lightning-solid
Berita :
Hanafiah Rai Kontinjen SUTERA Kemaman
Hanafiah Rai Kontinjen SUTERA Kemaman
Ezani Razali
06 Oct 25
38

KEMAMAN, 6 Oktober- Semua pegawai dan atlet Kontinjen Daerah Kemaman sempena Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) III, diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, baru-baru ini.

Ketua Misi Kontinjen, Dato' Hanafiah Mat menyifatkan majlis tersebut mencerminkan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap para atlet dan pegawai seluruh kontinjen.

"Majlis ini bagi menghargai semua pegawai dan atlet yang telah berkorban masa, tenaga dan komitmen dalam menjayakan penyertaan sukan kali ini.

"Kejayaaan yang dicapai tidak hanya diukur melalui kemenangan pingat, tetapi lebih besar daripada itu ialah nilai semangat kesukanan, disiplin, kerjasama berpasukan dan kegigihan yang telah ditunjukkan,'katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Tambahnya lagi, pengiktirafan itu adalah simbol penghargaan terhadap usaha keras para atlet yang telah membawa nama daerah Kemaman ke pentas SUTERA III bagi tahun ini.

"Kalian telah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus aktif, berdaya saing dan menjadikan sukan sebagai wadah membina sahsiah diri," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, turut mengharapkan majlis penghargaan tersebut menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berjuang pada temasya sukan akan datang, terutamanya kepada mereka yang akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Selangor, tahun depan.

Untuk rekod, Kontinjen daerah Kemaman berjaya membawa pulang 10 emas, 17 perak dan 20 gangsa menjadikan keseluruhannya sebanyak 47 pingat bagi kebanyakan acara sukan yang dipertandingkan dalam temasya kali ini.

Dalam majlis tersebut, Hanafiah  turut menyampaikan hadiah insentif berbentuk wang tunai kepada semua atlet yang telah berjaya membawa pulang pingat.

 


Artikel Berkaitan