KEMAMAN, 6 Oktober - Seramai 70 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai menerima dokumen hak milik dan borang 5A dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Aras 3, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat menyifatkan penyerahan geran itu tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyediakan tapak kediaman yang teratur dan memberi masa depan yang baik kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa hak milik yang diperoleh adalah satu amanah besar yang perlu dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.
"Gunakanlah tanah ini untuk membina kehidupan yang lebih sejahtera, menambah nilai ekonomi keluarga, serta menjadi tapak bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.
"Kami berharap agar usaha murni ini akan terus memberi manfaat besar kepada semua peserta," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis itu.

Dalam masa sama beliau berharap tanah tersebut menjadi asas kesejahteraan hidup serta menyumbang kepada kemajuan DUN Cukai khususnya, dan daerah Kemaman amnya.