya. Beliau juga mendesak supaya Kementerian berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai tanda menghormati sensitiviti. "Memperbetulkan kesilapan yang berlaku dan menunjukkan kebertanggungjawaban kerajaan terhadap tindakan yang telah menjejaskan maruah institusi rasmi negara," tegasnya lagi.. Menurutnya, laporan turut menyebut bahawa beberapa tetamu beragama Islam terpaksa meninggalkan majlis kerana tidak selesa dengan suasana yang berlaku.  "Ini merupakan suatu gambaran jelas bahawa pihak penganjur gagal memahami batas dan nilai budaya negara ini," luahnya melahirkan rasa kecewa dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 5 Oktober.
06 Oct 25
137